Thursday, March 28, 2013

Hadiah


Saya suka hadiah.  Sebab? Sebab hadiah merupakan satu pemberian seseorang kepada kita tanpa dipinta.  Tidak kisahlah walau hadiahnya hanya sekeping kad atau sekuntum bunga yang dipetik di tepi jalan.  Sejak saya mengenal erti hadiah atau pemberian tanpa dipinta, saya simpankan semuanya dalam almari belajar saya.  Dari sekolah rendah sahaja, pelbagai pemberian yang saya simpankan.  Dari sepucuk surat, keychain, sehinggalah kepada hadiah-hadiah yang mahal pada masa itu.  Penuh almari dengan koleksi.  Tambahan pula, kanak-kanak selalu seronok meraikan sahabat baik.  Masing-masing akan ingat tarikh lahir dan beri hadiah.  Kalau dia beri, kita akan beri kembali pada hari lahirnya.

Naik sekolah menengah, hadiah tidak sebanyak sekolah rendah kerana nak beli hadiah kena consider harga.  Malu pula kalau beli barang murah.  Jadi, kadang-kadang hanya memberi kad.  Tapi, selalunya sahabat-sahabat sekolah menengah lebih mementingkan nilai-nilai sentimental kepada benda-benda yang bukan hadiah pun, tetapi pemberian secara tidak sengaja.  Kadang-kadang bungkusan coklat pemberian kawan pun disimpan.  Penuh laci dengan bungkusan coklat Van Houten.  Waktu ada kakak angkat, ada sahaja kad-kad ucapan dan kata-kata semangat yang diselitkan di bawah plastik meja dalam kelas.  Seronok.  Waktu Apple Day saya dapat buah epal pemberian oleh adik-adik yang sengaja tidak diberitahu nama kononnya secret admirer.  Saya selitkan daun epal tersebut dalam diari. 

(hadiah daripada pelajar-pelajar KAFA)

Semakin dewasa, nilai hadiah semakin tinggi.  Bukan sebarang orang kita akan beri hadiah.  Kalau dahulu, kawan sepermainan pun kita beri hadiah, apabila dewasa, hanya orang yang betul-betul kita hargai dan menghargai kita yang kita akan berikan hadiah dan peroleh hadiah daripadanya.  Hadiah-hadiah yang diberikan terasa sayang untuk dibuka, jadi saya simpankan dalam almari baru yang disediakan mak sebab dah semakin banyak harta karun dalam bilik.  Memang penuh dengan pemberian dan hadiah yang saya susunkan atas rak dan almari. 

Semasa pergi ke Kem Smart Solat di Nilai baru-baru ni, selain mendapat saguhati daripada pihak pengurusan di sana, seorang daripada ibu peserta menghadiahkan saya kain sari dari India sebagai penghargaan kerana menjaga anaknya.  Terharu saya kerana ia merupakan hadiah peribadi daripadanya. 

(hadiah dari Kem Smart Solat)

Itu hadiah daripada manusia.  Bagaimana dengan hadiah daripada Tuhan?  Memang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata.  Ada satu-satu masa apa yang saya pinta hanyalah sesuatu yang biasa dan kecil.  Tetapi Allah s.w.t telah anugerahkan sesuatu yang lebih istimewa.  Sangat berbeza mendapat apa yang dipinta dengan mendapat apa yang dihadiahkan.  Selalunya kita malu untuk meminta sesuatu yang kepada kita tidak selayaknya untuk diminta walaupun kalau kita dapat memanglah kita akan gembira tak terkata.  Itulah yang terjadi apabila Allah s.w.t mengurniakan hadiah yang tidak disangka.  Macam kita minta sekuntum bunga mawar, tetapi seseorang hadiahkan satu taman kepada kita.  Mak cik-mak cik di tempat kem memarahi saya kerana tidak memberitahu mereka bahawasanya saya berpuasa.  Kalau tak mereka sediakan makanan khusus untuk saya.  Itulah saya, tak berani nak berlebihan dalam meminta, takut dikecewakan.  Tetapi dengan Allah s.w.t “Berdoa kepada-Ku, nescaya akan aku perkenankan bagimu”-(al-mukmin:60).  Kadang-kadang apa yang dipinta di mulut tidak sama di hati.  Dan Allah s.w.t Maha Mengetahui.  Ada sesetengah perkara yang tidak saya pinta di mulut tetapi di hati dan Allah s.w.t berikan.  Tetap saya masih menganggapnya sebagai hadiah kerana ia sesuatu yang saya tak pinta secara terus-terang tetapi Allah s.w.t tahu saya nak.  Kadang-kadang kita manusia pun boleh tahu apa yang dikehendaki sahabat walaupun dia tak pinta secara terus-terang.  Bahkan Allah s.w.t Maha Teliti urusannya.  Terima kasih ya Allah… Setelah bersyukur maka bersabarlah… (jadikan kami kuat bukan sahaja dengan kata-kata malah tindakan kami..). Jadi mintalah sebanyak-banyaknya daripada Tuhan-mu kerana Dia memiliki kurniaan seluas langit dan bumi.

