Sunday, December 18, 2011

Untuk yang Tak Pernah Jemu Berusaha


Tips merentas desa.  Keep going and never stop until you reach the finishing line.  Surely you will gain victory. There was once, in year 4, it was my first time entering cross-country.  Semangat berkobar-kobar nak menang.  Tambahan pula track laluan desa memang sangat cantik.  Menyusur sungai di sepanjang kampung.  Sambil menikmati keindahan alam setiap halangan dan checkpoint berjaya diatasi.  Walaupun ada ketika, panik sebab bertembung dengan lembu yang berehat di tepi sungai, tetap saya teruskan.  Serasa macam dah meninggalkan rakan-rakan yang lain di belakang.  Sangat yakin akan memenangi kejuaraan.  Tak kisahlah nombor berapa, asalkan top three tu saya antara orangnya.  Sewaktu menghampiri pintu pagar belakang sekolah, saya berhenti berlari.  Sudah ada kumpulan pelajar yang memberi sorakan kepada peserta yang tiba.  Tiba-tiba sewaktu saya sedang berjalan kerana yakin sudah mendapat tempat ketiga, sorakan daripada penonton semakin kuat.  Sorakan mereka seperti meraikan kejayaan saya.  Tetapi yang peliknya, semakin lama semakin kuat dan kelihatan macam panik pula.  Tiba-tiba saya merasakan seseorang memintas saya dari belakang.  Apabila saya lihat, rupa-rupanya rakan saya berjaya mengejar saya dari belakang dan dia mengambil peluang memintas saya ketika saya memberhentikan larian disebabkan terlalu yakin tiada yang mengejar dari belakang.  Sudah terlambat untuk memintas dia sebab garisan penamat hanya beberapa meter sahaja memasuki pintu pagar sekolah.  Walau cuba untuk mengejar, saya tetap gagal.    Akhirnya mendapat nombor empat.  Sebab itulah tips penting merentas desa ialah keep going and never stop.  Once you stop, it will be hard to start back and regain the momentum.  Memang saya menyesal dan geram dengan rakan saya tersebut.  Tapi bukan salah dia.  Saya rasa, itulah antara kejayaan paling manis sepanjang hidup dia.  Berjaya memintas Nurhidayu Rosli yang poyo dalam acara merentas desa dan sekaligus mematikan impian dia adalah sangat manis untuk dikenang.  Menangis kot.  She was the one I least expected to beat me.

Bertitik tolak dari kegagalan tersebut yang sebenarnya boleh dielakkan sangat, merentas desa di peringkat sekolah menengah saya berazam untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama.  Saya tidak suka bersaing tetapi saya lagi tak suka berdiam diri apabila ada persaingan.  Waktu pertama kali masuk merentas desa di peringkat sekolah menengah, saya dengan rakan-rakan kononnya tidak mahu berlari sebab saya malas nak bersaing.  Nak berjalan sahaja.  Waktu dilepaskan, kami berlari dan sampai di kawasan kelapa sawit (track sewaktu sekolah menengah tak best langsung) mula memperlahankan gerakan.  Ada rakan-rakan yang sudah ketinggalan di belakang, ada yang mula berjalan dan bersembang, dan ada yang sudah semput.  Saya pada waktu tersebut, melihat ada rakan-rakan dari rumah sukan lain mula memintas, saya rasa tercabar.  Tak boleh jadi ni.  Tanpa memberhentikan larian, saya tinggalkan rakan-rakan yang terpekik-pekik memanggil dari belakang.  Hasilnya saya berjaya mendapat nombor walaupun tidak di peringkat top five.

Merentas desa seterusnya saya memang memberi saingan.  Pada pandangan saya, dah orang suruh lari, lari jer la.  Buat apa nak berjalan.  Lagipun berjalan hanya meletihkan dan membuang masa tanpa mendapat apa-apa hasil.  Kalau berlari, insyaAllah masih ada peluang untuk mendapat nombor walaupun tak menjadi johan. Saya bukan atlet olahraga  harapan sekolah, jadi larian bukan kepakaran saya.  Tapi kalau setiap kali kita memberi saingan dan berusaha, insyaAllah, ada bahagian untuk kita.  

