Pertama kali saya memasuki Tahun Baru tanpa Diari 2012 di sisi. Sebelum-sebelum ini, pasti sudah tersedia Diari Lama dan Diari Baru bagi memperbaharui perancangan. Tak sempat nak beli sebab tak tahu nak pilih yang mana satu waktu pergi window-shopping di kedai. Walaupun sedikit terkilan, tetapi masih tak mencacatkan persembahan Tahun Baru. Cuma terasa kosong kerana tidak ada kertas kosong untuk dicoret-coret waktu memasuki Tahun Baru. Cuma sempat mencoretkan resolusi Tahun Baru dan muhasabah tahun 2011. Mungkin selepas exam baru akan beli. InsyaAllah.
Kalau sesetengah orang berpendapat resolusi Tahun Baru hanya sekadar retorik, pada pandangan saya, ia terpulang kepada individu. Ia hanya menjadi retorik jika sekadar hangat-hangat tahi ayam. Tapi ia akan jadi satu reminder atau booster yang sangat bagus jika kita berusaha merealisasikannya. Setakat ini, perancangan yang saya buat, alhamdulillah berjaya saya realisasikan. Cuma sejauh mana mencapai KPI yang diletakkan, mungkin perlukan penilaian kembali. Dan itulah yang akan diusahakan untuk tahun 2012.
Disebabkan tidak ada Diari 2012, waktu-waktu di dalam gerabak kereta api hanya diisi dengan menyelak buku rujukan untuk peperiksaan. Kadang bangun, kadang tidur. Menyelak kembali Diari 2011, ada beberapa perkara yang perlu diambil serius tahun ini. Serius. Mesti terdetik dalam hati sesetengah orang, "Sejak bila dia tak pernah serius, serius memanjang." Bagi saya, sekarang fasa-fasa kritikal dalam kehidupan seorang insan. Ada pelbagai persimpangan yang perlu dipilih agar tidak tersilap mencorak kehidupan. Bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi untuk insan sekeliling. Bukan sekarang untuk menarik nafas lega dan berpuas hati dengan kehidupan yang ada. Saya rasa saya masih tidak berusaha, saya rasa saya masih main-main dan saya rasa saya masih lalai. Buktinya, banyak amanah yang tak terlaksana dengan baik. Amanah Allah, amanah keluarga, amanah untuk diri sendiri. Saya rasa saya sudah tua sebelum waktunya.
Mungkin saya insan yang go by book. Semua nak tulis, semua nak catat, semua nak rujuk. Kalau tidak ada dalam buku, saya mudah panik. Hanya Allah yang Maha Menolong. Mungkin catatan saya menjadi pedoman buat pembaca. Janganlah jadi macam saya, anda semua adalah yang terbaik dan boleh menjadi yang terbaik. Tolong doakan saya (^_^)
No comments:
Post a Comment