Saturday, June 29, 2013

Deria keenam


Baru-baru ini, semasa sedang menunggu sahabat yang membeli barang di Econsave, sesuatu sedang berlegar dalam kepala saya semasa saya duduk di bangku sebelah mesin ATM dengan seorang lagi sahabat.

Ia lebih kepada perasaan atau naluri apa yang sedang saya rasakan waktu itu. Saya merasakan akan berlaku sesuatu insiden yang tidak diingini sedang saya duduk di situ. Saya terbayang jika saya yang ditimpa kejadian yang tidak diingini. Jadi dalam diam tersebut saya baca doa pelindung.

Tiba-tiba terdengar satu bunyi kuat dari arah sebelah kiri. Kemudian dengar suara budak meraung. Semua orang terkejut dan memberi tumpuan kepada insiden yang sedang berlaku. Sahabat saya turut bangun dan melihat apa yang sedang berlaku. Tetapi saya hanya duduk dan melihat orang-orang yang panik dan menjenguk-jenguk ke situ. 

Apabila sahabat saya kembali ke tempat duduk, baru saya tanyakan apa yang berlaku. Rupa-rupanya seorang kanak-kanak ditimpa susunan troli-troli yang terbalik semasa ditolak oleh pekerja. 

Naluri ini juga yang hadir waktu saya sedang membawa motor ke sekolah semasa  Tingkatan Enam. Semasa melalui hadapan sekolah rendah, saya cek kelajuan motor saya kerana tiba-tiba rasa sesuatu akan berlaku. Masa itu saya membawa motor 40km/j. Saya memperlahankan motor. Selang beberapa saat kemudian, tiba-tiba dari simpang kiri keluar satu van sekolah. Nasib baik saya bawa motor perlahan kerana saya masih sempat berfikir sama ada untuk belok ke belakang van atau ke hadapan. Kalau ke hadapan kena langgar, kalau ke belakang, sempat ke? tapi masa tu saya memang dah melanggar pintu bahagian pemandu. Perkara ini berlaku sewaktu bulan Ramadhan. Terbang semangat. Setiap kali sesuatu perkara terjadi dan naluri saya sudah memberitahu sesuatu sebelum itu, mesti semangat saya hilang kemudiannya.

Kadang-kadang kalau sedang memandu, tiba-tiba datang bayangan kemalangan yang berlaku atas jalan.  Dengan spontannya juga saya membaca doa pelindung. Tidak berapa lama kemudian, akan kelihatan kemalangan yang baru berlaku. Bukan selalu datang naluri atau bayangan sebegini. Setiap kali terlintas, saya pastikan saya membaca doa pelindung. Sebabnya waktu saya langgar van tersebut, saya tak teringat nak baca. Dan ia sememangnya menghilangkan semangat kerana apabila naluri itu hadir, sesuatu akan berlaku kemudiannya. Mesti ada suatu penjelasan di sebalik semua yang berlaku ini. Saya mula sedari perkara ini kerana berulang kali datang naluri ini. Saya rasa semua orang ada deria keenam ini, cuma sama ada mereka memberi perhatian atau tidak dengan naluri ini, itu yang menjadi perbezaan.

Mak pesan supaya rajin-rajin bersedekah bagi menghalang perkara buruk berlaku kepada kita. Kehidupan ini sememangnya satu misteri. Roh yang berada di dalam jasad merupakan satu bentuk tenaga yang sentiasa berhubung dengan tenaga di sekeliling. Jadi perlu mohon perlindungan daripada Allah apabila datangnya perasaan sebegini. Ini semua kuasa Allah s.w.t. dan kepada-Nya kita berserah. Mungkin juga untuk memberitahu supaya sentiasa ingat Allah s.w.t walau di mana sahaja dan dalam apa keadaan pun.Wallahualam.

No comments: