Showing posts with label yang tersirat. Show all posts
Showing posts with label yang tersirat. Show all posts

Tuesday, July 30, 2013

Merdeka

Apakah kelemahan orang berkuasa dan orang kaya?
Jawatan/kedudukannya dan hartanya.

Sebab itulah orang selalu gunakan mahasiswa sebagai kuasa ketiga (third force) sebab 'we've got nothing to loose.'


Kelemahan mahasiswa yang mampu mereka gunakan sebagai senjata untuk melemahkan kita ialah- ibu bapa dan sumber kewangan. Bukan semua termakan tetapi banyaknya yang layu. Mereka sentiasa takutkan golongan muda dengan harapan kita mendiamkan diri dan terima sahaja apa yang mereka lakukan. Mereka menyebut-nyebut kelemahan kita dengan hasrat melindungi kelemahan mereka.

Sebenarnya golongan ini lagi penakut hatta dengan bayang-bayang sendiri. Kalau ikut John Gray, orang yang mudah melenting atau panas baran (nampak egois, keras dan kuat) sebenarnya makhluk yang lemah. Tambah-tambah orang berkuasa dan kaya ni. Dan saya sentiasa ingat perkara ni semasa bersama para aktivis. 
(Obey the law of Allah and repeat after 'me'- I am free)



***

Saya terdetik nak buat ulasan ni sebab pagi tadi waktu nak ke UKM menaiki PDW, selepas dari lampu isyarat depan KTM UKM, ada satu kereta BMW (rasanya) di laluan sebelah kiri. Kereta sebelah kiri selalunya kena masuk ke sebelah kanan selepas lampu isyarat sebab hanya ada satu laluan. Kereta ni memandu di sebelah kiri juga dengan harapan saya yang memang berada di belakang van yang berada di laluan kanan memberi ruang kepada keretanya yang besar tu. Saya tak perasan pada mulanya sebelum ditegur oleh sahabat di sebelah. 'Apehal orang sebelah ni?'

Masalahnya, tak ada ruang antara saya dan van nak mengisi keretanya yang besar. Hadapan keretanya masih berada tidak separuh dari kereta saya. Jadi, saya buat tak tahu sebab saya kecil dan saya hanya Kancil. Walau bagaimana angkuh pun tindakan dia, dia tetap tak mampu mengorbankan BMW dia untuk bercium dengan PDW saya. Itulah kelemahan dia. I've got nothing to loose. I was aware of that fact walaupun BMW dia lebih hebat dari PDW. Calar kereta dia lebih berkos tinggi selain menjatuhkan imej dia berbanding calar PDW saya yang sememangnya sudah comot. Akhirnya, dia hanya terdaya untuk menekan hon sebagai respon kerana mencalarkan ego dia yang terpaksa berada di belakang saya. 

Mendekati pagar belakang UKM, saya masuk ke laluan kiri dan dia memotong di laluan kanan. Peringatan: Never look into the eyes of anybody except if you want to apologize and admit your mistake. There was no harm made. Jadi, saya biarkan sahaja seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Biarkan BMW dengan labu-labunya. The End.

***
Nasihat bijak pandai, kita boleh memiliki harta, tetapi jangan biarkan harta miliki kita. Kaya tapi tak cinta harta seperti kata seorang senior, Kak Hajar. Sebenarnya menjadi muda ini merupakan kebebasan tertinggi dalam hidup seorang insan. Belum ada komitmen, hati tidak banyak terikat kepada dunia. Saya suka keadaan begini. Kita diberi kebebasan untuk menentukan nasib hidup sendiri. Sayang kalau tak pandai menggunakannya. Menjadi kecemburuan orang-orang tua. Tapi kehidupan sebegini ada hadnya. Melepasi umur emas* ini, keterikatan kita kepada dunia sangat merisaukan apabila kita sudah mempunyai komitmen. Nanti dah ada suami, isteri, anak-anak, harta, hidup makin terbuang memikirkan perkara ni- walapun aset ini juga boleh membuatkan kita ke syurga, aset ini juga sebenarnya boleh menghunjam kita ke neraka, lagi berganda ujian yang perlu dihadapi. Risau kita terlebih memikirkan mereka-mereka ini berbanding Tuhan. Nauzubillahiminzalik.


"Every marriage has its tests. Those who pass them are content. Those who fail, regret."


-- Mufti Ismail Menk --



'The cave you fear to enter holds the treasure you seek.'

Tiada kemerdekaan hakiki selain kita tidak merasa ketergantungan kepada selain dari Allah s.w.t. Itulah kekuatan sebenar. Tak rasa sedih kalau apa yang kita miliki luput dari kita--- saya memang nak sangat-sangat rasa ini. Macam tadi, tak rasa inferior pun dengan BMW. Puas hati. Merdeka. Walaupun lambat lagi sambutan kemerdekaan~ Dan saya yakin inilah perasaan yang membaluti pejuang-pejuang di Syria, Mesir, Palestin- we have got nothing to loose. Hidup mulia, mati syahid. 

(kudaku lari gagah berani~~)

Yeah, saya perlu belajar lagi untuk kurangkan rasa memiliki. Perlu. Period.

* Umur emas atau warga emas seharusnya orang muda bukan orang tua. Seharusnya orang tua dilabel dengan gelaran lain dan kurang bernilai barulah dia sedar dirinya tidak dimahukan di dunia ini dan berusaha mencari jalan dan persediaan ke alam lain. 

p/s: the feeling of having nothing to loose is just perfect. 

Sunday, June 23, 2013

Kebersamaan

Pagi tadi selepas Subuh, sahabat saya dikejutkan dengan panggilan telefon dari seorang sahabat. Rupa-rupanya kakak sahabat tersebut yang telefon membawa berita sedih. Sahabat tersebut telah keguguran pagi itu dan sekarang sedang berada di hospital. Tujuan kakak dia telefon adalah ingin mendapatkan nombor telefon suami sahabat. Hendak dijadikan cerita, suaminya tidak dapat dihubungi. Mesti sedih apabila berlaku perkara tidak diingini tanpa suami di sisi.

Saya pernah dengar orang-orang tua di kampung bersembang, kalau isteri keguguran, suami yang paling teruk dimarahi. Alasannya tidak pandai menjaga isteri. Sudah ketentuan dan ujian Allah s.w.t buat pasangan, kita seharusnya redha dan tabah. Dan entri ini bukanlah untuk mencari salah sesiapa sebab saya jauh dari situasi mereka tetapi apabila berlaku perkara sebegini saya ingin mengetengahkan sikap orang-orang tua yang pernah saya lihat. Dis is how the typical society see the situation. Bagi orang-orang tua, mereka ada pemikiran dan sikap tersendiri terhadap perkara sebegini. Sewaktu kenduri anak bongsu Mak Lang, saya dapat tahu menantu perempuan Mak Lang baru-baru ini keguguran. Saya lihat Mak Lang bersungguh-sungguh menyesali sikap anak lelakinya.

"Dah tahu bini tengah mengandung, biar bini tu makan benda pedas-pedas." Dan disokong oleh mak cik-mak cik yang turut berada di dapur pada masa itu.

Dijadikan cerita isteri sepupu saya suka sangat makan pedas sehingga cabai melaka (cili padi) boleh dimakan begitu saja. Saya tak pasti dia tidak tahu sama ada dia mengandung atau tidak tetapi selepas dia makan makanan pedas, tiba-tiba dia mengalami turun darah/gugur. Tapi kandungan tersebut masih awal. Jadi Mak Lang ni punyalah marah kat anak lelakinya dan sehingga pada masa saya mendengar cerita Mak Lang, dia masih marah dengan sikap anak lelakinya yang dikatakan cuai. Tetapi sekarang mereka sedang menantikan kelahiran baru. Kalau fikir logik, kecuaian tersebut seharusnya salah diri sendiri sebab diri sendiri tahu keadaan badan. Rupa-rupanya orang tua tidak berfikir sebegitu dan mungkin ada benarnya. Psikologi isteri semasa hamil memang sangat bergantung sepenuhnya kepada sikap suami sepanjang tempoh kehamilan tersebut. Tambah-tambah kandungan pertama. Bagi mereka, suami seharusnya lebih tahu dan lebih sensitif berbanding si isteri yang mungkin keadaan psikologinya berbeza dari biasa dan kadang-kadang terlalu mengikut hati dan emosi. Beratnya tanggungjawab seorang pemimpin dalam memastikan kebajikan insan yang diamanahkan dilaksanakan dengan baik.

Melalui cerita sahabat, ada seorang rakan sekelasnya yang mengalami keguguran sebanyak 4 kali dan kelahiran 4 kali. Apabila diselidiki, rupa-rupanya si suami seorang yang panas baran dan tidak berlemah lembut dengan si isteri. Keadaan ini menyebabkan si isteri berada dalam tekanan sepanjang waktu kehamilan sehingga tidak lalu makan dan hanya bergantung kepada jus oren. Satu tindakan yang silap kerana jus oren adalah tajam. Kesannya dia keguguran kerana kandungan tidak kuat dan emosinya juga tidak stabil. Hanya pasangan yang pentingkan diri sendiri melihat mengandung ini masalah isterinya sendiri dan hanya boleh diselesaikan oleh si isteri. Nauzubillah...

Ada juga sahabat yang keguguran anak pertama, suaminya dikenakan perintah berkurung oleh ibu bapanya kerana melihat pentingnya suami di sisi untuk memberi sokongan moral dan bantuan bagi mengharungi saat-saat sukar ini. Orang-orang tua memang bertimbang rasa kerana memikirkan isteri atau menantu adalah amanah ibu bapanya kepada si suami dan keluarga mentua yang perlu dijaga. Apabila berlaku perkara sebegini, apa pandangan dan perasaan ibu bapanya? Anak aku tidak dijaga dengan elokkah? Baru saya faham perasaan mak yang belum serius nak melepaskan kakak. Dia lebih risau anaknya tidak dijaga dengan baik berbanding belum berkahwin. Selalu diulang-ulang;

 'Mak takut anak mak orang buat tak tahuan. Duduk dengan mak abah, bolehlah mak abah jaga, sampai kat tangan orang, dibuatnya lebih kurang, ishh...tak boleh nak fikir.' 

Kadang-kadang si suami mungkin sudah berusaha sehabis baik, tetapi mentua dan mak ayah melihat masih terdapat kelompangan di mana-mana yang akan dicari dan dijadikan modal bagi menyedarkan si suami bahawa dia belum cukup berusaha menjaga isterinya.

Mengambil nasihat Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man;

Apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini, manusia lazimnya suka menghabiskan banyak waktu untuk mencari siapa yang patut dipersalahkan – samada di tempat kerja, dalam hubungan keluarga, suami isteri mahupun persahabatan – sehinggakan kita terlupa pentingnya silaturahim antara manusia perlu dipellihara.

Sekali lagi, entri ini bukanlah berniat melihat salah manusia, cuma sekadar peristiwa tersebut mencetus penulisan entri sebegini berdasarkan penilaian manusia sekeliling. Kerana at the end of the day, Allah s.w.t lebih berhak menentukan segalanya... semoga mereka tabah. wallahualam. 

Membina kehidupan dengan seseorang yang hidup dalam dunia yang berbeza dengan kita memang merupakan satu ujian yang mungkin menjadi kunci keredhaan atau kemurkaan Allah s.w.t kepada kita. Jika kegembiraan mampu dikongsi, apakah apabila dalam kesedihan masing-masing membawa diri? I'll stick by your side until you are willing to talk dis out (ni solusi terbaik diharapkan oleh setiap wanita yang at certain times dia memang kurang waras- masa pregnancy, PMS dll).

Pendapat saya, hanya si suami layak membuat keputusan berkaitan isterinya tanpa dipengaruhi oleh padangan orang sekitarnya hatta ibu bapa, sahabat-sahabat, saudara-mara atau ustaz-ustaz. Logik jika sakit perlu mencari doktor, jika ada masalah perhubungan dalam keluarga, kaunselor lebih berautoriti kerana memiliki kepakaran khusus mengenai psikologi suami isteri. Jika tidak mampu berjumpa kaunselor, cukup sekadar suami tersebut berfikir sendiri dan seharusnya mengharap petunjuk Allah s.w.t. Bukan orang sekeliling yang dikhuatiri melihat dari sudut pandangan diri dan pengalaman peribadi dan lebih malang perasaan sendiri dan semestinya tidak mengetahui langsung peribadi isteri orang lain yang berbeza perangainya. Moga pasangan suami isteri yang diuji mampu kuat menghadapi ujian dalam rumahtangga.

p/s: Wanita ni kompleks perangainya. Hanya si suami yang tahu. Jadi sudah tentu tidak logik jika keputusan si suami terhadap isteri perlu ditentukan oleh orang luar yang tidak tahu perangai isterinya. It's so not fair. Lebih baik duduk tepi tasik dan fikir jalan penyelesaian daripada bersembang dengan orang sekeliling yang tidak ada kepentingan atau kerugian. Hmm... bagitahu awal-awal supaya boleh bersedia pada masa hadapan.
(thus, always wait until our heart's ok before we make any decision)

Thursday, March 28, 2013

Hadiah


Saya suka hadiah.  Sebab? Sebab hadiah merupakan satu pemberian seseorang kepada kita tanpa dipinta.  Tidak kisahlah walau hadiahnya hanya sekeping kad atau sekuntum bunga yang dipetik di tepi jalan.  Sejak saya mengenal erti hadiah atau pemberian tanpa dipinta, saya simpankan semuanya dalam almari belajar saya.  Dari sekolah rendah sahaja, pelbagai pemberian yang saya simpankan.  Dari sepucuk surat, keychain, sehinggalah kepada hadiah-hadiah yang mahal pada masa itu.  Penuh almari dengan koleksi.  Tambahan pula, kanak-kanak selalu seronok meraikan sahabat baik.  Masing-masing akan ingat tarikh lahir dan beri hadiah.  Kalau dia beri, kita akan beri kembali pada hari lahirnya.

Naik sekolah menengah, hadiah tidak sebanyak sekolah rendah kerana nak beli hadiah kena consider harga.  Malu pula kalau beli barang murah.  Jadi, kadang-kadang hanya memberi kad.  Tapi, selalunya sahabat-sahabat sekolah menengah lebih mementingkan nilai-nilai sentimental kepada benda-benda yang bukan hadiah pun, tetapi pemberian secara tidak sengaja.  Kadang-kadang bungkusan coklat pemberian kawan pun disimpan.  Penuh laci dengan bungkusan coklat Van Houten.  Waktu ada kakak angkat, ada sahaja kad-kad ucapan dan kata-kata semangat yang diselitkan di bawah plastik meja dalam kelas.  Seronok.  Waktu Apple Day saya dapat buah epal pemberian oleh adik-adik yang sengaja tidak diberitahu nama kononnya secret admirer.  Saya selitkan daun epal tersebut dalam diari. 

(hadiah daripada pelajar-pelajar KAFA)

Semakin dewasa, nilai hadiah semakin tinggi.  Bukan sebarang orang kita akan beri hadiah.  Kalau dahulu, kawan sepermainan pun kita beri hadiah, apabila dewasa, hanya orang yang betul-betul kita hargai dan menghargai kita yang kita akan berikan hadiah dan peroleh hadiah daripadanya.  Hadiah-hadiah yang diberikan terasa sayang untuk dibuka, jadi saya simpankan dalam almari baru yang disediakan mak sebab dah semakin banyak harta karun dalam bilik.  Memang penuh dengan pemberian dan hadiah yang saya susunkan atas rak dan almari. 

Semasa pergi ke Kem Smart Solat di Nilai baru-baru ni, selain mendapat saguhati daripada pihak pengurusan di sana, seorang daripada ibu peserta menghadiahkan saya kain sari dari India sebagai penghargaan kerana menjaga anaknya.  Terharu saya kerana ia merupakan hadiah peribadi daripadanya. 

(hadiah dari Kem Smart Solat)

Itu hadiah daripada manusia.  Bagaimana dengan hadiah daripada Tuhan?  Memang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata.  Ada satu-satu masa apa yang saya pinta hanyalah sesuatu yang biasa dan kecil.  Tetapi Allah s.w.t telah anugerahkan sesuatu yang lebih istimewa.  Sangat berbeza mendapat apa yang dipinta dengan mendapat apa yang dihadiahkan.  Selalunya kita malu untuk meminta sesuatu yang kepada kita tidak selayaknya untuk diminta walaupun kalau kita dapat memanglah kita akan gembira tak terkata.  Itulah yang terjadi apabila Allah s.w.t mengurniakan hadiah yang tidak disangka.  Macam kita minta sekuntum bunga mawar, tetapi seseorang hadiahkan satu taman kepada kita.  Mak cik-mak cik di tempat kem memarahi saya kerana tidak memberitahu mereka bahawasanya saya berpuasa.  Kalau tak mereka sediakan makanan khusus untuk saya.  Itulah saya, tak berani nak berlebihan dalam meminta, takut dikecewakan.  Tetapi dengan Allah s.w.t “Berdoa kepada-Ku, nescaya akan aku perkenankan bagimu”-(al-mukmin:60).  Kadang-kadang apa yang dipinta di mulut tidak sama di hati.  Dan Allah s.w.t Maha Mengetahui.  Ada sesetengah perkara yang tidak saya pinta di mulut tetapi di hati dan Allah s.w.t berikan.  Tetap saya masih menganggapnya sebagai hadiah kerana ia sesuatu yang saya tak pinta secara terus-terang tetapi Allah s.w.t tahu saya nak.  Kadang-kadang kita manusia pun boleh tahu apa yang dikehendaki sahabat walaupun dia tak pinta secara terus-terang.  Bahkan Allah s.w.t Maha Teliti urusannya.  Terima kasih ya Allah… Setelah bersyukur maka bersabarlah… (jadikan kami kuat bukan sahaja dengan kata-kata malah tindakan kami..). Jadi mintalah sebanyak-banyaknya daripada Tuhan-mu kerana Dia memiliki kurniaan seluas langit dan bumi.

