Dalam era globalisasi ini, penglibatan setiap masyarakat dalam pelbagai aspek atau bidang untuk memajukan negara adalah amat digalakkan tanpa mengira jantina termasuklah dalam pentadbiran awam. Bagaimanapun, penglibatan wanita dalam pentadbiran awam adalah sedikit jika dibandingkan dengan lelaki sebelum munculnya pendekatan feminisme. Wanita dilihat sebagai individu yang lemah dan tidak layak untuk membuat keputusan bagi sesuatu perkara yang melibatkan kepentingan organisasi apatah lagi memegang kuasa.
Feminisme membawa maksud himpunan teori sosial, gerakan politik, dan falsafah moral yang sebahagian besarnya berkenaan dengan pembebasan dan kesamaan hak perempuan daripada ditindas atau diketepikan oleh lelaki. Mengikut sejarah, gerakan feminisme bermula di Barat apabila golongan wanita merasakan diri mereka diketepikan oleh kaum lelaki dalam semua bidang terutamanya dalam bidang sosial, pekerjaan, pendidikan serta politik. Seiring dengan peredaran masa, gerakan tersebut berubah menjadi perjuangan untuk membebaskan wanita daripada tekanan prejudis ke atas wanita oleh kaum lelaki. Gerakan feminisme ini terbahagi kepada empat iaitu feminisme normatif, feminisme liberal, feminisme marxisme dan feminisme radikal.
Gerakan feminisme liberal lebih meluas dan aktif. Feminisme liberal inilah yang memperjuangkan kesaksamaan jantina dan mengubah definisi kuasa dalam pentadbiran awam. Dalam kata lain, feminisme liberal cuba mengubah mindset yang mengatakan hanya lelaki yang layak memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran awam. Namun, isunya di sini, sebelum kemunculan gerakan feminisme ini, golongan lelaki mendominasi pentadbiran awam dan struktur kuasa itu bersifat hierarki dan tidak terpencar. Kekuasaan lelaki dalam pentadbiran awam atau dipanggil patriarki digunakan untuk menguasai wanita dan membentuk sistem yang membuat wanita tetap dikuasai melalui bermacam-macam cara.
Bagi feminis, kuasa itu perlu disentralisasikan dan tidak terpusat kepada gender tertentu. Pendekatan feminisme telah menerapkan konsep sama rata dan kuasa tradisional hierarki kepada idea merit dan universal untuk menghasilkan pentadbiran yang cekap dan mahir. Hal ini demikian kerana, kemampuan yang dimiliki oleh wanita kadang-kadang melampaui kapasiti lelaki. Oleh sebab itu, wanita harus diberi peluang untuk menjadi a decision-making person seiring dengan lelaki. Kesannya, kuasa tidak lagi dianggap terpusat dan berbentuk patriarki seperti mana dahulu iaitu hanya lelaki yang menguasai bahagian pembuatan keputusan.
Sebagai contoh, di Indonesia, Garis-garis Besar Haluan Negara (GBHN) pada tahun 1999 telah mengalami perubahan mengenai penetapan peranan wanita. Terdapat implementasi dasar desentralisasi iaitu melibatkan isu gender dalam semua dasar yang dibuat oleh pemerintah untuk mencipta keadilan dan kesetaraan gender baik dalam bidang pentadbiran daerah ataupun politik negara.
Melihat dari skop kampus, jumlah perwakilan siswi telah meningkat seiring dengan pertambahan pelajar siswi di universiti. Isu-isu siswi menjadi prioriti yang perlu dijuarai dan ditangani bagi memastikan siswi memanfaatkan sepenuhnya peluang semasa berada di universiti. Dalam Majlis Perwakilan Pelajar UKM (MPPUKM) sesi 2010/2011 misalnya, 13 daripada 38 ahli perwakilan terdiri daripada mahasiswi di mana satu biro telah dikhususkan untuk hal-ehwal siswi yang dipegang oleh Naib Presiden 2, Muslimah Marsi. Jumlah ini dijangka meningkat apabila melihat prestasi perwakilan siswi dalam menjuarai isu-isu kebajikan.
“ Wanita memiliki ‘feminine leadership style’ iaitu mudah bekerjasama, sentiasa melibatkan diri, perkongsian kuasa dan maklumat, consensus building, teamwork dan meningkatkan harga diri pihak lain yang menyebabkan mereka mendapat kepercayaan pengundi terutamanya siswi dalam membawa isu-isu kebajikan, keselamatan siswi dan sebagainya.” Respon MPP Muslimah (gambar) apabila diminta mengulas mengenai perlunya penglibatan siswi dalam proses pembuatan keputusan di peringkat tertinggi.
Menurut The Beijing Platform for Action (1995);
…women’s equal participation in decision-making is not only a demand for simple justice or democracy but can also be seen as a necessary condition for women’s interests to be taken into account. Without the active participation of women and the incorporation of women’s perspective at all levels of decision-making, the goals of equality, development and peace cannot be achieved…
Namun, terdapat sesetengah tuntutan pendekatan feminisme liberal yang dilihat ekstrem dalam memastikan wanita setaraf dengan lelaki dalam semua keadaan dan hanya sesuai diamalkan di Barat di mana kebebasan hak individu dijulang tinggi. Walau bagaimanapun, dalam Islam sendiri telah lama mengangkat martabat wanita. Wanita sentiasa diberikan peluang untuk menyuarakan pendapat jika mereka melihat terdapat keperluan untuk berbuat demikian. Kadang-kadang stigma dalam masyarakat yang menafikan hak wanita untuk bersuara dan membuat keputusan bukan agama yang patut dipersalahkan. Jika tidak masakan Saidatina Aisyah isteri Rasulullah s.a.w menjadi tempat rujukan para sahabat mengenai permasalahan agama dan terdapat wanita yang pernah mempersoalkan keputusan Saidina Umar Al-Khattab?
(Siswi perlu merebut setiap peluang untuk ke hadapan)
Kesimpulannya, wanita umumnya dan siswi khususnya perlu mengambil peluang dalam proses decision makingseoptimum mungkin bagi memastikan isu-isu mengenai siswi atau isu-isu lain diberi perhatian dan tindakan sewajarnya. Siswi seharusnya berani bersuara dalam setiap mesyuarat dan bukan bersikap pasif dan menerima sahaja keputusan secara bulat-bulat. Semoga setiap usaha yang dilakukan memberi manfaat kepada ummah.
~Siswi dinamis, sentiasa optimis~
Editor:
Nurhidayu Rosli
Pengerusi AKSIS