Saturday, February 25, 2012

Penawar

Kalau saya jarang update blog, itu tandanya dalam tempoh tersebut saya tidak memegang langsung bahan bacaan.  Kalau saya rajin update, itu bermakna saya sedang membaca banyak bahan bacaan.  Sebab itulah tempoh exam yang seharusnya orang berhenti dari agenda mengupdate blog tidak berlaku kepada saya.  Waktu itulah saya bergelumang dengan bahan bacaan dan idea untuk menulis mencurah-curah ke ladang gandum.  Malam ini saya berjaya menyempatkan diri untuk membaca buku.  Hanya membaca satu subtajuk sudah berjaya mentrigger saraf menulis saya.  Walau pelbagai perkara yang berlaku dalam tempoh post yang terdahulu dengan sekarang, tetap tidak dapat saya kongsikan hanya kerana dalam tempoh tersebut saya tidak berjaya untuk membuka sebuah buku pun untuk dibaca.  Saraf saya tidak mampu mencerna perkataan yang terbaik jika tidak membaca dahulu.  Itulah serba sedikit mukadimah nak menunjukkan pentingnya orang yang nak berjaya dalam penulisan perlu rajin membaca.

Ada sesetengah sahabat saya, untuk pergi ke sesuatu tempat, mereka suka menaiki komuter.  Alasannya mereka suka memerhatikan gelagat manusia.  Alasan saya pula untuk naik komuter?  Tak ada pilihan lain.  Kalau boleh sepanjang perjalanan dalam komuter saya hanya nak pejamkan mata dan tak nak lihat manusia di sekeliling.  Bukan saya golongan antisosial, jauh sekali.  Kalau orang suka shopping ke jalan TAR, bagi saya untuk menghadapi lautan manusia sudah cukup memualkan.

Satu realiti yang kita tak dapat lari apabila melihat masyarakat ialah umat manusia sekarang sedang sakit.  Dunia sedang sakit.  Masyarakat Islam terutamanya sedang sakit.  Setiap kali bertembung mata dengan orang-orang dalam keramaian, saya dapat merasakan jiwa mereka yang kosong tidak terisi.  Bukanlah mata-mata yang meluat melihat saya, tetapi mata-mata yang sedih.  Hilang jernihnya akibat palitan dosa.  Sama ada dosa dari orang sekeliling atau sendiri, sama sahaja.  Setiap kali bertembung dengan mata-mata mereka, bagai terdengar bisikan;

"Tolonglah selamatkan saya,"
"Awak ingat awak sahaja yang nak masuk syurga?"
"Bagaimana saya nak kembali?"

Walaupun mereka dalam keadaan gembira, seronok, terkinja-kinja, hakikatnya mata tidak boleh menipu.  Kegembiraan yang mereka tunjukkan hanyalah sebagai topeng menutup jiwa mereka yang kosong.Setiap kali juga balik dari menaiki komuter atau tempat-tempat keramaian, saya akan merasakan hati saya jadi berat akibat perasaan yang bercampur aduk dan mata jadi letih akibat terlalu banyak terlihat kemungkaran di depan mata.  Perasaan tersebut lebih kepada merasa bersalah bahawa saya bukanlah lebih baik untuk membantu mereka.  Perkara tersebut tidak terjadi kalau saya pergi panjat bukit atau gunung.  Pergilah jungle trekking sampai dua jam berjalan kaki pun, minda saya tidak akan letih.  Hati malah akan merasa lapang.  Perbezaan ini yang menyebabkan saya mencari-cari punca saya sering merasa letih otak kalau pergi ke tempat di mana ramai orang berkumpul.  Jiwa manusia adalah lautan yang penuh rahsia dan pintunya adalah mata mereka.

Berbeza kalau saya pandang mata sahabat-sahabat yang faham dan mengamalkan agama berbanding mereka yang tidak.  Di situ kerehatan jiwa saya rasa apabila bersama-sama mereka.  Mungkin perkara yang sama dirasa oleh ahli jemaah yang lain.  Sebab itulah timbulnya isu golongan baik-baik ni tak suka bercampur dengan golongan-golongan yang bermasalah.  Sebab ada ketenangan jiwa jika bersama-sama golongan yang sentiasa mengingati Allah.  Tapi itulah, kasihan golongan-golongan ini.  Bukanlah saya nak mengelaskan golongan manusia, tetapi kita kena terima hakikatnya ada jiwa-jiwa yang berpenyakit di sekeliling kita dan tak terkecuali diri sendiri.

Kalau diberi peluang mengenali mereka dengan lebih dekat, kita akan menyelami sisi gelap mereka.  Tapi, kadang-kadang saya tak dapat bezakan antara memang niat untuk mencari jalan kembali atau saja seronok menceritakan keaiban diri sendiri?  Atau mungkin juga fitrah wanita suka berkongsi masalah yang terasa membeban di jiwa dan pandangan saya yang kasihan(?) mengundang mereka untuk meluahkan apa yang terbuku di hati. 

Berpeluang bersama-sama rakan sekuliah sewaktu jamuan akhir semester yang dikhaskan untuk perempuan sahaja, adalah peluang terbaik.  Terharu sebab mereka sanggup menurut syarat saya untuk mengadakan parti untuk perempuan sahaja sebab saya tak akan hadir jamuan kelas yang melibatkan lelaki.  Sebelum makan, saya menyampaikan sedikit peringatan buat mereka.  Selepas itu, setiap seorang terus meluahkan mereka sentiasa tersentuh apabila mendengar lagu Maher Zain, InsyaAllah.  Setiap kali mendengar lagu tersebut, mereka akan menangis.  Cuma, mereka beritahu saya, mereka tak tahu bagaimana untuk kembali?  Tapi saya tahu mereka masih belum betul-betul mahu berubah.  Mereka menangis kerana yang menangis bukanlah mereka tetapi jiwa mereka.  Saya tidak melihat sebarang niat untuk berubah.  Jadi saya hanya sekadar berdiam diri dan meraikan luahan rasa mereka.  Dan saya rasa ini juga luahan yang akan saya dapat dari orang awam yang saya jumpa di jalanan.


Cerita saya ini lebih kepada masalah, masalah dan masalah.  Di situlah kegagalan post ini.  Siapa yang nak topup?  Walaupun saya perempuan, saya masih gagal mencari softspot bagi membantu sedikit sebanyak rakan sekeliling untuk berubah.  Mungkin kurang pengalaman atau ilmu.  Paling kurang, saya doakan agar kebaikan yang saya tunjukkan walaupun sedikit memberi pengaruh kepada mereka.  Permasalahan yang selalu saya timbulkan semuanya berkisar dan berfokus kepada perempuan.  Hal ini demikian kerana, dunia saya dengan lelaki sangat terhad, selalu adik lelaki saya mengadu saya tak faham mereka dan seringkali mereka digelar alien apabila saya tidak dapat memahami apa yang cuba disampaikan.  Abu A'la Al-Maududi mengatakan dakwah yang disampaikan oleh perempuan kepada perempuan adalah lebih berkesan berbanding berlainan jantina.  Jadi pembaca tidak boleh mengeneralisasikan post saya.  Hanya wanita yang memahami... (cuba untuk tidak bertanggungjawab atas susunan post yang tidak teratur)

Persoalan yang tak pernah saya berjaya jawab, bagaimana untuk mereka kembali?  

1 comment: