Dalam hidup
ini ada dua kelompok manusia. Satu yang hidup mengikut peraturan, yang satu
lagi hidup bebas. Atau dipanggil free
spirit.
Kelompok
yang mengikut peraturan, sesetengah manusia memandang mereka ini sebagai
manusia yang membosankan dan tidak menyeronokkan. Sebab, nak buat itu tak
boleh, nak buat ini tak boleh. Kelompok yang hidup bebas ini pula, kehidupannya
penuh dengan pelbagai kejutan hasil daripada sikapnya yang semberono. Yang mana
satukah anda?
Hidup
dengan kelompok yang mengikut peraturan memang membosankan. Kita sudah dapat
menjangkakan apa yang akan dilakukan oleh mereka. Ada orang melabelkan mereka
sebagai tidak ada life. Terlalu
stabil. Contoh, pagi sarapan roti, telur separuh masak, susu. Pergi kerja.
Tengah hari, qailullah. Solat zohor. Makan tengah hari-nasi berlauk. Masuk
kerja. Solat asar. Makan malam. Solat maghrib berjemaah di masjid. Solat isyak.
Balik rumah, tidur. Hari minggu-bercuti bersama keluarga. Destinasi- air
terjun, tepi pantai, pulau. Barang-barang keperluan- bla,bla,bla. Malam tak
boleh makan berat, tidur jam 10 malam, bangun jam 5 pagi, tak boleh itu, tak
boleh ini.
Kelompok
bebas ini pula kehidupannya happening.
Tak perlu fikir banyak-banyak. Tempuhi sahaja apa yang mendatang. Makan ikut
suka, kadang makan kadang tak makan. Makan tak ikut masa. Jam 1 pagi boleh
pergi bantai makan durian. Tengah malam makan burger bakar. Tidur bila mengantuk. Kat mana sempat kat situ letak
kepala. Mandi kalau rasa rajin, kalau tak satu hari jadi kambing. Tak kisah. Kelompok
ini banyak kawan sebab dengan semua orang dia boleh masuk. Orang suka berkawan
dengan dia sebab dia fleksibel. Tak terlalu cerewet atau mengikut peraturan.
Orang cakap senang bersama orang yang tidak ada expectation apa-apa. Penuh dengan kejutan.
Kalau
kita perasan, media selalu menggambarkan kehidupan bersama kelompok pertama
adalah membosankan dan kehidupan bersama kelompok kedua adalah yang paling
istimewa dan menarik. Bukan sahaja media elektronik, malah media cetak. Sebagai
contoh, kalau kita menonton filem Korea, Hindi, Melayu- latar cerita memaparkan
seorang gadis yang memiliki seorang tunang yang stabil, mengikut peraturan dan
mungkin boleh dikatakan skema, setia. Tiba-tiba apabila gadis tersebut bertemu
dengan seorang lelaki (hero) yang tergila-gilakan dia, sanggup buat apa sahaja,
penuh dengan kejutan, romantik dan kadang-kadang terlampau nak membuktikan
cintanya sehingga menjebakkan mereka berdua dalam keadaan yang tak disangka,
sanggup membelakangkan keluarga, gadis tersebut terus terpaut hati dengan
lelaki itu. Dan endingnya, gadis
tersebut sanggup meninggalkan tunangnya yang baik dan berkahwin dengan lelaki
yang free spirit tersebut. Konon
apabila bersama lelaki tersebut, gadis itu merasakan hidupnya tidak bosan.
Tetapi, cerita berakhir dengan perkahwinan. Adakah itu pengakhirannya?
Bagaimana dengan realiti selepas perkahwinan?
Berdasarkan
pembacaan saya, manusia yang free spirit
ini adalah individu yang tidak bertanggungjawab dan pentingkan diri sendiri.
Filem atau novel memaparkan sikap sanggup buat apa sahaja sebagai terbaik dan
bertanggungjawab. Sedangkan sanggup buat apa sahaja adalah tidak
bertanggungjawab sebenarnya dan menunjukkan manusia tersebut tidak berfikir
kesan terhadap tindakannya. Islam meletakkan matlamat tidak menghalalkan cara.
Perkahwinan
bukan untuk sehari dua. Ia merupakan satu pelaburan jangka panjang. Sehari dua
mungkin boleh bertahan dengan individu yang lepas bebas ini. Setahun kemudian,
5 tahun kemudian, 10 tahun kemudian, macam mana? Apabila ada pelbagai ujian dan
cubaan dalam rumahtangga, individu ini boleh sahaja lepas tangan dan mencari
jalan singkat bagi keluar dari masalah. Sebabnya mereka yang tidak mempunyai
prinsip dalam hidupnya tidak berfikir panjang apabila membuat keputusan. Sebab
itulah sedari awal dia boleh tiba-tiba jatuh cinta dengan gadis yang dijumpai
di tepi jalan, tiba-tiba boleh membuat keputusan untuk memiliki gadis tersebut no matter what it takes, dan segalanya
dalam hidup individu sebegini adalah instant.
Macam mi segera. Memang sedap, tetapi lama-lama muak dibuatnya dan membahayakan
kesihatan.
Sebenarnya,
bukan contoh perkahwinan yang saya nak buat sebenarnya. Tetapi disebabkan
perkahwinan adalah satu kehidupan yang mengikat individu yang terlibat, saya
nak menggambarkan kalau tersilap pilih akan menyebabkan kita merana. Kalau
sekadar berkawan dengan individu lepas bebas ini tak apa. Boleh kurangkan
berkawan atau tinggalkan dia. Kalau dah berkahwin, bukan semudah itu.
Baru-baru
ini sewaktu ke Kelantan, saya telah mengabaikan beberapa peraturan atau
kebiasaan diri. Saya cuba jadi free
spirit. Walaupun ianya sekadar perkara kecil, tetapi tetap memberikan kesan.
Konon sebab nak rasa semangat mengembara. Gara-gara memakan makanan berat pada
tengah malam, saya tidak dapat bangun awal seperti kebiasaan untuk solat
sebelum Subuh. Kemudian, saya tidak merancang perjalanan balik dengan baik.
Disebabkan tak nak berada di Kelantan lama-lama, saya pulang dengan bas
muslimat Selangor yang akan bertolak selepas ucapan dasar Muktamar Pusat.
Walaupun saya berpeluang pergi ke Istana Negeri dan melihat pameran MAIK di
dalam dewan pameran istana, saya telah membuat beberapa kesilapan.
Pengajaran
pertama, kalau berjalan di tempat yang jauh, jangan makan makanan yang
pelik-pelik. Disebabkan nak merasa makanan Kelantan, saya telah membeli Som
Tam. Lepas tu, saya makan pada waktu malam pula. Sudahnya perut saya menjadi
tidak selesa yang amat. Tambah pula dalam Som Tam tersebut diletak pula udang
kering, saya tak boleh makan udang. Setelah separuh makan, baru perasan ada udang
kering. Kesannya, saya menderita sepanjang perjalanan pulang ke Selangor.
Sudahlah perjalanan tersebut mengambil masa berbelas jam.
Pengajaran
kedua, rancang perjalanan dengan baik. Saya semberono naik bas Selangor tanpa
bertanyakan terlebih dahulu destinasi perhentian. Akhirnya, pada jam 1 pagi
saya ditinggalkan di Taman Greenwood, Gombak. Mak cik-mak cik yang lain pakat
balik tinggalkan kami. Nasib baik saya bersama dengan seorang rakan baru yang
turut hendak pulang ke Kajang. Terpaksalah saya menyusahkan orang rumah untuk
datang ke Gombak pada jam 1 pagi untuk mengutip kami. Itupun alhamdulillah
orang rumah ada kenderaan. Saya memang ingat sahabat saya masih bercuti. Kami
tumpang berteduh di sebuah gerai durian yang masih buka sehingga jam 2 pagi.
Turut menunggu kami pulang dengan selamat sepasang suami isteri yang makan di
gerai tersebut. Mungkin tak betah meninggalkan kami dengan penggerai yang
kesemuanya lelaki.
Memanglah
kalau dilihatkan ini merupakan pengalaman yang berharga dan jarang didapati.
Tapi kadang-kadang saya merasakan saya sengaja menempah susah. Sekali dua
memang menarik, kalau selalu begini kemungkinan satu masa saya mungkin terjebak
dalam keadaan yang tidak diingini. Nauzubillah…
Sampai
sahaja di rumah, badan saya dah mula panas dan rasa macam nak demam. Sudahlah
perut tidak selesa sehingga sekarang menyebabkan saya hilang selera makan. Saya
dalam kategori manusia yang tak boleh langgar peraturan, mesti akan
menerima kesannya secara tunai.
Masa
sekolah menengah, baru hari pertama saya tidak memakai lencana selepas turun
dari pengawas saya sudah dimarahi oleh guru di hadapan kawan-kawan. Masa darjah
satu, baru kali pertama mendapat surat peminat sudah kena rotan dengan guru di
hadapan kelas. Jadi saya tak suka berkawan dengan lelaki. Mesti akan timbul
masalah. Itulah bagaimana saya setkan minda dan membuat peraturan terhadap diri
sepanjang hidup ini. Sedangkan ada orang tidak pernah kena apa-apa walaupun
bercinta di sekolah dan melanggar peraturan.
Jadi
saya kadang-kadang pelik dengan mereka yang sentiasa melanggar peraturan, tidak
mempunyai prinsip hidup, hidup lepas bebas. Sebagai contoh, kalau seorang gadis
ditinggalkan oleh pak we, semestinya kalau ikut logik, janganlah berkasih lagi.
Tetapi tidak. Kalau kena tinggal, cari lagi. Hari ini kena tinggal, esok sudah
ada pak we baru. Mereka cakap mereka benci lelaki, tetapi kenapa mereka
berkawan dan bercinta lagi dengan lelaki? Sungguh saya tak faham dengan
rakan-rakan saya yang sebegini. Macam mereka suka dilukai dan membenci. Kalau
mereka datang meminta nasihat saya, terus saya cakap tak perlu la bercinta
kalau macam tu. Ingat faham, tetapi masih tak faham. Apabila ditanyakan kenapa
bercinta lagi, alasannya lelaki ini baik, romantik dan bla, bla. Tetapi kalau
baik, kenapa sebelum ini dia sudah ada kekasih? Lepas tu, sanggup pula bergaduh
dengan bekas kekasih pak we. Saya tak tahu macam mana nak tolong golongan ini.
Kadang-kadang saya rasa mereka merupakan golongan yang suka hidup dalam
konflik. Itulah golongan instant, free
spirit. Tak berfikir panjang.
Dalam
sebuah novel Inggeris yang saya baca, Far
from the Maddening Crowd, a free
spirit Batsheba memilih untuk berkahwin dengan seorang askar yang pandai
menggodanya dan menolak lamaran seorang petani yang baik seperti Oak. Hanya kerana askar tersebut pandai bermain
kata dan selalu membuat tindakan berani manakala Oak sangat membosankan sebab
pendiam dan terlalu menjaga batasan. Sedangkan askar tersebut telah menyebabkan
seorang wanita mengandung. Tetapi setelah kematian askar tersebut akibat
konflik, barulah Batsheba memilih Oak yang setia. Kalau saya jadi Oak, tak
hingin saya kat Batsheba dah.
Kesimpulan
daripada entri saya yang panjang ini adalah, hidup perlu ada prinsip dan
pegangan. Jangan biarkan diri dipandu oleh nafsu hanya kerana inginkan
keseronokan sementara. Kelak merana badan. Walaupun sekadar melanggar peraturan
makan berat pada waktu tengah malam dan tidak merancang perjalanan dengan baik,
kesihatan saya terganggu dan saya telah menyusahkan orang sekeliling. Kalau dalam
perkara kecil pun perlu berpandukan peraturan dan prinsip, inikan pula perkara-perkara
besar dalam hidup. Apatah lagi selaku pejuang Islam yang mengaku mendaulatkan Islam, perlu lebih teguh pendirian dan memiliki prinsip hidup yang jelas.