Monday, January 7, 2013

Acuan



Semasa ujian sunnah dan adab sedang berlangsung…
Nureen: Ustazah…tsana tu apa?
Saya     : Awak rasa apa?
Nureen: Ntahlah…tsana saya tak tahu, sanak-saudara saya tahulah (jawab dengan muka seposen)
***
(Auni)
Saya     : Auni…pipi ustazah wangi tak?
Auni    : Pipi ustazah bau macam..emm..katak…eheheh
Saya     : Jahat!... cakap betul-betul.
Auni    : Emm..ntah. (sambil bagi senyuman nakal)
Nisrina: Bau ustazah bau sikit macam bunga ros.
Salma   : Bau macam nasi.
Saya     : Macam-macam la kamu ni… macam mana Auni tahu bau katak? Auni pernah cium katak ke? (masih tak puas hati)
Auni    : Aah. Kat rumah Auni banyak katak… (biar betul la budak ni…)

***
(anis)
Penggunaan perkataan yang tak sesuai dengan umur…
Saya     : Kenapa adik kamu Fahim macam tu?
Anis     : Tak tahula… Fahim tu stress (baru umur 10 tahun dah pandai guna stress~)
Saya     : Habis tu, kenapa Hafiz biarkan Fahim tu jumpa dengan Adila? Pi la halang…
Hafiz   : Saya dah marah Fahim tu, tapi tiba-tiba Adila tu mengganas

***
Waktu sedang sibuk mengatur dewan untuk majlis konvokesyen malam nanti. Ke hulu ke hilir memastikan dewan teratur dalam masa yang sangat terhad dengan hadiah masih ada yang belum dibalut lagi. Mubashir yang berumur 8 tahun mengekor dari belakang. Habis satu kerja yang diberikan, “Ustazah, nak buat apa lagi?” Selesai kerja, “Ustazah, ada lagi nak buat?”. Kalau tidak mengira saiz badan yang kecil nak sahaja saya suruh panjat gantungkan tirai. Saya mundar mandir ke hadapan ke belakang. Tiba-tiba dia datang block.

Mubashir: Ustazah, kenapa ustazah sombong?
Saya        : Laa…ni kenapa cakap ustazah sombong ni?
Mubashir : Ustazah sombong sangat… (sambil senyum malu-malu)

Saya fikir saya dah bagi perhatian lebih kat dia berbanding yang lain~

***

Hafiz   : Ustazah teka berapa hari saya tak jumpa ayah saya?
Saya     : Berapa hari?
Hafiz   : Dah seminggu… kesian kat saya kan? (sambil tersenyum)
Saya     : Kenapa ayah awak tak balik? (senyuman dia buat dahi saya berkerut)
Hafiz   : Kadang-kadang dia tidur di kedai.

***
Saya     : Hafiz, ayah awak mesti banggakan tengok awak ambil hadiah dan jadi pelajar terbaik?
Hafiz   : Tak tahulah… ayah tak pernah pergi pun kalau ada hari kecemerlangan kat sekolah. Mak saya yang selalu pergi kalau ada apa-apa.
Saya     :  Habis tu malam konvo ni ayah awak datang tak?
Hafiz   : Tak tahulah…nanti saya tanya mak saya.
Saya     : Awak pastikan ayah awak datang juga.
Hafiz   : Baiklah..

Dan malam itu Hafiz datang tunjukkan saya ayah dan emaknya yang berada di sudut dewan. Bertuah mereka memiliki anak yang baik dan bercita-cita tinggi walaupun kedua-duanya sibuk bekerja. Mungkin masa yang diluangkan dengan anak-anak walaupun sedikit adalah berkualiti. 

***
Malam sebelum konvo esoknya, Hafiz, Anis dan adiknya Fahim datang tolong siapkan apa-apa yang patut. Hafiz terus datang tolong dan pulang ke rumah hanya untuk solat Maghrib. Apabila ditanya mak awak tak marah ke? Dia jawab;

“Mak saya jam 12 malam baru pulang ke rumah. Masa tu saya dah tidur dah.”

Saya tahu dia tak makan malam lagi, jadi saya hidangkan makanan. Sambil-sambil tu sengaja melayannya bercerita.

Hafiz   : Ustazah tahu tak, kakak saya suka pakai baju kecik. Ustaz Syafiq cakap kalau nak tegur    kena tegur baik-baik. Tapi bila saya cakap “ Kakak cantiklah hari ini, kalau kakak pakai        baju kurung lagi cantik” terus dia marah.
Saya     : Awak cakap sebijik macam ayat ustaz tu bagi ke?~
Hafiz   : Ye lah, dia tu tak makan saman. Puas saya tegur tapi tak nak dengar. Saya cakap baik  dia tak nak dengar, saya marah dia, dia marah saya balik. Saya pernah kena tampar…
Saya     : Ye la, awak tu anak bongsu, manalah diorang nak dengar cakap adik.

***
Bukan calang-calang budak mereka ni, walaupun berumur 10 tahun dan 7 tahun, bab-bab politik dah cakna.

Fahim  : Ustazah nak tahu, Anis kalau dia nampak Najib dalam tv terus dia marah-marah cakap       BN- Barang Naik! Barang Naik! (sambil dia buat gaya tangan)
Saya     : Haha…mana belajar ni?
Anis     : Ye lah, dah mak saya PAS. Saya pun sokong PAS lah..ustazah sokong apa?
Saya     : Emm..
Hafiz   : Kalau sokong pun tak payahlah bagitahu.. kat kelas saya pun selalu cikgu cakap politik      tanya kami sokong apa. Saya tak mengaku.
Saya     : Kamu sokong apa Hafiz?
Hafiz   : Mestilah PAS, tapi tak payahlah nak bagitahu.
Fahim  : BN= Bontot Najib
Saya     : Heyyy… apa cakap camtu. Tak baik…Kat mana kamu dengar benda-benda camni?
Fahim  : Kawan-kawan saya lah.~
***
Saya tak terlepas bertanyakan soalan cepumas kat Hafiz. Walaupun dia sekadar berumur 11 tahun, tapi disebabkan matang sangat, jadi saya tanya dia;

Saya     : Hafiz, apa pandangan awak dengan orang yang kahwin dua?
Hafiz   : Ok. Saya pun nak kahwin dua juga nanti.
(saya yang berdiri mengadap sinki terus berpaling ke arah dia yang tengah makan)
Saya     : Tak kesian kat isteri awak ke? (muka tak percaya)
Hafiz     : Dah jodoh nak buat camna.. (dengan tersengih)
Saya     : Teruk..Tak naklah kawan dengan awak (saya terus blah ke depan~)

Rupa-rupanya ayah dia amalkan poligami. Patutlah jarang ada di rumah, Patutlah anak dia pun nak jadi macam tu…hu

Walaupun macam dialog novel, ini memang hasil perbualan saya dengan mereka. Memang asyik gelak sahaja dengan mereka.  Macam-macam keletah di luar jangkaan. Tapi walau macam mana pun diorang, apa yang saya belajar, anak-anak memang akan ikut, terpengaruh, ingat, tiru, refleks, copy paste, apa-apa yang mereka lihat dan dengar daripada ibu bapa mereka. Jadi kena berhati-hati dalam mencorak diri dan perilaku kerana kita bakal menjadi acuan anak-anak nanti…Wallahualam


Saturday, November 17, 2012

Prinsip


Dalam hidup ini ada dua kelompok manusia. Satu yang hidup mengikut peraturan, yang satu lagi hidup bebas. Atau dipanggil free spirit.

Kelompok yang mengikut peraturan, sesetengah manusia memandang mereka ini sebagai manusia yang membosankan dan tidak menyeronokkan. Sebab, nak buat itu tak boleh, nak buat ini tak boleh. Kelompok yang hidup bebas ini pula, kehidupannya penuh dengan pelbagai kejutan hasil daripada sikapnya yang semberono. Yang mana satukah anda?

Hidup dengan kelompok yang mengikut peraturan memang membosankan. Kita sudah dapat menjangkakan apa yang akan dilakukan oleh mereka. Ada orang melabelkan mereka sebagai tidak ada life. Terlalu stabil. Contoh, pagi sarapan roti, telur separuh masak, susu. Pergi kerja. Tengah hari, qailullah. Solat zohor. Makan tengah hari-nasi berlauk. Masuk kerja. Solat asar. Makan malam. Solat maghrib berjemaah di masjid. Solat isyak. Balik rumah, tidur. Hari minggu-bercuti bersama keluarga. Destinasi- air terjun, tepi pantai, pulau. Barang-barang keperluan- bla,bla,bla. Malam tak boleh makan berat, tidur jam 10 malam, bangun jam 5 pagi, tak boleh itu, tak boleh ini.

Kelompok bebas ini pula kehidupannya happening. Tak perlu fikir banyak-banyak. Tempuhi sahaja apa yang mendatang. Makan ikut suka, kadang makan kadang tak makan. Makan tak ikut masa. Jam 1 pagi boleh pergi bantai makan durian. Tengah malam makan burger bakar. Tidur bila mengantuk. Kat mana sempat kat situ letak kepala. Mandi kalau rasa rajin, kalau tak satu hari jadi kambing. Tak kisah. Kelompok ini banyak kawan sebab dengan semua orang dia boleh masuk. Orang suka berkawan dengan dia sebab dia fleksibel. Tak terlalu cerewet atau mengikut peraturan. Orang cakap senang bersama orang yang tidak ada expectation apa-apa. Penuh dengan kejutan.

Kalau kita perasan, media selalu menggambarkan kehidupan bersama kelompok pertama adalah membosankan dan kehidupan bersama kelompok kedua adalah yang paling istimewa dan menarik. Bukan sahaja media elektronik, malah media cetak. Sebagai contoh, kalau kita menonton filem Korea, Hindi, Melayu- latar cerita memaparkan seorang gadis yang memiliki seorang tunang yang stabil, mengikut peraturan dan mungkin boleh dikatakan skema, setia. Tiba-tiba apabila gadis tersebut bertemu dengan seorang lelaki (hero) yang tergila-gilakan dia, sanggup buat apa sahaja, penuh dengan kejutan, romantik dan kadang-kadang terlampau nak membuktikan cintanya sehingga menjebakkan mereka berdua dalam keadaan yang tak disangka, sanggup membelakangkan keluarga, gadis tersebut terus terpaut hati dengan lelaki itu. Dan endingnya, gadis tersebut sanggup meninggalkan tunangnya yang baik dan berkahwin dengan lelaki yang free spirit tersebut. Konon apabila bersama lelaki tersebut, gadis itu merasakan hidupnya tidak bosan. Tetapi, cerita berakhir dengan perkahwinan. Adakah itu pengakhirannya? Bagaimana dengan realiti selepas perkahwinan?

Berdasarkan pembacaan saya, manusia yang free spirit ini adalah individu yang tidak bertanggungjawab dan pentingkan diri sendiri. Filem atau novel memaparkan sikap sanggup buat apa sahaja sebagai terbaik dan bertanggungjawab. Sedangkan sanggup buat apa sahaja adalah tidak bertanggungjawab sebenarnya dan menunjukkan manusia tersebut tidak berfikir kesan terhadap tindakannya. Islam meletakkan matlamat tidak menghalalkan cara.

Perkahwinan bukan untuk sehari dua. Ia merupakan satu pelaburan jangka panjang. Sehari dua mungkin boleh bertahan dengan individu yang lepas bebas ini. Setahun kemudian, 5 tahun kemudian, 10 tahun kemudian, macam mana? Apabila ada pelbagai ujian dan cubaan dalam rumahtangga, individu ini boleh sahaja lepas tangan dan mencari jalan singkat bagi keluar dari masalah. Sebabnya mereka yang tidak mempunyai prinsip dalam hidupnya tidak berfikir panjang apabila membuat keputusan. Sebab itulah sedari awal dia boleh tiba-tiba jatuh cinta dengan gadis yang dijumpai di tepi jalan, tiba-tiba boleh membuat keputusan untuk memiliki gadis tersebut no matter what it takes, dan segalanya dalam hidup individu sebegini adalah instant. Macam mi segera. Memang sedap, tetapi lama-lama muak dibuatnya dan membahayakan kesihatan.

Sebenarnya, bukan contoh perkahwinan yang saya nak buat sebenarnya. Tetapi disebabkan perkahwinan adalah satu kehidupan yang mengikat individu yang terlibat, saya nak menggambarkan kalau tersilap pilih akan menyebabkan kita merana. Kalau sekadar berkawan dengan individu lepas bebas ini tak apa. Boleh kurangkan berkawan atau tinggalkan dia. Kalau dah berkahwin, bukan semudah itu.

Baru-baru ini sewaktu ke Kelantan, saya telah mengabaikan beberapa peraturan atau kebiasaan diri. Saya cuba jadi free spirit. Walaupun ianya sekadar perkara kecil, tetapi tetap memberikan kesan. Konon sebab nak rasa semangat mengembara. Gara-gara memakan makanan berat pada tengah malam, saya tidak dapat bangun awal seperti kebiasaan untuk solat sebelum Subuh. Kemudian, saya tidak merancang perjalanan balik dengan baik. Disebabkan tak nak berada di Kelantan lama-lama, saya pulang dengan bas muslimat Selangor yang akan bertolak selepas ucapan dasar Muktamar Pusat. Walaupun saya berpeluang pergi ke Istana Negeri dan melihat pameran MAIK di dalam dewan pameran istana, saya telah membuat beberapa kesilapan.

Pengajaran pertama, kalau berjalan di tempat yang jauh, jangan makan makanan yang pelik-pelik. Disebabkan nak merasa makanan Kelantan, saya telah membeli Som Tam. Lepas tu, saya makan pada waktu malam pula. Sudahnya perut saya menjadi tidak selesa yang amat. Tambah pula dalam Som Tam tersebut diletak pula udang kering, saya tak boleh makan udang. Setelah separuh makan, baru perasan ada udang kering. Kesannya, saya menderita sepanjang perjalanan pulang ke Selangor. Sudahlah perjalanan tersebut mengambil masa berbelas jam.

Pengajaran kedua, rancang perjalanan dengan baik. Saya semberono naik bas Selangor tanpa bertanyakan terlebih dahulu destinasi perhentian. Akhirnya, pada jam 1 pagi saya ditinggalkan di Taman Greenwood, Gombak. Mak cik-mak cik yang lain pakat balik tinggalkan kami. Nasib baik saya bersama dengan seorang rakan baru yang turut hendak pulang ke Kajang. Terpaksalah saya menyusahkan orang rumah untuk datang ke Gombak pada jam 1 pagi untuk mengutip kami. Itupun alhamdulillah orang rumah ada kenderaan. Saya memang ingat sahabat saya masih bercuti. Kami tumpang berteduh di sebuah gerai durian yang masih buka sehingga jam 2 pagi. Turut menunggu kami pulang dengan selamat sepasang suami isteri yang makan di gerai tersebut. Mungkin tak betah meninggalkan kami dengan penggerai yang kesemuanya lelaki.

Memanglah kalau dilihatkan ini merupakan pengalaman yang berharga dan jarang didapati. Tapi kadang-kadang saya merasakan saya sengaja menempah susah. Sekali dua memang menarik, kalau selalu begini kemungkinan satu masa saya mungkin terjebak dalam keadaan yang tidak diingini. Nauzubillah…

Sampai sahaja di rumah, badan saya dah mula panas dan rasa macam nak demam. Sudahlah perut tidak selesa sehingga sekarang menyebabkan saya hilang selera makan. Saya dalam kategori manusia yang tak boleh langgar peraturan, mesti akan menerima kesannya secara tunai.

Masa sekolah menengah, baru hari pertama saya tidak memakai lencana selepas turun dari pengawas saya sudah dimarahi oleh guru di hadapan kawan-kawan. Masa darjah satu, baru kali pertama mendapat surat peminat sudah kena rotan dengan guru di hadapan kelas. Jadi saya tak suka berkawan dengan lelaki. Mesti akan timbul masalah. Itulah bagaimana saya setkan minda dan membuat peraturan terhadap diri sepanjang hidup ini. Sedangkan ada orang tidak pernah kena apa-apa walaupun bercinta di sekolah dan melanggar peraturan.

Jadi saya kadang-kadang pelik dengan mereka yang sentiasa melanggar peraturan, tidak mempunyai prinsip hidup, hidup lepas bebas. Sebagai contoh, kalau seorang gadis ditinggalkan oleh pak we, semestinya kalau ikut logik, janganlah berkasih lagi. Tetapi tidak. Kalau kena tinggal, cari lagi. Hari ini kena tinggal, esok sudah ada pak we baru. Mereka cakap mereka benci lelaki, tetapi kenapa mereka berkawan dan bercinta lagi dengan lelaki? Sungguh saya tak faham dengan rakan-rakan saya yang sebegini. Macam mereka suka dilukai dan membenci. Kalau mereka datang meminta nasihat saya, terus saya cakap tak perlu la bercinta kalau macam tu. Ingat faham, tetapi masih tak faham. Apabila ditanyakan kenapa bercinta lagi, alasannya lelaki ini baik, romantik dan bla, bla. Tetapi kalau baik, kenapa sebelum ini dia sudah ada kekasih? Lepas tu, sanggup pula bergaduh dengan bekas kekasih pak we. Saya tak tahu macam mana nak tolong golongan ini. Kadang-kadang saya rasa mereka merupakan golongan yang suka hidup dalam konflik. Itulah golongan instant, free spirit. Tak berfikir panjang.

Dalam sebuah novel Inggeris yang saya baca, Far from the Maddening Crowd, a free spirit Batsheba memilih untuk berkahwin dengan seorang askar yang pandai menggodanya dan menolak lamaran seorang petani yang baik seperti Oak.  Hanya kerana askar tersebut pandai bermain kata dan selalu membuat tindakan berani manakala Oak sangat membosankan sebab pendiam dan terlalu menjaga batasan. Sedangkan askar tersebut telah menyebabkan seorang wanita mengandung. Tetapi setelah kematian askar tersebut akibat konflik, barulah Batsheba memilih Oak yang setia. Kalau saya jadi Oak, tak hingin saya kat Batsheba dah.

Kesimpulan daripada entri saya yang panjang ini adalah, hidup perlu ada prinsip dan pegangan. Jangan biarkan diri dipandu oleh nafsu hanya kerana inginkan keseronokan sementara. Kelak merana badan. Walaupun sekadar melanggar peraturan makan berat pada waktu tengah malam dan tidak merancang perjalanan dengan baik, kesihatan saya terganggu dan saya telah menyusahkan orang sekeliling. Kalau dalam perkara kecil pun perlu berpandukan peraturan dan prinsip, inikan pula perkara-perkara besar dalam hidup. Apatah lagi selaku pejuang Islam yang mengaku mendaulatkan Islam, perlu lebih teguh pendirian dan memiliki prinsip hidup yang jelas.


Monday, July 30, 2012

Never delay


Kalau minggu lepas sebelum memasuki bulan Ramadhan, seminggu saya dipenuhi dengan berita-berita mengenai kematian.  Namun, apabila memasuki bulan Ramadhan, seminggu pula saya dipenuhi dengan berita-berita mengenai perkahwinan.  Sama ada yang bakal berkahwin, yang nak berkahwin atau yang ada masalah nak berkahwin.  Setakat ini ada 5 jemputan kenduri kahwin yang diterima termasuk dari sepupu.  Memang perkara ini berentetan dan ianya datang dari individu yang berbeza-beza sama ada bakal berkahwin atau belum berkahwin.

Mendengar kuliah daripada Mufti Hussain Kamani, beliau menyebut sabda Rasulullah s.a.w daripada Ali r.a;
There are three things that a person should never delay,
i)                    Pengebumian apabila terdapatnya jenazah
ii)                  Solat apabila masuk waktu
iii)                Berkahwin

Tapi apa yang saya lihat sekarang ini, ibadah perkahwinan menjadi seperti ibadah haji.  Ibadah kahwin dilaksanakan hanya apabila seseorang tersebut berkemampuan dan bersedia, seperti haji.  Kalau tak mampu tak apa kalau tak kahwin lagi.  Sedangkan tuntutan untuk disegerakan adalah seperti perlu disegerakan pengebumian jenazah dan solat yang kita maklumkan bagaimana kadar segera yang dimaksudkan.  Ini lontaran dan persoalan yang timbul hasil dari mendengar kuliah tersebut.

“permudahkan, jangan persulitkan.”

Islam menyuruh kita mempermudahkan sesuatu perkara dan jangan menyulitkan.  Rata-rata rakan saya sama ada dari kecil sehinggalah membawa ke besar dan terkini rakan sepraktikal saya, merancang untuk berkahwin pada usia 26 dan 30 tahun.  Sebenarnya kalau ikut perancangan hidup yang saya buat dan dilekat di almari bilik di rumah, saya pun meletakkan umur 27 tahun.  Ia merupakan perkara terakhir yang akan saya buat.  Tetapi, as time goes by,  perancangan Allah selalunya yang terbaik dan sekarang baru saya tahu Rasulullah s.a.w menyuruh untuk menyegerakan perkahwinan seperti mana perlunya disegerakan solat dan pengebumian jenazah (ceh, macam lah dah kahwin~).  Namun, kefahaman saya masih sangat rendah saya kira kalau untuk menghuraikan hadis ini, jadi sebab itulah penulisan kali ini lebih kepada persoalan dan lontaran.

Dalam perbualan saya yang terbaru dengan rakan-rakan, kedua-duanya menggunakan alasan berbakti kepada ibu bapa dahulu sebelum memikirkan mengenai perkahwinan.  Alasan ini juga yang saya terima dari rakan-rakan perempuan yang lain sejak saya sudah pandai mendengar kisah mengenai perkahwinan.  Pandangan saya, kewajipan berbakti kepada ibu bapa merupakan satu kewajipan yang bersifat berterusan semenjak seseorang bergelar anak lagi.  Sepanjang masa kita perlu berbakti kepada mereka tidak kira walau apa pun yang terjadi dalam hidup kita dan apa pun perubahan yang kita buat.

Saya pernah berjumpa dengan seorang wanita bekerjaya, kawan kepada mak.  Setelah mendapat gaji RM12000 sebulan dan akan datang RM40000, semestinya itu merupakan pencapaian terbaik dan usaha untuk berbakti kepada kedua orang tua.  Ibunya pernah berkata, “A tak payah kahwinlah, A teman mak.”  Tetapi, ibubapanya sudah meninggal sebelum sempat menikmati hasil pencapaiannya.  Pada umur 35 tahun, untuk mula memikirkan mengenai perkahwinan sudah menjadi sukar.  Seperti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.  Takdir itu atas pilihan kita juga.

Oleh itu, permudahkan.  Berbaktilah sepanjang masa dan ibubapa akan sentiasa memberkati setiap keputusan yang kita buat dalam hidup.

Waktu sambil-sambil menolong abah, terpacul dari mulut abah;

“Nanti walaupun dah kahwin, ingat-ingat la jasa mak.  Banyak yang mak dah korban.”

Walaupun abah menyebut mak, tapi saya tahu itu membawa maksud kedua-duanya juga.  Abah tak pernah menghalang apa-apa pun keputusan yang saya buat, tetapi sentiasa memberi nasihat dan pesanan.

Oleh itu, alasan tidak bersedia setelah cukup syarat amat tidak cocok jika mengikut suruhan disegerakan tersebut.  Seperti mana tak boleh guna alasan tak bersedia untuk solat, “ali, jom solat.” “saya tak bersedia”. Boleh ke camtu?  Kalau kebumikan jenazah pun camtu juga..”tak perlulah kebumikan jenazah zohor ni, tukang mandi jenazah, pak imam tak sedia lagi, kita tangguh ke asar.” Agak-agak apa jadi kalau camtu?  Jadi kalau kahwin itu berada sebaris dengan perkara yang perlu disegerakan, rasionalkah menggunakan alasan tidak sedia?

Mungkin mereka melihat ibadah solat itu melibatkan diri individu sahaja, jadi kalau cacat solatnya, maka hanya dia seorang yang tahu dan tanggung, manakala pengebumian jenazah merupakan fardhu kifayah, jadi kalau dah ada yang tahu, maka dia tak payah bertanggungjawab.  Tapi perkahwinan melibatkan dua individu, oleh itu setiap individu perlu fikir banyak perkara dan merasa risau kalau-kalau dia dipersalahkan andai perkahwinan tersebut gagal atau ada masalah.  Pemikiran sebeginilah yang perlu dipecahkan.  Bukankah isteri itu dijadikan dari diri seorang lelaki, maka hakikatnya pasangan tersebut bersifat satu.  Selalu juga saya dengar ayat seperti “my other half”, “soulmate” yang merujuk kepada pasangan masing-masing.  Hal ini menunjukkan pasangan suami isteri merupakan satu.  Jadi kalau apa-apa yang berlaku kepada perkahwinan, kiranya macam separuh badan kita yang bermasalah, jadi sama-sama bertanggungjawab.

Ibubapa dituntut apabila anak gadisnya sudah sampai akil baligh, mereka perlu mula memikirkan untuk mencari jodoh bagi anak mereka.  Ada signifikannya suruhan Islam ini.  Selaku ketua keluarga, menjadi naluri seorang ayah untuk melindungi anak gadisnya.  Memastikan anak gadisnya sentiasa terjaga dan terpelihara dari gangguan lelaki-lelaki asing.  Namun, seorang ayah juga seharusnya sedar, anak gadisnya bukan selamanya akan berada dengannya dan yang paling penting, kematian akan menjemput pada bila-bila masa sahaja.  Oleh itu, dia seharusnya memikirkan siapakah yang dipercayainya untuk menjaga anaknya nanti.  Bukan sekadar melindungi tetapi mencari penggantinya.

Kejadian yang berlaku kepada rakan sepraktikal membuatkan saya terfikir mengenai perkara ini.  Walau sebaik mungkin seorang ayah menjaga anak gadisnya, suatu masa dia akan pergi juga.  Semestinya ayahnya sedih kerana tidak sempat melihat siapa yang bakal menjaga anaknya nanti.  Walau bagaimana protective seorang ayah, dia perlu memikirkan andai dia pergi dulu, siapa pula yang akan menjaga anak gadisnya seperti mana dia?

Bagi seorang lagi rakan sepraktikal saya, baru-baru ini dia meminta nasihat dan pandangan saya berkaitan masalahnya semasa kami sedang memandu ke pejabat.  Juga mengenai perkahwinan.  Ayahnya telah memilihkan jodoh untuknya, suatu tanggungjawab yang cuba dilaksanakan. Calonnya ialah seorang sepupu sebelah ibunya yang berumur 7 tahun lebih tua darinya, baik agama, jurutera, ada rumah, kereta, good looking.  Seseorang yang ayahnya percaya boleh menjaganya seperti mana ayahnya.  Masalahnya, dia dan lelaki tersebut tidak ada chemistry.  Itu sahaja alasan yang diberitahu kepada saya.  Jadi dia memilih untuk berdiam diri dan tidak memberi jawapan.  Keadaan ini menyebabkan ayahnya sedih dan ayat ayahnya lebih kurang begini mengenai alasan ayahnya memilih lelaki tersebut;

“Ayah tak nak nanti kau masuk tandas, tekan suis tapi tak menyala.”  Faham-fahamlah maksud ayahnya.  Mereka dari golongan berada.  Dia sudah terbiasa dengan kesenangan, jadi setelah ayahnya memberi segala yang dia mahukan, itu sahaja yang ayahnya minta dari dia.  Jadi dia serba salah.  Hanya menunggu kata ‘ya’ sahaja dari dia, maka mereka akan berkahwin.

Setelah saya bertanyakan beberapa soalan kepadanya, saya mendapati tidak ada alasan untuknya menolak lelaki tersebut.  Itu sahaja yang saya sebut.  Tidak ada chemistry kerana lelaki tersebut tidak pernah bercinta dengan mana-mana perempuan dari kecil, seorang pendiam, tak pandai nak raikan wanita dan lack of sense.  Normal la tu saya rasa bagi orang yang menjaga dirinya.  Kalau mat Romeo, memanglah romantik tapi tak realistik dan futuristik.  Moga dipermudahkan urusan dia.

Bagi saya, perancangan itu penting.  Banyak juga kes-kes yang saya dengar, putus tunang sebab pihak yang lain tidak serius dan tidak ada perancangan.  Setakat saya hidup ni, banyak kes yang putuskan itu adalah perempuan.  Ramai sepupu lelaki saya yang mengalami kes ini disebabkan bercinta dulu.  Kadang-kadang saya beranggapan bahawa perempuan lebih mudah berubah hati berbanding lelaki.  Kalau baca kajian yang dipaparkan di Yahoo, masa bagi orang lelaki dan orang perempuan tidak sama.  Lelaki lebih merasakan masa cepat berlalu berbanding wanita.  Jadi, memang rasional apabila Islam meletakkan tuntutan untuk seorang ayah segera mencari jodoh buat anak gadisnya apabila sampai usia yang dibolehkan. 

Saya pun tak kahwin lagi, tapi saya terfikir sebenarnya bukan jawapan nak berbakti kepada kedua orang tua yang menjadi asbab keputusan berkahwin lambat yang diambil oleh kawan-kawan saya.  Lebih baik jujur dengan menjawab:

"Tak ada orang nak/ jodoh tak sampai lagi.."... Betul tak?

Sebabnya, entah sudah berapa orang rakan saya yang dulunya menggunakan alasan berbakti, last-last end up kahwin awal juga apabila ada orang masuk meminang.  Jadi tak salah untuk berlaku jujur.  Alamak, tak baiklah Ayu ni, judgmental betul.

Ini pandangan saya. Walaupun belum kahwin, nak kongsi juga.  Tiba-tiba rasa ingin memberi pendapat sebab minggu ini ramai sangat yang membangkitkan soal ini.  Saya selalunya mengelak kecuali jika meminta pendapat saya.  Sebabnya, di hujung setiap perbualan, tidak sah kalau tak kaitkan saya dengan persoalan ini.  Kalau nak tahu tentang saya tak apa, tetapi nak tahu tentang bakal suami.  Sesuatu yang tak pasti bagi saya adalah topik yang lebih baik jangan dibincangkan. Sekian…




Tuesday, January 3, 2012

Soulmate

Coklat Ferrero Rocher.  Alunan instrumental Kenny G.  Pemandangan malam di luar diterangi oleh samar-samar limpahan cahaya dari lampu jalan.  Suasana apakah yang lebih baik dari ini untuk mencipta mood bagi mengulangkaji pelajaran? 

Namun, baca sebaris tajuk, fikiran dibawa ke tempat lain.  Baca lagi sebaris ayat, ada pula yang bertanya:

"Ayu, pernah tak jumpa lelaki yang suka tengok kasut perempuan?"
"Setakat ni tak pernah. Kenapa?"
"Lelaki tu dipanggil psikoseksual.  Tapi kalau dia tengok kasut perempuan sebab nak beli kasut dekat isteri dia macam mana pula?"

Sudah diajak berfikir ke isu lain pula sedangkan saya cuba fokus isu hubungan antarabangsa.  Melihat kepada tajuk Theoritical Soul Searching After the Rejection of the Constitution Treaty, teringat isu soulmate yang pernah dibangkitkan dan sudah lama ingin saya kongsi.

Oleh itu, bagi menghilangkan segala yang membengkak di benak, saya kongsi sedikit mengenai seorang pak cik yang dijumpai sewaktu Bulan Mesra Pelajar.  Dia seorang jurutera dan sedang menemani anak lelakinya yang baru mendaftar di UKM di Kolej Tun Hussein Onn. Saya hanya menjadi pendengar sementara MPP Azidah yang lebih banyak bertanya.

Isu yang dibangkitkan adalah mengenai soulmate.  Dengan penuh semangat sambil peluh mencurah-mencurah di dahi, dan gaya berdiri sambil meletakkan kaki sebelah ke atas kerusi, saya sedang cuba menafsirkan sama ada dia sedang berlagak macho di hadapan dua orang perempuan atau memang gayanya bercerita seperti itu.  Bak kata iklan Dunhill, style, quality, excellent.  Penuh dengan elemen-elemen maskuliniti yang kuat.

Daripada isi perbualannya yang berkisar mengenai zaman dia bercinta dengan entah berapa orang perempuan sebelum menemui isterinya, saya terfikir sambil cuba memproses ceritanya, apakah yang membuatnya percaya untuk menceritakan perkara peribadi sebegini kepada orang asing?  Atau dia tak pernah menganggap perkara tersebut sebagai peribadi tetapi lebih kepada pencapaian tertinggi seorang lelaki.  Berpengalaman bercinta dengan pelbagai jenis wanita.  Ringkasnya, dia nak buktikan bahawa dia dulu seorang yang digilai wanita dan sekali petik, sepuluh yang datang tau.  Tetapi saya tak lontarkan perkara sebegini kepada Azidah, sengaja disimpan.

Mengenai soulmate, menurut pemahaman pak cik ni, soulmate ialah orang yang kita boleh ceritakan apa sahaja perkara kepadanya.  Soulmate itu tak semestinya adalah sesama pasangan yang berkahwin.  Boleh jadi orang lain.  Bagi dia, bekas kekasihnya yang kedua merupakan soulmatenya.  Apabila bersama mereka boleh bercerita pelbagai perkara.  Kiranya tidak akan pernah habis.  Modal bercerita sentiasa ada.  Contoh, menurut pak cik tu, kalau di hadapan mereka ada seekor semut sedang menjunjung makanan.  Mereka boleh bercerita tentang semut tu sahaja sampai dua hari dua malam tak akan habis.  Biar betul...kata saya dalam hati.  Tiba-tiba terpacul soalan dari mulut saya;

"Macam mana dengan isteri pak cik?"

Dia terdiam sebentar.  Kemudian, dengan mudahnya dia memberitahu dia tak merasakan sedemikian dengan isterinya.  Mereka lebih banyak berdiam dan tidak ada modal untuk berbicara.  Bercakap hanya mengenai perkara yang penting-penting sahaja.  How could he make that kind of remarks towards his own wife?  Dia menyatakan dia tak dapat bercerita tentang semut kepada isterinya seperti mana dia bercerita kepada bekas kekasih no-2.  Apa guna pengalaman bercinta kalau digunakan untuk membandingkan isteri sendiri dengan orang asing?

Saya tak berpuas hati dengan tafsiran soulmate yang diberikan.  Hakikatnya, saya tak tahu pun.  Saya cuba merujuk beberapa kamus.  Dalam Kamus Dwibahasa Edisi Kedua keluaran DBP, tidak ada istilah soulmate.  Saya buka pula Kamus Pembaca terbitan Fajar Bakti.  Tidak ada juga.  Saya google definisi soulmate.  Tidak ada definisi melalui sumber yang kukuh.  Akhirnya, saya buka Oxford Advanced Learners's Dictionary.  ADA.

soulmate>>>a person that you have a special friendship with because you understand each other's feelings and interests.

Hmm...kalau melihat kepada tafsiran ini, memang tak dapat dinafikan apa yang dirasakan oleh pak cik ini dan label yang diberikan kepada bekas kekasihnya itu betul.  Tapi dengan cara membandingkan dengan isterinya dilihat tidak patut oleh seorang suami.  Adakah itu yang dicari dalam kehidupan?  Adakah cukup sekadar kriteria tersebut?

Untuk mudah fikir, saya anggap pak cik ini seorang yang merindui zaman muda dan ketidakterikatan kepada tanggungjawab sebagai ketua keluarga.  BEBAS.  Sebab itulah dia suka bersembang dengan budak-budak muda di tempat kerjanya dan memberikan tips-tips menarik untuk pasangan yang nak bercinta.  Aduhai, satu pengaruh yang tidak baik. 

Tapi biasalah, untuk mendapat sesuatu perlu berkorban sesuatu.  Jadi, itulah moral of the story.  Kiranya, soulmate ini hanya timbul dalam jiwa insan yang kekurangan keyakinan diri dalam mencapai sesuatu sehingga mereka mengharapkan ada seseorang yang sanggup menopup kekurangan  tersebut dan mengerti bagi pihak mereka.  Oleh itu, ia bukanlah sesuatu yang penting dan menjadi kriteria utama dalam pembinaan hubungan suami isteri.

Secara peribadinya, saya melihat soulmate adalan pasangan yang memiliki matlamat dan tujuan yang sama iaitu menuju redha Allah.  Apabila dikaitkan dengan jiwa, maka perlunya kembali kepada matlamat perjalanan rohani tersebut yang pengakhirannya adalah ilallah...

"Wahai jiwa yang tenang . Kembalilah kepada Tuhanmu dengan rasa puas, dengan segala nikmat yang diberikan, lagi diredhaiNya. Masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu. Masuklah ke syurgaKu."

To cut it short, untuk dapat menjawab soalan peperiksaan lusa, awak perlu mengganti kembali masa yang awak buang ini dengan mengorbankan masa tidur.

Sunday, December 18, 2011

Untuk yang Tak Pernah Jemu Berusaha


Tips merentas desa.  Keep going and never stop until you reach the finishing line.  Surely you will gain victory. There was once, in year 4, it was my first time entering cross-country.  Semangat berkobar-kobar nak menang.  Tambahan pula track laluan desa memang sangat cantik.  Menyusur sungai di sepanjang kampung.  Sambil menikmati keindahan alam setiap halangan dan checkpoint berjaya diatasi.  Walaupun ada ketika, panik sebab bertembung dengan lembu yang berehat di tepi sungai, tetap saya teruskan.  Serasa macam dah meninggalkan rakan-rakan yang lain di belakang.  Sangat yakin akan memenangi kejuaraan.  Tak kisahlah nombor berapa, asalkan top three tu saya antara orangnya.  Sewaktu menghampiri pintu pagar belakang sekolah, saya berhenti berlari.  Sudah ada kumpulan pelajar yang memberi sorakan kepada peserta yang tiba.  Tiba-tiba sewaktu saya sedang berjalan kerana yakin sudah mendapat tempat ketiga, sorakan daripada penonton semakin kuat.  Sorakan mereka seperti meraikan kejayaan saya.  Tetapi yang peliknya, semakin lama semakin kuat dan kelihatan macam panik pula.  Tiba-tiba saya merasakan seseorang memintas saya dari belakang.  Apabila saya lihat, rupa-rupanya rakan saya berjaya mengejar saya dari belakang dan dia mengambil peluang memintas saya ketika saya memberhentikan larian disebabkan terlalu yakin tiada yang mengejar dari belakang.  Sudah terlambat untuk memintas dia sebab garisan penamat hanya beberapa meter sahaja memasuki pintu pagar sekolah.  Walau cuba untuk mengejar, saya tetap gagal.    Akhirnya mendapat nombor empat.  Sebab itulah tips penting merentas desa ialah keep going and never stop.  Once you stop, it will be hard to start back and regain the momentum.  Memang saya menyesal dan geram dengan rakan saya tersebut.  Tapi bukan salah dia.  Saya rasa, itulah antara kejayaan paling manis sepanjang hidup dia.  Berjaya memintas Nurhidayu Rosli yang poyo dalam acara merentas desa dan sekaligus mematikan impian dia adalah sangat manis untuk dikenang.  Menangis kot.  She was the one I least expected to beat me.

Bertitik tolak dari kegagalan tersebut yang sebenarnya boleh dielakkan sangat, merentas desa di peringkat sekolah menengah saya berazam untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama.  Saya tidak suka bersaing tetapi saya lagi tak suka berdiam diri apabila ada persaingan.  Waktu pertama kali masuk merentas desa di peringkat sekolah menengah, saya dengan rakan-rakan kononnya tidak mahu berlari sebab saya malas nak bersaing.  Nak berjalan sahaja.  Waktu dilepaskan, kami berlari dan sampai di kawasan kelapa sawit (track sewaktu sekolah menengah tak best langsung) mula memperlahankan gerakan.  Ada rakan-rakan yang sudah ketinggalan di belakang, ada yang mula berjalan dan bersembang, dan ada yang sudah semput.  Saya pada waktu tersebut, melihat ada rakan-rakan dari rumah sukan lain mula memintas, saya rasa tercabar.  Tak boleh jadi ni.  Tanpa memberhentikan larian, saya tinggalkan rakan-rakan yang terpekik-pekik memanggil dari belakang.  Hasilnya saya berjaya mendapat nombor walaupun tidak di peringkat top five.

Merentas desa seterusnya saya memang memberi saingan.  Pada pandangan saya, dah orang suruh lari, lari jer la.  Buat apa nak berjalan.  Lagipun berjalan hanya meletihkan dan membuang masa tanpa mendapat apa-apa hasil.  Kalau berlari, insyaAllah masih ada peluang untuk mendapat nombor walaupun tak menjadi johan. Saya bukan atlet olahraga  harapan sekolah, jadi larian bukan kepakaran saya.  Tapi kalau setiap kali kita memberi saingan dan berusaha, insyaAllah, ada bahagian untuk kita.  

Walaupun tahu harapan untuk menjadi juara itu tipis, saya tetap nak menang.  Oleh itu, sewaktu di tingkatan empat saya mencari-cari sahabat-sahabat saya yang mana selalu menjadi johan.  Saya nak berlari dengan mereka dengan harapan saya  akan mendapat top five walaupun bukan top three.  Pada mulanya, saya tidak mampu nak ikut larian mereka. Mereka yang selalu menjuarai larian jarak jauh selalunya ada dua cara larian.  Pecut pada awalnya dan meninggalkan rakan-rakan lain sebelum memperlahankan larian apabila sudah berada jauh dari rakan-rakan atau membuat larian perlahan tapi kekalkan momentum sebelum membuat pecutan pada saat akhir.  Saya memilih untuk mengikuti rakan yang membuat pecutan awal.  Tetapi, sewaktu di pertengahan saya sudah pancit sebab telah memerah tenaga pada awalnya.  Walaupun sahabat saya dengan baik hati menarik tangan saya supaya terus berlari sambil memberi kata-kata semangat, saya sudah tak mampu dan meminta dia meninggalkan saya.  Walaupun pada akhirnya saya mendapat nombor yang entah keberapa belas (masih dapat hadiah), sahabat saya tersebut berada di tangga tiga ke atas.  

Waktu di tingkatan lima, saya memilih untuk mengikut sahabat yang membuat larian dengan cara larian perlahan pada awalnya tetapi masih kekalkan momentum sebelum pecut pada saat akhir.  Lagipun peserta perempuan tambah-tambah apabila sudah di tingkatan lima, memang tak berminat nak berlari.  Jadi, ini merupakan peluang terakhir saya untuk bertanding di kategori menengah atas perempuan.  Saingan selalunya datang dari pelajar tingkatan empat.  Matlamat saya ialah top five.  Cara tersebut nampaknya berjaya.  Masih segar di ingatan, sewaktu mendekati pintu pagar belakang sekolah, saya membuat pecutan terakhir tanpa mempedulikan rakan yang bersama-sama saya.  Memang pada waktu tersebut, tidak ada yang mampu memberi saingan sebab masing-masing sudah memperlahankan langkah.  Seorang demi seorang saya pintas sehingga mendekati garisan penamat, saya terpaksa bersaing dengan seseorang dan memang penonton yang berada di sepanjang laluan memberi sorakan yang mengingatkan saya kembali keadaan saya sewaktu di darjah 4.  Tambahan pula, pada waktu tersebut saya mewakili rumah hijau manakala saingan saya mewakili rumah lain.  Alhamdulillah, saya berjaya.  Saya boleh bayangkan perasaan peserta yang saya pintas tadi, tapi at least saya dah membalas dendam walaupun bukan pada rakan lama saya.  Matlamat saya tercapai, saya dapat no.5.  Bukan senang senior nak lari sebab kononnya sudah besar, tapi lawan tetap lawan.  Dengan termengah-mengah seperti kehabisan oksigen, saya mengambil kad bernombor 5 sebagai bukti saya menang.  Kad tersebut masih tersisip kemas dalam diari sebagai bukti.  Kasut sukan yang dipakai terus rosak menyebabkan saya berstokin sahaja sewaktu mengambil hadiah.  Terima kasih kasut, lepas guna dan bantu saya menang, saya buang awak.

Mengambil ibrah daripada pengalaman merentas desa ini,  kita perlu buat yang terbaik dalam segenap aspek dalam hidup.  Walaupun kita bukanlah ahli dalam sesuatu bidang, selagi kita berusaha, masih ada bahagian untuk kita yang telah Allah janjikan buat mereka yang berusaha.  Muslim harus berusaha menjadi yang terbaik dalam bidang yang diceburi.  Terbaik yang bermaksud menguasai bidang tersebut.  Jika ada KPI terbaik yang diletakkan dalam bidang tersebut, pastikan dicapai.  Memutar memori lama mengingatkan saya kepada semangat persaingan tersebut.  Beza antara merentas desa dengan situasi semasa ialah merentas desa ada garis penamat dan saingan tersebut jelas depan mata serta usaha yang digembleng sangat dirasakan.  Dalam situasi realiti, kita tidak tahu siapa saingan kita, di mana garis penamat kita dan setakat mana usaha kita.  Competition can come from the source we least expect.  Jadi, saya melihat jika cara pecutan awal dan kekalkan momentum tak sesuai dengan kita, mungkin boleh dicuba cara kedua, kekalkan momentum dan buat pecutan akhir.  Apa yang penting, setiap usaha ada bahagian yang telah Allah janjikan.  Oleh itu, walaupun  tak suka persaingan, usaha masih perlu supaya mendapat yang terbaik.  InsyaAllah.  Lagi satu, berdamping dengan rakan yang berada dalam kalangan yang terbaik merupakan petua yang paling mujarab seperti mana ibarat berdamping dengan penjual minyak wangi.  Cuba cari ruang dan peluang.


Monday, November 21, 2011

Bola: Topik transgender

Keluar kelas, dengar dua orang rakan sekuliah bersembang tentang bola.  Tak dapat tangkap isi, tapi sewaktu masuk lif, mereka berjanji untuk tengok bola.  Sembang tentang bola dalam kalangan wanita memang sudah menjadi perkara yang biasa.  Ia menjadi topik yang transgender sekarang ini.  Tidak ada gender tertentu yang dominan dalam membincangkan isu ni seperti  mana dulu-dulu.

Telefon mak;

"Ayu, malam ni bola Indonesia lawan Malaysia pukul 8."  

Owh, mak saya pun remind tentang bola.  Hmm, patutlah kawan sekelas kecoh-kecoh tadi.

8.45 pm, baru teringat bola malam ni.  Telefon abah.  Memang selamatlah, abah tak angkat.  Standard kalau lelaki dah fokus tengok tv, memang tak peduli benda lain.  

Teringat rakan sekuliah, saja-saja nak update dengan dia.  Telefon, rupanya dia ada di kedai makan.  Tak per la, dia ada pak we.  Boleh temankan.  Tak jeles pun sebab saya pun pernah ditemani tengok bola di kedai makan.  Lagi hebat, abah yang temankan.  Bukan senang nak jumpa abah yang sanggup buat macam tu untuk gembirakan hati anak perempuannya.  Lebih baik berehat sebab letih balik kerja.  Sebabnya, di rumah tidak ada Astro macam yang lain.  Berbanding nak menonton dengan rakan-rakannya, dia memilih untuk meneman anak perempuannya tengok bola.  Bukan saya yang ajak, abah yang offer.  Terharu bila diingat-ingatkan kembali.

"Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah. Dan orang yang takutkan Allah s.w.t akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.(Rujukan majalah Hidayah, Dec 2005, m.s 34)"

Disebabkan bola sudah menjadi topik transgender, tidak pelik jika melihat wanita pun terpekik-pekik depan kedai makan.  Cuma, pada pandangan peribadi saya, wanita ni lepas untuk tengok sahaja bukan mengulas.  Kepakaran tersebut masih pada lelaki.  Pernah ada seorang wanita menelefon satu saluran radio untuk memberi respon terhadap isu bola yang dibincangkan oleh DJ lelaki dan pengulas bola sepak lelaki.  Awal tu, dua-dua orang lelaki ini agak kagum sebab wanita ini cuba untuk respon.  Sekali wanita tersebut tersilap fakta yang diberikan, memang kena sindir depan-depan tu juga dengan DJ lelaki ni. 

Allah, saya pun tumpang malu juga sebab satu gender.  Itulah, lain kali duduk diam-diam dan dengar sahaja.

"Asmida: GOL!!!!!!!!ayu satu sama!!!!!!"

Mesej masuk dari rakan saya.  Selain daripada nak cerita tentang bola, tujuan post saya juga nak memberitahukan cara yang terbaik untuk mendekati mad'u adalah melalui berkongsi minat dengannya.  Untuk membawa seseorang ke arah kebaikan, perlu bina hubungan dengannya dahulu.  Barulah senang nak menasihatinya.  Saya belajar tentang ni sewaktu di universiti.  Berbeza dengan sewaktu di sekolah menengah.  Saya memang rigid atau syadid.  Tak boleh salah, memang kena depan tu juga.  Mungkin sebab itulah teman saya tu trauma dengan saya sampai sekarang.  Pandangan mata saya pun dia kata macam menikam ke jantung sedangkan saya tak bermaksud apa-apa pun.  Jauh sekali menyimpan dendam dengannya.  Tiba-tiba dia meluahkan di dalam blog mengenai pertemuannya dengan saya.  Saya hanya mampu ketawa apabila membaca entrinya.  Kasihan dia.  Nak membetulkan salah faham, saya komen di entri tersebut juga.  Senang apabila berterus-terang.  Sekarang dah ok sebab semua benda dah dijelaskan.

Tapi nak menarik keluar orang yang bercinta untuk meninggalkan perbuatan tersebut memang susah.  Pernah rakan sekuliah saya yang bercinta dengan pak wenya yang tak dapat masuk U dan berada di luar, tanya pendapat saya tentang hubungan mereka. Saya kata padanya:

" Tak lama hubungan korang, mesti akan putus. Aku yakin dan percaya."

Apa lagi, melentinglah dia atas kejujuran saya memberi pandangan.  Bermati-matian dia mempersoalkan kenapa saya cakap macam tu.  Dia cakap, kenapa mendoakan perkara yang buruk berlaku bukan perkara baik.  Saya menggaru-garu kepala.  Bukankah saya sedang mendoakan perkara yang baik?  Bercouple itukan haram, jadi saya doakan dia putus supaya dia dikeluarkan dari perbuatan tersebut.  Hmm...

Tapi memang pun, tak lama kemudian mereka putus.  Dan dia pun seperti dapat menerima sebab lelaki tersebut memang takkan dapat terima aweknya lebih pandai darinya selain faktor jarang berjumpa.  Sekarang dia lebih fokus kepada pelajaran dan baru-baru ini mendapat keputusan yang lebih cemerlang dari saya.  Hebat kuasa fokus ini.

Sekadar itu sahaja, tiba-tiba rasa macam dah buang masa update blog lama sangat.  Semoga bermanfaat.


Tuesday, November 15, 2011

Anak sulung= anak luar nikah?

Statistik yang ditunjukkan Utusan Malaysia bertarikh 15 November 2011, seramai 152,182 anak luar nikah telah dilahirkan di Malaysia.  Sabah mencatatkan jumlah tertinggi seramai 41, 900, manakala Selangor kedua tertinggi dengan bacaan 18,983 dan Sarawak seramai 17,503.  Statistik ini adalah bacaan yang didapati sepanjang 2008-2010.

Terkedu sebentar.  Bagai terngiang-ngiang ucapan Ustaz Halim, Penolong Kanan Pentadbiran di SMKA Al-Irshad sewaktu perhimpunan sekolah dahulu.  Beliau menyebut 10 tahun akan datang, berhati-hati apabila hendak mengahwini anak sulung dari setiap keluarga.  Saya yang waktu itu Tingkatan 4 rasanya, terpisat-pisat sebab apa beliau keluarkan kenyataan sebegitu.  Kawan-kawan yang lain ada yang ketawa dan ada yang mencemik.  Dalam hati, "Ish, apa cakap soal kahwin-kahwin ni?"  Kemudian beliau terangkan, sebabnya anak sulung bagi setiap keluarga akan diragui statusnya sama ada anak luar nikah atau tidak.  Masing-masing terus memandang rakan-rakan yang terdiri daripada anak sulung yang menunjukkan ekspresi tidak puas hati atas kenyataan tersebut.  Nak bagi lagi tegang situasi, kami masing-masing respon, "Nanti aku tak mau kahwin dengan anak sulunglah,".  Menambahkan lagi kesedihan mereka yang berstatus anak sulung.  Itu pada tahun 2005.  Sekarang sudah 6 tahun dan statistik di atas seperti membenarkan kenyataan tersebut.  Nauzubillah...

Selingan, Ustaz Halim ni ustaz paling menggerunkan di Irshad dahulu.  Memang tak ada sesiapa yang berani main-main dengan beliau.  Pernah sewaktu beliau sedang menyampaikan kuliah Maghrib, ada seorang pelajar lelaki ni tidak memakai songkok atau ketayap.  Beliau tegur pelajar lelaki tersebut dan tanya sebab apa tak pakai.  Pelajar lelaki tu menggunakan alasan ada kawan pinjam. Yang peliknya, kawan sebelah dia yang tolong berikan jawapan tersebut.  Obviously, there was something fishy.  Apalagi, dua-dua kena panggil waktu tu juga ke hadapan.  Dialog Ustaz Halim yang tak boleh dilupa;

"Aku pantang betoi dengan oghang yang dok bohong ni, hang mai sini!"

Saya waktu tu berada di saf hadapan sekali memang melihat jelas peristiwa tu.  Jantung waktu tu dah berdebar-debar dah.  Apalah yang ustaz nak buat.  Sekali ustaz bangun, sudahlah berbadan tinggi dan besar macam tok arab, sesuai sangat belajar di Universiti Madinah dulu.  Kedua-dua pelajar lelaki tu memang kecil jer di mata ustaz.  Waktu dia minta pelajar lelaki pertama membuang spek mata, saya dah dapat agak apa yang dia nak buat.  Saya macam separuh hati jer nak tengok.  Sekali dilempangnya pelajar lelaki tu, memang terteleng muka dengan badan-badan sekali.  Bunyi lempang tu memang dengar sampai ke saf muslimat.  Sempat air mata saya bergenang melihat keganasan yang berlaku di depan mata sebelum mengesatnya.  Tapi memang patut pun mereka kena lempang.  Saya pun pantang orang yang menipu.  Alasan tak profesional langsung. 

Kembali kepada cerita asal, persetankan falsafah social action Max Weber atau kolektif Durkheim, boleh tak kita kembali mencari sebaik-baik penyelesaiannya melalui Islam?  Adakah kita menunggu sehingga perkara sebegini terjadi seperti di Barat baru kita nak mementingkan kembali soal etika seperti mana yang terjadi di sana?