10:59 p.m.
Baru selesai mendengar luahan perasaan dari rakan-rakan. Entah kenapa malam ni rajin pula yang menegur di FB untuk meminta pandangan dan nasihat dari insan kerdil ni. Rasa bersalah sebab tak dapat membantu sebaik mungkin. Sekadar mampu mendoakan semoga urusan mereka dipermudahkan.
Kalau mak ada di hadapan saya, kemungkinan dia akan menutup mata dan telinga saya. Sebabnya dia selalu cakap saya terlalu banyak berfikir masalah orang lain sampai hilang fokus kepada masalah saya sendiri. Antara beberapa masalah yang diadukan oleh sahabat pada masa yang sama:
Kes 1: Sahabat saya S hancur hatinya kerana ibunya nak rujuk kembali dengan ayah tiri yang pada pandangannya sangat bermasalah. Pada masa yang sama, dia perlu menghabiskan pengajian yang telah ditangguh dan bekerja untuk menampung pelajaran.
Kes 2: Sahabat saya A keliru sama ada nak teruskan dengan bidang master yang sedang diambilnya atau tidak memandangkan dia tidak berminat dengan bidang itu dan kurang memahami asas subjek tersebut. Nak kerja pula sukar nak dapat kerana persaingan sengit.
Kes 3: Sahabat saya F mendapat keputusan yang rendah dan memerlukan kata-kata semangat bagi menghadapi semester hadapan.
Saya hanya mampu memberi nasihat dan pandangan sebaik mungkin. Nak counter tiga-tiga masalah pada masa yang sama memanglah kurang berkesan. Tapi sekadar meraikan luahan masalah tersebut kerana orang perempuan selalunya meluahkan masalah bukanlah untuk mendapatkan penyelesaian tetapi untuk hilangkan beban yang menyesakkan dada. Namun, saya cuba juga berikan beberapa penyelesaian yang dianggap dapat mengurangkan beban tersebut. Mudah-mudahan.
Mendengar masalah hidup orang lain, secara tak langsung mendidik jiwa saya untuk belajar bersyukur dengan apa yang ada dan tidak terlalu memikirkan apa yang telah luput dari diri. Bukan mudah. Kita selalu merasakan kitalah manusia paling bermasalah di dunia sedangkan kalau kita bukakan mata dan melihat kiri dan kanan, masalah kita hanyalah seperti sisa-sisa makanan di celah gigi. Tapi Allah telah berfirman, "Tidak aku bebankan jiwa seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya"...Jadi setiap yang berlaku ada hikmahnya. Malu dengan sahabat-sahabat yang sangat tabah mengharungi dugaan sedangkan saya masalah kecil pun sudah mampu merosakkan mood. Contoh, baca novel yang tergantung ceritanya pun boleh buat saya marah. Alahai, malunya saya.
Apa-apa pun, walau macam mana berat masalah yang kita hadapi, ketahuilah masih ada yang sayang (ni pesan mak). Allah Maha Penyayang kan?
1 comment:
patot la awak bz :)
stuju ngn tndakan mak awak tu haaa :p
Post a Comment