Saturday, March 23, 2013

Ikutkan hati...

Keputusan tidak boleh diambil sewaktu kita sedang marah atau sedih... sebab nanti hasilnya akan kita kesali. Jadi orang-orang tua selalu nasihatkan, kalau marah, tidur. Everything will get better in the morning.

Tapi, kadang-kadang darah orang muda ni membuatkan saya teringin nak buat keputusan waktu saya sedang geram dan sedih ni. Bagai tak boleh ditunggu-tunggu sebab saya tahu nanti saya akan sejuk balik dan kembali melupakan sampai perkara tersebut berlaku lagi. It does not make any sense.  Hati ni kadang-kadang kita tak boleh nak kawal. Perasaan tersebut menerjah dengan tiba-tiba. Tiba-tiba saya rasa geram dan sedih dengan apa yang saya baca. Bukan salah sesiapa, tetapi kelemahan diri sendiri yang terbesar.

Kita tak boleh benci individu tetapi kita boleh benci sikap. Tetapi saya rasa macam nak hukum individu sekali apabila saya rasa marah... Rendah betul akhlak..

Kenapa dalam banyak-banyak kelemahan yang kita boleh terima terhadap sesiapa pun, ada satu kelemahan yang memang kita tak boleh nak hadapi?

Sahabat cakap, itulah yang ALLAH s.w.t nak uji... mana mungkin mengaku beriman andai tidak betah diuji? 
Mungkin Allah s.w.t nak tunjuk sebagai tanda mengingatkan... Ampuni aku ya Allah. Setiap kali pun begini...

Tuesday, March 19, 2013

Jom Ubah!


1.41 a.m.

Di dalam kelas Asia Barat minggu lepas, saya berkesempatan untuk mendengar syarahan dua hala antara  saya dengan pensyarah Puan Maznah di bilik mesyuarat Audit Dalaman. Syarahan beliau adalah berkaitan kajian mengenai penduduk Malaysia yang bekerja di Negara Teluk.

Sebelum itu, beliau menyoal saya mengenai apa yang saya tahu apabila disentuh berkaitan Negara Teluk. Sedikit sangat yang saya tahu dan semuanya dalam ketidakpastian. Ringkasnya, Negara Teluk merupakan kawasan yang terdiri daripada negara pengeluar minyak terbesar di dunia- Arab Saudi, Qatar, Dubai, Oman, Bahrain, Abu Dhabi. Jadi, Iran dan Iraq bukan Negara Teluk yer, jangan salah faham walaupun mereka berada berdekatan dengan negara ini. Sebenarnya perlu buka peta baru peka.

Having being blessed with black gold, Gulf Country are the main player of todays world politic and economic. Allah s.w.t telah menetapkan negara asal kelahiran Nabi s.a.w sebagai tempat yang kaya dengan hasil bumi. Malangnya, umat Islam tidak mampu berbuat apa-apa dengan kekayaan tersebut melainkan menjadi rakan baik Amerika Syarikat.

Pelbagai lagi perbincangan menarik tetapi apa yang menarik perhatian saya ialah, Somalia turut berada berhampiran dengan Yaman, dan hanya dipisahkan oleh laut. Setakat pengetahuan saya, apabila disebut Somalia, kita akan membayangkan kanak-kanak kulit hitam yang tidak berpakaian dan berperut buncit, dihurung oleh lalat, lanun Somalia dan kisah Black Hawk Down (antara cerita aksi yang saya suka tonton sebab tak ada pelakon wanita). Saya tinggalkan kuliah dengan persoalan berkaitan Somalia. Kasihan orang berkulit hitam, di dunia ini mereka selalu disinonimkan dengan bangsa yang sentiasa ditindas, dijadikan hamba, miskin yang amat, sakit dan keganasan. Apakah tidak ada langsung kejayaan buat mereka? Persoalan hanya tinggal persoalan di benak.

Hendak dijadikan cerita, malam kelmarin, semasa sedang bersembang, datang seorang sahabat saya yang baru pulang dari rumah menghulurkan majalah TIME edisi Mac kepada saya.

“Nah, akak cuba baca artikel ni lepas tu bagitahu pendapat akak.”

Saya membaca tajuk artikel yang diberikan;

“Saving Somalia: Can Somali President Hassan Sheik Mohamud fix the world’s most failed state?”

Coincidence? Bahkan inilah percaturan Allah s.w.t. Even the smallest thing, He always answer my question. Siapa yang boleh jangka. Allahuakbar… it just a matter of time. Allah s.w.t sentiasa mendengar luahan hati hamba-Nya.

Jadi saya baca artikel sepanjang 4 mukasurat penuh. Ianya berkaitan bagaimana seorang guru sekolah menjadi Presiden. Apa yang mengkagumkan saya adalah semasa proses pilihan raya berlangsung. Beliau menyertai Peace and Development Party (PDP) semasa pertengahan 2010. Beliau bukanlah seorang ahli politik, tetapi seorang guru yang berusaha memberi pendidikan kepada anak-anak Somalia. Tiba-tiba beliau telah diangkat menjadi calon bertanding kerusi Presiden. Semasa pilihan raya presiden, Hassan melihat cara ini sebagai peluang kepada perubahan. Strategi mereka adalah perubahan. Mereka menyeru kepada perubahan melalui semua saluran media. Mesej mereka ringkas:- “THESE GUYS SHOULD NOT COME BACK.”

Pembaca perlu mengetahui, Somalia bukan macam Malaysia. Senjata api boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja. Rasuah bagai tidak dapat dibendung. Orang yang berkuasa di sana adalah ketua-ketua perang suku yang sentiasa memberi rasuah kepada wakil rakyat. Pada masa tersebut, Presiden Sheik Sharif Ahmed dituduh pentadbirannya terlibat dengan rasuah oleh Laporan UN. Namun, beliau memenangi 64 undi daripada 271 undi di parlimen, manakala Hassan mendapat 60 undi. Satu jumlah yang tidak disangka. Jadi, mereka merebut peluang keemasan ini dan beberapa jam sebelum pusingan kedua pengundian, PDP telah bekerja keras menyampaikan mesej mereka;

This is the only chance we have. This is the only time you can save Somalia. Do it now.”

Dan dengan kuasa Allah, pusingan kedua menyaksikan Presiden hanya mendapat 79 undi dan Hassan mendapat 190 undi. Pada malam tersebut juga beliau mengangkat sumpah menjadi Presiden…. Memang mengujakan bagaimana perubahan boleh terjadi dalam sekelip mata. Dan tidak mustahil ianya boleh berlaku di Malaysia.

Walau bagaimanapun, persoalan seperti pertumbuhan dan pembangunan di Somalia, Presiden Hassan memikul amanah yang berat kerana harus bermula dari zero. Ada sahaja orang yang ingin membunuhnya. Waktu beliau menyampaikan ucapan, ada dua orang pengebom berani mati yang cuba membunuhnya. Kedua-duanya ditembak mati oleh pengawal. Tetapi beliau tetap teruskan ucapan. Dengan cubaan merasuah dan membunuhnya, beliau harus kuat. Beliau telah merombak kementerian dengan melantik orang yang beliau hanya kenal melalui kepakaran dan mereka sendiri tidak mengenali beliau dengan rapat seramai 10 orang menteri sahaja. Pelbagai perubahan yang dibuat dan ada yang menampakkan hasil, ada yang masih dalam usaha.

Segala persoalan saya terjawab. Somalia merupakan negara yang bergolak dengan peperangan suku. Sahabat saya cakap, Presiden Hassan ini merupakan ahli IM juga. Wallahualam. Itu saya tak pasti. Pendapat saya, kesalahan rasuah dalam kalangan pemimpin memang tidak boleh dimaafkan oleh rakyat…Hanya ada satu cara sahaja-à UBAH!

Sunday, March 17, 2013

Usai Maghrib

Antara tempat yang saya rindu nak berada sekarang adalah di dalam Surau Al-Ansori, SMKA Al-Irshad... terlalu banyak kenangan indah yang ditinggalkan.  Kadang-kadang usai solat, saya akan pejamkan mata sekejap, membayangkan keberadaan dalam surau tersebut. Tenang...

Di situlah usrah
Di situlah berbuka puasa
Di situlah tarawih
Di situlah qiam
Di situlah tazkirah, kuliah dan muhasabah
Di situlah membina ukhuwah

Tak ada rasa keberatan waktu menapak kaki ke surau untuk solat Subuh berjemaah.
Tak ada rasa kantuk waktu mendengar suara serak basah ustaz Azli menyampaikan tazkirah Subuh setiap pagi Ahad walaupun sahabat-sahabat yang lain menumpang di bahu menyandarkan kepala masing-masing...

Saya rindu saat-saat saya terpaksa melakukan kebaikan... sebab diakhir keterpaksaan timbul kerelaan selepas menikmati kemanisan...

Wednesday, March 13, 2013

CINTA BIASA



p/s: Entri kali ini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata

Selesai berdoa hujan-hujan ni. Moga-moga Allah makbulkan. Aamiin..

Mengupas konsep cinta dari kaca mata saya, cinta sesama manusia sama ada antara suami dan isteri, ibu dan anak-anak, ayah dan anak-anak, sahabat dan sahabat adalah cinta biasa sahaja. Tidak ada yang luar biasa atau istimewa. Malang saya rasa apabila manusia lain menganggap ianya sesuatu yang terlalu istimewa. Sesuatu yang perlu dihighlightkan atau disebut-sebut atau ditunjuk-tunjuk. Baru saya sedar…

Cinta manusia ini saya ibaratkan macam nasi. Tiada yang istimewa dengan nasi, sesuatu yang biasa…tetapi amat diperlukan. Nothing special but essential. Sehari kalau tak jumpa nasi mesti duduk tak kena. Mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang. Yang makan tak kenyang itu saya akui. Kadang-kadang menggeletar tangan kalau tak makan nasi walaupun dah makan makanan lain dan kelmarin dah makan nasi.

Jadi kita aplikasikan hubungan kita dengan nasi di Facebook atau laman-laman sosial. Setiap hari update kita makan nasi apa hari ini, lauk apa, bagaimana, perasaan kita terhadap nasi… agak-agak apa perasaan orang yang membaca status kita? Apa yang saya lihat, rata-rata manusia jadi bosan. Dalam hati mereka;

“eleh, macam dia seorang sahaja yang makan nasi… aku pun makan.”

“ini pun nak bagitahu?”

Dan banyak lagilah komen. Saya tak tahu macam mana nak buat ayat kejam..

Psikologinya, manusia memang bersifat keakuan. Mereka suka bercerita mengenai diri. Sebab itulah rata-rata ahli psikologi selalu keluarkan nasihat- jadilah pendengar yang baik.  Sebab kecenderungan semua manusia untuk bercerita mengenai diri adalah lebih tinggi berbanding nak mendengar cerita tentang orang lain. Diri dahulu yang diutamakan, barulah orang lain kemudiannya. Jadi, sebab itulah Facebook diwujudkan. Bagi merangsang sifat keakuan yang ada dalam diri manusia. Namun, mereka terlepas pandang fakta bahawa orang yang membaca tentang diri mereka juga mempunyai keinginan yang sama-untuk menceritakan mengenai diri sendiri.

Jadi ianya menjadi satu perkara yang meloyakan apabila seseorang terlalu menceritakan apa yang dimiliki dan dilalui terhadap sesuatu perkara yang biasa (baca cinta).

Contoh- kalau hari ini kita makan nasi ayam, esok lusa orang lain juga akan makan nasi ayam. Jadi, ianya bukan sesuatu yang luar biasa.

Oleh itu, tidak pelik apabila melihat status-status mereka yang mempertikaikan tindakan individu yang terlalu asyik mengisytiharkan kepada dunia mengenai hubungan cinta mereka.

Saya beranggapan mereka yang mempertikaikan tersebut bukanlah cemburu pun, tetapi itu adalah reaksi normal orang yang asyik mendengar orang bercerita tentang perkara biasa. Dan begitu juga mereka yang sedang asyik menikmati nasi (baca perkara biasa) bukanlah sedang berdakwah pun, itu adalah reaksi orang yang tidak menyedari bahawa dia hanyalah menikmati cinta biasa.

Solusinya, orang yang membaca status tersebut haruslah beranggapan status itu sebagai sesuatu yang normal daripada orang yang belum menyedari bahawa dirinya sedang berbuat sesuatu yang normal. Selalunya, apabila seseorang tahu dia hanya membuat sesuatu yang normal, dia tidak akan mewar-warkan kepada dunia. Macam berapa kali kita makan nasi sehari, nasi apa, di mana, bagaimana- jarang sangat kita nak letak. Sebab dia anggap ianya sesuatu yang luar biasa dan istimewa, maka dia bertindak sedemikian. Raikan sahaja…

Selalunya orang perempuan cenderung untuk bercerita kerana psikologinya begitu berbanding lelaki. Mungkin sifat orang lelaki yang tidak suka berkongsi hak miliknya... jadi wanita yang tidak suka poligami, seharusnya tidak berkongsi cerita tentang suami sebab sentiasa ada peluang dan ruang untuk orang lain cuba merebut darinya. Tapi kalau suka berkongsi, tak kisah... ramai orang nak lelaki baik.

Sebarkan Bahagia

Mengajak orang merasai perkara kebaikan itu menuntut timbang rasa daripada semua pihak. Mak pernah berpesan;

“Kalau tak mahu kongsi, jangan tunjuk kat orang lain. Makan kat dalam rumah bagi habis.”

Itu waktu mak beli ais krim. Saya nak makan kat luar rumah, tetapi mak larang supaya sepupu tak nampak. Takut nanti mereka teringin. Boleh makan di hadapan mereka, tetapi dengan syarat kena bagi mereka rasa juga. Jadi, prinsipnya, kalau tak nak kongsi jangan tunjuk.

Samalah dengan halnya kecintaan terhadap manusia. Bukan semua orang ada ibu bapa baik, sahabat baik, isteri baik dan suami romantik. Dan bukan semua orang dapat individu yang sama seperti yang kita dapat (kecuali kalau kita bersedia untuk berkongsi?...)Tetapi semua orang ada Allah yang memang- Esa, Maha Pengasih dan Maha Penyayang walau macam mana pun manusia yang menilai itu. Sama di mana dan pada bila-bila masa dengan asma'nya yang 99.

Jadi, mengajak kepada kecintaan terhadap manusia membawa kepada kecintaan kepada Allah s.w.t. perlu kena caranya. Kalau kita nak tulis status tu cadang sayalah untuk diri dan pembaca, cek balik sama ada akan membuat orang ingat atau tidak kepada Allah s.w.t.

Kalaupun orang cemburu dengan hubungan kita dengan Allah s.w.t, orang tersebut ada peluang dan ruang yang terbuka luas untuk rebut cinta tersebut pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Allah s.w.t sentiasa ada untuk kita. Sebab itulah cinta yang luar biasa dan istimewa hanya melalui Allah s.w.t, dengan Allah s.w.t dan untuk Allah s.w.t. Jadi bukanlah;

sweetnya’
‘ok, saya jeles…’
‘romantiknya…’
‘cantiknya…secocok.’
'untunglah..'


dan lain-lain lagi feedback atau komen  sebegini sebagai KPI yang kita jangka daripada status yang dibuat kononnya untuk berdakwah dan memaparkan sunnah Rasulullah s.a.w.  Tak sampai langsung maksud dan nikmat yang ingin dikongsi…at least, buatlah seperti seorang ustaz yang pernah mengajar saya di Irshad, disebabkan dia nak menceritakan kebaikan yang dilakukan oleh diri agar dicontohi oleh anak murid, dia menggunakan ‘sahabat’ bagi menggantikan pelakunya iaitu dirinya sendiri… sebagai contoh ‘ada sahabat saya, dia selalu bangun malam’ walhal dia ingin menceritakan mengenai diri sendiri sebagai contoh. Secara tidak langsung, ia menjauhkan diri dari sifat riak, takbur atau bangga diri. Wallahualam…