Friday, February 18, 2011

Kita Sama Terluka




Dalam kita berorganisasi, suatu perkara normal yang harus kita faham adalah kita akan terluka dan melukakan orang lain.  Jangan kita fikir kita sahaja yang dilukai.  Kadang-kadang orang terluka dengan sikap kita, kita tak tahu.  Kita sangka orang tidak ada masalah dengan sikap kita, tetapi itu secara zahirnya sahaja.  Oleh itu, bagi menghadapi perkara ini, kita perlu sama-sama memiliki sikap tolak-ansur.  Bukan semua orang berfikiran dan bersikap seperti mana kita. Adanya ketidaksamaan dalam perkara-perkara cabang merupakan satu kelaziman dalam bermasyarakat atau berorganisasi.  Jika tidak, tak wujudlah pelbagai mazhab dalam Islam.  Namun, itu tidak boleh dijadikan alasan bagi kita untuk tidak melaksanakan tanggungjawab kita dan terus lari menyelamatkan diri dari terus dilukai apabila berhadapan dengan masalah.  Berlapang dada adalah perkara terbaik saat ini dalam menghadapi perjuangan yang kita galas bersama dan memastikan objektifnya tercapai.  Melepaskan tangan dengan alasan kononnya, kita terluka dan kecewa dengan sikap seseorang adalah sangat tidak matang.  Hal ini demikian menunjukkan kita tidak memahami perkara asas dalam berorganisasi. Kalau orang lain boleh tahan dengan sikap kita, kita juga harus begitu.  Tidak perlulah memperbesar-besarkan perkara yang berkaitan sikap orang terhadap kita kerana setiap orang turut mengalami perkara yang sama.  Apa yang lebih penting adalah kita berusaha menjalankan peranan kita setakat yang terdaya dan bertawakal kepada Allah di akhirnya.  Jika kita mampu dan seboleh-bolehnya berbincang secara terbuka mengenai masalah yang kita alami dengan sikap orang yang bekerja tersebut.  Tahu apa-apa alasannya melakukan sesuatu perkara tersebut terhadap kita.  Beri peluang untuk penjelasan bagi menjernihkan keadaan.  Kalau keadaan menjadi semakin buruk, gunakan orang tengah bagi menyelesaikan masalah.  Tapi untuk mengambil jalan memisahkan diri dari organisasi dan melepaskan tangan dari tanggungjawab sebagai ahli dan pimpinan adalah tidak wajar dan tidak patut terutama pada saat-saat akhir.  Pada pendapat saya, dalam saat-saat genting ini sepatutnya soal hati dan perasaan perlu diketepikan.  Perlu kita ingat bahawa jika kita rasa terluka, dalam masa yang sama orang lain turut terluka juga.  Jadi, kita sama-sama terluka dan sama-sama merasa.  Kalau kita rasa kita tak faham dengan sikap orang, ada juga orang tidak faham dengan sikap kita.  Jangan sebab orang tidak pernah memberitahu kita, kita rasa bersih dari segala sikap melukakan ini.  Cubalah merasionalkan keadaan.  Bukan masanya untuk terlalu terbawa-bawa dengan perasaan terluka ini.  Jangan ada sedetik dalam hati yang mengatakan 'Alah, ko mana pernah kena macam mana aku kena, ko mana faham,'  La yukallifullahunafsan illa wus'aha.  Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.  Jadi setiap orang ada kapasiti masalah yang dia boleh tanggung.  Kita tidak boleh fikir masalah kitalah yang paling berat.  Entahkan jika Allah timpakan masalah sahabat kita itu ke atas kita, kita tidak mampu menanggungnya.  Hanya sebab dia menunjukkan sikap  tenang dan berlapang dada dengan masalah yang dihadapinya kita sangka masalahnya tidak besar.  Sebenarnya semua ini bergantung kepada pemikiran dan penerimaan kita.  Kita yang menjadikan sesuatu masalah dan sikap orang terhadap kita sebagai  suatu masalah besar.  


Macam saya, memberi senyuman (tersenyum) kat seseorang pun dah mampu membuat saya gundah gulana satu hari.  Kenapakah aku senyum kepadanya? Hu...saya takut saya terluka. Bagi saya ini adalah masalah, mungkin bagi orang lain tidak.

Justeru, boleh menilai orang melalui lensa sendiri, tapi jangan sampai menyebar-nyebarkannya kepada orang lain kerana boleh mengganggu gerak kerja organisasi.

Solusi;

Jika meminta pendapat saya, apa yang saya boleh katakan, berterus-terang itu lebih baik.  Kalaulah semua orang boleh bersikap terbuka.  Tapi berterus-teranglah dengan ayat yang baik dan berhikmah agar sampai niat nak memperbetulkan dan mencapai kebersamaan agar melancarkan gerak kerja organisasi.  Dua-dua pihak kena mainkan peranan.  Yang menegur, tegur dengan berhikmah dan ayat yang mudah difahami, yang ditegur bersikap terbuka dan menerima teguran dan bersedia buat perubahan.  Kalau tak puas hati dengan cara teguran, kita tegur dia pula.  Bagi sampai tak ada apa-apa keraguan lagi.  Bukankah ragu-ragu itu datang dari syaitan.  Kalau ada apa-apa idea terus luahkan, jangan simpan kerana boleh mengundang ketidakpuasanhati apabila hasil yang dikehendaki tidak dicapai.  Tak nak dengar 'Kalau guna idea ni, mesti boleh jadi...' Kenapa tak cakap awal-awal. Lebih teruk kalau cakap di belakang. Berhenti bagi alasan.  Waktu perbincangan terus lontarkan idea, kalau orang tolak, barulah boleh persoalkan nanti kalau idea lain tak menjadi.  Kena cepat waktu perbincangan kerana selepas itu kalau boleh pelaksanaan lebih utama.  Jangan banyak buang masa dengan perbincangan tetapi pelaksanaan tidak ada.

Sifir akan jadi senang kalau semua orang faham.  

Perbincangan+Perbahasan+Pembahagian tugas+Perlaksanaan=Tercapai atau tidak objektif

Kalau tak tercapai objektif, maknanya antara 4P itu perlu ada pembetulan di mana-mana.  Tak perlu tambah anasir-anasir yang tak perlu seperti masalah perasaan seperti di atas.  Saya tahu, kita bukan robot tapi kitakan tentera Allah.  Tentera mana boleh merungut-rungut sangat. Hu...Tak kisahlah walau terluka macam manapun, kerja-kerja Islam kena teruskan juga.  Bukan penilaian manusia yang penting, melainkan nilai di pandangan Allah yang utama.  Jadi terus mujahadah...

Senang kalau semua orang faham...hmm.

~Al-islamu ya'lu wala yu'la 'alaih~  




No comments: