‘Aku telah tinggalkan untuk kamu suatu panduan, jika kamu berpegang teguh dengan ajarannya, maka kamu tidak akan sesat selama-lamanya; iaitu kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya’- petikan teks khutbah terakhir Rasulullah s.a.w.
(satu-satunya sahabat yang masih hidup- the blessed tree)
Menyingkap
kembali detik-detik terakhir pemergian Qudwah
Hasanah umat Islam itu seringkali membuatkan dada berombak-ombak dan nafas
tertahan-tahan. Satu sirah nabawiyah
yang agung telah tercoret dalam sejarah
dunia bermula dari saat lahirnya kekasih Allah itu ke dunia. Satu figur yang menjadi penutup semua rasul
dan nabi sepanjang zaman mengakhiri perjuangan baginda dengan menyampaikan
khutbah terakhir di Padang Arafah di bawah terik mentari bersaksikan 144 000 jiwa yang sentiasa
menyanjungi dan menyayangi baginda melebihi harta benda dan nyawa mereka.
Seusai
khutbah baginda, sedarlah setiap jiwa yang hadir di situ bahawa urusan
Rasulullah s.a.w sebagai penyempurna akhlak manusia di dunia telah selesai dan
tibalah saat bagi baginda meninggalkan dunia ini. Hancur
luluh hati para sahabat, bergetar perasaan demi menyedari hakikat
tersebut.
Tidak pernah diragukan, kasih sayang dan
cinta para sahabat terhadap baginda tidak terbanding dengan seluruh isi alam. Bahkan Saidina Abu Bakar pernah suatu ketika
menyerahkan semua harta bendanya untuk disalurkan kepada perjuangan Islam. Apabila
ditanyakan apa yang tinggal untuk anak isterimu, Saidina Abu Bakar menjawab,
‘Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-Nya’. Itulah lambang cinta mereka terhadap Rasulullah
s.a.w. Cinta itu memenuhi setiap relung hati para sahabat.
Bukan bermakna mereka memuja baginda
seperti mana pengikut Arqam memuja guru mereka Asha’ari atau seperti mana
pengikut Sikh memuja Guru Nanak, tetapi
bukankah terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Anas RA, bahawa Rasulullah
s.a.w bersabda : ‘Tidak beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihi
daripada anaknya, ibu bapanya dan manusia seluruhnya’.
Merenung
kembali sirah membuatkan kita terfikir sejenak dengan situasi zaman sekarang,
zaman pasca Hijrah. Jika pengorbanan
harta benda dan nyawa menjadi lambang cinta umat terdahulu terhadap Rasulullah
s.a.w., pernahkah kita terfikir apakah lambang cinta kita kepada Rasulullah
s.a.w?
Jika kita melihat situasi semasa, timbul
persoalan, adakah dengan menyambut Maulidur Rasul sepanjang tahun, lengkap
dengan perarakan yang bercampur lelaki perempuan (walaupun perempuan di
belakang dan lelaki di hadapan), berselawat selantang mungkin sudah memadai
untuk memberitahu kita sentiasa mengingati Rasulullah s.a.w?
Tanpa
kita sedari, kita selalu memperbesar-besarkan perkara yang kurang penting dan
mengabaikan perkara yang lebih aula. Inilah yang dikatakan kuman di seberang laut
nampak, gajah di depan mata tak nampak. Sebagai
contoh, pernah dibangkitkan isu perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang menjadi suatu isu yang hebat dibahaskan di semua
peringkat pimpinan. Masing-masing
memberikan pendapat yang jika dilihat tidak langsung mencerminkan mereka yang
merefleks sejarah sirah nabawiyah.
Atau
adakah perarakan merupakan lambang cinta kepada Rasulullah s.a.w sehingga jika
tidak dibuat kita sudah tidak ada sayang lagi kepada Rasulullah s.a.w? Bukankah
kita patut berlapang dada dan melihat kembali apakah kesilapan yang kita
lakukan sehingga terdapat pihak yang berani mempersoalkan segala tindakan kita?
Jika
kita memang suka melihat perkara-perkara yang kecil, sepatutnya kita mula
merasa risau akan keadaan sekarang di mana terhakisnya keinginan dalam diri
umat Islam untuk mempraktikkan sunnah Rasulullah s.a.w dalam kehidupan
seharian. Bukankah jika kita cintakan seseorang itu, kita akan menyukai apa-apa
yang disukainya dan membenci apa-apa yang dibencinya?
Teringat
sebuah kisah seorang ahli falsafah Islam, Allama Iqbal. Beliau menceritakan
bagaimana pada suatu hari, terdapat seorang fakir datang mengetuk pintu di
hadapan rumah beliau sambil merayu-rayu meminta makanan. Beliau
berasa sangat marah lalu memukul dan menghalau si fakir tersebut. Apabila perkara ini diketahui oleh ayah
beliau, menitis air mata di kedua-dua belah pipi tua ayahnya sambil merintih “
Di manakah akan aku letakkan muka ini apabila berhadapan dengan Rasulullah
s.a.w nanti di hari akhirat? Malu aku kepada Rasulullah akan keluhuran budi
baginda dalam melayan fakir miskin. Apa yang akan aku katakan terhadap
perbuatanmu itu?”
Perkara
sekecil itulah yang wajar diberikan perhatian oleh seluruh umat manusia. Bukan
perkara kecil yang jelas-jelas tidak pernah diperintahkan oleh Rasulullah
s.a.w. seperti menyambut kelahiran baginda. Diutuskan Rasulullah s.a.w adalah
sebagai penyempurna akhlak manusia di atas dunia. Apabila ditanyakan kepada
Ummul-Mukmin Saidatina Aisyah mengenai akhlak Rasulullah s.a.w, beliau segera
menjawab: “Akhlak Rasulullah S.A.W itu ialah (seperti tuntutan) Al-Quran”.
Oleh
itu, sepatutnya perbuatan mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w dijadikan lambang
cinta kita yang agung terhadap baginda.
Hiasi diri dengan akhlak Rasulullah s.a.w dan insya-Allah musuh-musuh
pun akan menghormati setiap apa-apa yang kita lakukan. Bukanlah kata-kata yang menjadi ukuran tetapi
perbuatan yang menjadi tatapan dan ikutan. Wallahualam...
p/s: Sekadar pandangan kecil penulis. Lelah mengharungi zaman fitnah berleluasa... T.T Mohon dikuatkan.