Walaupun tahu harapan untuk menjadi juara itu tipis, saya tetap nak menang.  Oleh itu, sewaktu di tingkatan empat saya mencari-cari sahabat-sahabat saya yang mana selalu menjadi johan.  Saya nak berlari dengan mereka dengan harapan saya  akan mendapat top five walaupun bukan top three.  Pada mulanya, saya tidak mampu nak ikut larian mereka. Mereka yang selalu menjuarai larian jarak jauh selalunya ada dua cara larian.  Pecut pada awalnya dan meninggalkan rakan-rakan lain sebelum memperlahankan larian apabila sudah berada jauh dari rakan-rakan atau membuat larian perlahan tapi kekalkan momentum sebelum membuat pecutan pada saat akhir.  Saya memilih untuk mengikuti rakan yang membuat pecutan awal.  Tetapi, sewaktu di pertengahan saya sudah pancit sebab telah memerah tenaga pada awalnya.  Walaupun sahabat saya dengan baik hati menarik tangan saya supaya terus berlari sambil memberi kata-kata semangat, saya sudah tak mampu dan meminta dia meninggalkan saya.  Walaupun pada akhirnya saya mendapat nombor yang entah keberapa belas (masih dapat hadiah), sahabat saya tersebut berada di tangga tiga ke atas.  

Waktu di tingkatan lima, saya memilih untuk mengikut sahabat yang membuat larian dengan cara larian perlahan pada awalnya tetapi masih kekalkan momentum sebelum pecut pada saat akhir.  Lagipun peserta perempuan tambah-tambah apabila sudah di tingkatan lima, memang tak berminat nak berlari.  Jadi, ini merupakan peluang terakhir saya untuk bertanding di kategori menengah atas perempuan.  Saingan selalunya datang dari pelajar tingkatan empat.  Matlamat saya ialah top five.  Cara tersebut nampaknya berjaya.  Masih segar di ingatan, sewaktu mendekati pintu pagar belakang sekolah, saya membuat pecutan terakhir tanpa mempedulikan rakan yang bersama-sama saya.  Memang pada waktu tersebut, tidak ada yang mampu memberi saingan sebab masing-masing sudah memperlahankan langkah.  Seorang demi seorang saya pintas sehingga mendekati garisan penamat, saya terpaksa bersaing dengan seseorang dan memang penonton yang berada di sepanjang laluan memberi sorakan yang mengingatkan saya kembali keadaan saya sewaktu di darjah 4.  Tambahan pula, pada waktu tersebut saya mewakili rumah hijau manakala saingan saya mewakili rumah lain.  Alhamdulillah, saya berjaya.  Saya boleh bayangkan perasaan peserta yang saya pintas tadi, tapi at least saya dah membalas dendam walaupun bukan pada rakan lama saya.  Matlamat saya tercapai, saya dapat no.5.  Bukan senang senior nak lari sebab kononnya sudah besar, tapi lawan tetap lawan.  Dengan termengah-mengah seperti kehabisan oksigen, saya mengambil kad bernombor 5 sebagai bukti saya menang.  Kad tersebut masih tersisip kemas dalam diari sebagai bukti.  Kasut sukan yang dipakai terus rosak menyebabkan saya berstokin sahaja sewaktu mengambil hadiah.  Terima kasih kasut, lepas guna dan bantu saya menang, saya buang awak.

Mengambil ibrah daripada pengalaman merentas desa ini,  kita perlu buat yang terbaik dalam segenap aspek dalam hidup.  Walaupun kita bukanlah ahli dalam sesuatu bidang, selagi kita berusaha, masih ada bahagian untuk kita yang telah Allah janjikan buat mereka yang berusaha.  Muslim harus berusaha menjadi yang terbaik dalam bidang yang diceburi.  Terbaik yang bermaksud menguasai bidang tersebut.  Jika ada KPI terbaik yang diletakkan dalam bidang tersebut, pastikan dicapai.  Memutar memori lama mengingatkan saya kepada semangat persaingan tersebut.  Beza antara merentas desa dengan situasi semasa ialah merentas desa ada garis penamat dan saingan tersebut jelas depan mata serta usaha yang digembleng sangat dirasakan.  Dalam situasi realiti, kita tidak tahu siapa saingan kita, di mana garis penamat kita dan setakat mana usaha kita.  Competition can come from the source we least expect.  Jadi, saya melihat jika cara pecutan awal dan kekalkan momentum tak sesuai dengan kita, mungkin boleh dicuba cara kedua, kekalkan momentum dan buat pecutan akhir.  Apa yang penting, setiap usaha ada bahagian yang telah Allah janjikan.  Oleh itu, walaupun  tak suka persaingan, usaha masih perlu supaya mendapat yang terbaik.  InsyaAllah.  Lagi satu, berdamping dengan rakan yang berada dalam kalangan yang terbaik merupakan petua yang paling mujarab seperti mana ibarat berdamping dengan penjual minyak wangi.  Cuba cari ruang dan peluang.


No comments: