Tuesday, June 4, 2013

Kedaulatan dan Kekeluargaan

Pulang ke Pulau Pinang sebentar, saya mengambil kesempatan menziarahi makam tok nenek di Makam Diraja Kampung Kota. Kebetulan lalu di situ untuk buat urusan pertukaran sekolah adik, mak cakap di dalam Kampung Kota itulah ada makam tok nenek yang disebut-sebut oleh mak saudara. Jadi, saya masuk ke kampung tersebut dengan niat nak mencari. Tak susah kerana penduduk kampung sangat arif dengan tempat tersebut. Makam tersebut telah diasingkan dengan kawasan kubur penduduk setempat.

Kawasan makam dipagari dengan baik. Semasa melangkah masuk, saya rasa macam masuk ke kawasan bersejarah sahaja. Tidak ada rasa keterikatan darah atau sebagainya. Sebab urusan nak menyambung silaturahim ni urusan orang tua-tua, jadi kami yang muda ni hanya menadah telinga. Lagipun mungkin sebab saya tak berjumpa dengan kerabat keluarga semasa mereka turun ke kenduri sepupu saya. Tapi abah ada berikan kad Persatuan Kerabat Diraja Kedah yang bertemakan Kedaulatan dan Kekeluargaan kepada saya. Kad tersebut diberikan kepada abah oleh pegawai khas YTM, YDP Persatuan Kerabat Diraja Kedah, Abdul Rahim Hashim. Tapi kad tersebut sudah terkena air dan tulisan Kedaulatan dan Kekeluargaan dah kembang dan tidak dapat dibaca. Jadi, saya nukilkan di sini supaya andai kad tersebut dah hilang, maklumatnya masih di sini. Kalau bukan mereka sendiri yang turun mencari, kemungkinan keluarga Abdul Rahim tidak akan mengetahui salasilah keturunan dan hanya sekadar cakap-cakap angin. 

Dulu masa tingkatan Satu, saya memang kena buat folio berkaitan salasilah keluarga. Jadi saya sempat temuramah tok saya sebab tok wan saya sudah jatuh sakit masa itu dan tidak mampu bertutur dengan baik. Masa tok saya bagitau susur galur tersebut, saya hanya menyalin tanpa berfikir pun signifikan nama Megat tersebut. Hanya nak cepat selesai tanpa berfikir. Kalau folio tersebut dikembalikan, mungkin saya boleh simpan rekod keluarga, tetapi sekolah simpan dan mungkin dibuang. Kadang-kadang saya suka masuk ke bilik-bilik lama di atas rumah tok untuk selongkar barang-barang lama. Duduk sorang-sorang berjam-jam di atas sambil kelebek (belek) kotak-kotak dan almari lama. Kalau ada buku yang menarik saya akan baca di atas bilik tersebut atau bawa balik rumah. Ada gambar-gambar lama yang saya akan ambil dan tanyakan mak siapa di dalam gambar. Sepatutnya saya tanya abah sebab keluarga abah, tetapi sebab mak sahaja yang suka melayan jadi saya anggap mak tahu semua benda. Kadang-kadang tok saya ceritakan macam-macam cerita yang sebenarnya menarik tetapi disebabkan saya ni kurang rapat dengan tok dan tok wan sebelah abah, jadi saya tak berani nak tanya lebih atau merespon. Saya hanya bertanya semata-mata untuk menghabiskan folio tersebut. 

Tambahan pula, masa kecil-kecil saya ada memori tok yang garang. Kalau tidur di rumah tok, mesti kena bagi amaran, kalau kencing atas tikar kena rotan dengan penyapu lidi tok. Walaupun setakat ni tak ada mangsa lagi, tetapi tetap rasa takut. Lagi satu, mak kepada tok yang dipanggil tok nek juga garang. Orang perempuan keluarga belah abah ni semua garang-garang~ contoh yang tak baik untuk perempuan-perempuan macam saya yang tengah membesar masa tu...:P kadang-kadang kanak-kanak ni mesti ada semangat ingin tahu. Jadi kalau datang rumah tok, mesti nak tengok tok nek yang duduk di satu bilik di sebelah dapur. Tapi setiap kali pergi menjenguk ke situ yang saya ingat hanyalah garangnya tok nek. Memang wajib salam satu perkara, tetapi nak duduk lama-lama memang tak boleh. Mak cakap mungkin sebab dia sakit, jadi tak ada mood nak layan cicit. Tambah pula kami ni bising nak main.

Tapi tok nek ni mak kepada tok, jadi tak ada kaitan dengan keluarga sebelah tok wan yang jadi kajian kes salasilah keluarga. Yang saya tahu tentang tok nek sebelah tok ni, dia pernah kahwin dengan 8 orang lelaki... dan tok ni anak sulung daripada lelaki pertama, jadi tak susah nak ingat.

Garangnya dia sampai sewaktu dia meninggal, saya selaku cicit tak berani mendekati jenazah dia. Saya hanya duduk di belakang dan mendengar cerita dari adik beradik yang lain. Macam-macam versi saya dengar, ada yang kata lidah tok nek terjelir dan ada satu lubang besar di kakinya yang ada ulat @ nampak tulang sebab kencing manis. Wallahualam... tapi saya memang tak ada memori pergi cium jenazah dia atau melihat mereka mandikan dia. Lagipun memang saya ni pakar dalam bab-bab melarikan diri dari majlis keramaian. Sebab tulah saya banyak masa untuk berada di atas loteng rumah tok untuk belek-belek artifak, gambar atau buku-buku.

Kadang-kadang jumpa gambar tok wan masa muda-muda. Memang hensem sangat. Saya cakap kat mak, rupa tok wan masa muda hensem. Mak pun buka cerita yang rupa-rupanya tok wan ni memang jadi kegilaan  orang perempuan. Pernah satu ketika, tok wan berhasrat nak kahwin lagi satu dan cakap kat tok. Tok terus lari dari rumah dan tinggalkan anak-anak yang 9 orang balik ke Gerik, Perak bagi tok wan jaga. Sebulan tok lari. Tapi tok wan tak pujuk, last-last tok balik sendiri sebab kesian kat anak-anak di rumah. Walaupun tok wan tak pujuk, tapi  sejak hari tu tok wan tak pernah bangkitkan isu nak kahwin lagi satu sampai dia meninggal. Isu tu terbiar macam tu sahaja. Kalau Tok Wan Abu sebelah mak, dia memang tak sempat nak fikir kahwin lain sebab sibuk dok cari harta. Lagi satu sebab Tok Melah pandai jaga dia. Memang ujian perasaan kalau dapat suami hensem ni... 

Sekadar selingan, kalau di rumah Tok Wan Abu, lagi banyak buku-buku lama tersusun dalam almari kaca di atas rumah. Ada juga terjumpa diari lama mak. Saya hanya sempat membaca beberapa muka surat sebelum dirampas oleh mak apabila saya tunjukkan. Tak tahu dah kat mana mak letak. Rugi pula bagitahu. Pernah juga saya jumpa parang panjang yang sudah berkarat di atas almari rumah tok wan dengan pedang samurai. Tak tahu apa fungsi senjata tersebut. Tetapi masa di rumah Tok Wan Rahim, tak jumpa pula keris kecil yang dikaitkan dengan asal-usul keturunan tersebut. Yerlah, dah disorokkan di atas alang rumah. Manalah nak jumpa. Tapi masa kecoh-kecoh keris tersebut hilang, ada saya lihat sepupu saya yang sudah dewasa memegang satu buku kecil yang tulisannya tak dapat difahami oleh saya.  

Berbalik ke makam tok nenek. Makam diraja ni boleh didapati gambarnya di merata website. Taip sahaja Makam Diraja Kampung Kota. Konon nak dipulihara semasa 2011, akhirnya terbiar macam tu sahaja sekarang. Rumput pun dah panjang. Ada dengar-dengar nak dikumpul semua sedara mara yang berkaitan di situ tetapi belum ada masa yang sesuai. Saya ingat kalau ada rezeki dan masa, saya nak tahu dengan lebih lanjut berkaitan makam ni daripada mak saudara saya dan juga penjaga makam jika ada. (http://www.wartakedah.net/index.php?option=com_content&view=article&id=1407%3Amakam-diraja-kedah-di-pulau-pinang-akan-dipelihara&catid=36%3Aberita&Itemid=67&lang=ms)

No comments: