Sudah lama saya ingin post entri ni sewaktu pulang dari program lagi. Tapi, saya teragak-agak untuk berkongsi kerana merasakan saya sudah berubah. Saya tidak lagi seperti dulu.
Semasa berada dalam bas menuju ke SMKA Al-Irshad, hujan lebat menutup pandangan dari melihat ke luar tingkap. Dalam hati rasa gusar sebab takut terlepas kereta api lagi. Ada masa lebih kurang dua jam 45 minit sebelum waktu kereta api berlepas sedangkan bas masih belum keluar dari pulau yang mengambil masa sejam jika tidak ada kesesakan jalan raya. Hujan yang lebat melambatkan pergerakan bas. Kerisauan semakin bertambah-tambah apabila tiba di jambatan, berlaku kesesakan jalan raya. Saya mengambil tempat duduk jauh di sudut belakang bas bagi menenangkan diri. Dalam hati berdoa semoga kereta api delay dan sempat saya tiba di stesen.
Anak usrah Kak Hajar, Mizah yang pernah saya sebutkan sebelum ini, menegur saya kerana melihat keadaan saya yang macam kucing nak beranak. Saya cuba berbual-bual dengan dia dan dia timbulkan satu persoalan atau lebih kepada luahan hati tentang dilema yang dihadapinya. Dia menerima teguran daripada pimpinan muslimin yang menegur cara dia berurusan dengan muslimin yang dilihat terlalu serius.
"Saya tak tahu nak buat macam mana lagi akak, saya rasa saya dah cuba untuk tak serius, tapi tetap depa cakap saya ni terlalu ketat sangat. Saya nak buat macam mana?"
Saya tersenyum sebab perkara ini memang selalu berlaku pun. Perlu diketahui, adik Mizah merupakan Ketua Aspuri dan kadang-kadang perlu bermesyuarat dengan Aspura untuk penyelarasan.
Jawapan saya;
"Jadi diri awak. Tak perlu berubah."
Umum perlu ketahui, kelemahan wanita ialah hatinya. Jadi, preventive action sangat praktikal. Kenapa perlu ditegur orang yang nak menjaga hatinya. Perempuan lebih sensitif jika hatinya tercemar. Bukan mudah nak merasa nikmat berhubung dengan Allah jika hati tak bersih. Apabila disebut masalah hati, tak perlu kecilkan skop kepada perempuan ni mudah perasan. Perlu tahu juga, lelaki ni gayanya kasar dan cara bekerjanya berbeza dengan perempuan. Jadi masalah hati boleh sahaja timbul seperti salah faham, terasa hati, marah, rasa cam nak belasah apabila urusan yang melibatkan perbezaan jantina tak mengikut garis yang diletakkan agama. Alasan supaya bersifat terbuka dan boleh bergurau-gurau supaya tak jadi kejutan budaya waktu masuk universiti nanti tak benar sama sekali.
Tak perlu nak tipu, setakat tiga tahun berada di universiti, saya tak pernah mengalami kejutan budaya kalau kena bekerja dengan siswa untuk tugasan . Walaupun tak suka, tetapi kita objektif. Dapat tugas, buat tugas, selesai. Tak perlu nak rumit-rumit. Dan setakat ni, alhamdulillah, apabila kita pelihara diri, Allah pun akan pelihara kita. Tak pernah saya tak dapat A dalam tugasan yang melibatkan lelaki jika itulah KPInya. Wah, nada sombong di situ. Mana ada, itu unsur pembuktian dan pengalaman. Tak perlu nak kenal pun siapa siswa tersebut, cukup sekadar tahu nama, no matrik dan bahagian tugasan dia. Pastikan dia selesaikan tugasannya di akhir nanti. Tak perlu nak lebih dari itu. Mereka lebih menghormati dan berhati-hati.
Situasi sekarang ni, mahasiswa berada dalam sindrom malas nak belajar. Segala tugasan selalunya akan dibebankan kepada siswi. Mereka bukan lagi berjiwa pemimpin. Mungkin disebabkan diserang pelbagai virus yang merosakkan nafsu mereka yang satu dan sekaligus merosakkan akal mereka yang 9 tersebut. Jadi, segala tugasan yang diberikan selalunya akan diketuai dan diselesaikan oleh siswi. Dan pandangan saya, bagus juga. Urusan itu akan menjadi lebih senang jika melibatkan siswi sahaja. Biarlah mereka dengan kemalasan mereka. Tak perlu terlalu mengharap.
Jadi rumit apabila kita meminta lebih dari itu. Nak buat tugasan nak seronok-seronok, nak happening-happening, tak nak tekanan. Mesyuarat yang serius itu lebih baik dari mesyuarat yang dipenuhi dengan ketawa-ketawa. Apabila kita mula membuka ruang kepada sesuatu yang lebih santai, apabila berlaku keadaan yang tegang, kita sudah tak mampu menghadapinya. Apabila kita membuka peluang untuk dibelai-belai perasaan, apabila dimarahi kita akan mudah terasa dan jauh hati. Senang cerita, jangan beri muka kepada diri sendiri. Ok, pendapat saya mungkin bersifat persepsi semata-mata dan mungkin tak sesuai dengan jiwa mereka yang lain. Tapi saya sudah mula merasa kesan negatif apabila terlalu memberi peluang kepada hati dan otak untuk santai-santai dan ringan-ringan.
Walaupun sahabat-sahabat saya tak pernah turun setiap kali ada majlis alumni atau reunion dan tak pernah berhubung langsung dengan alumni muslimin, kami masih boleh bekerjasama dengan muslimin apabila membuat program. Apabila masing-masing sudah dewasa, kita lebih mementingkan tanggungjawab dan amanah berbanding perkara-perkara sampingan seperti masalah hati. Walaupun dulu pernah ada konflik persefahaman, apabila berjumpa atas satu matlamat yang sama, semua perkara itu kita letak sebelah dan fokus kepada matlamat program dan jemaah. Walaupun bekerja dalam situasi serius, kenikmatan itu masih diperoleh apabila matlamat dan objektif program tercapai dan dalam masa yang sama menjaga adab antara lelaki dan perempuan.
Sewaktu diberitahu ada adik-adik muslimat yang memprotes dicampur antara lelaki dan perempuan dalam satu kumpulan, seorang urusetia lelaki hanya tersenyum dan memandang saya.
"Tak pe, ana faham. Lagipun ada dalam kalangan urusetia perempuan pun macam tu juga kan dulu."
Urusetia tersebut yang merupakan lepasan DQ diberi tugasan untuk menjernihkan persepsi adik-adik sebelum program diteruskan agar adik-adik tersebut dapat beri komitmen. Tak semena-mena dia datang berjumpa dengan saya sebelum itu dan tanya apakah hadis atau ayat al-quran berkaitan dengan hubungan antara lelaki dan perempuan yang dibolehkan.
"Apakah yang menyebabkan ustazah boleh bekerja dengan lelaki sekarang?"
Nasib baik ada yang menyampuk sebab saya memang tak tahu dan rasa cuak waktu tu. Dibacakan firman Allah yang bermaksud;
“ Dan orang yang mu’min lelaki dan perempuan sebahagian daripada mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain , mereka menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar , mereka mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan ta’at kepada Allah dan Rasul . Mereka itu akan dirahmati Allah . Sesungguhnya Allah itu Maha Kuat lagi Maha Bijaksana. ( At-Taubah : 71)
Urusetia tersebut memulakan mukadimah dengan memberi contoh yang saya dapat agak dah.
"Ana faham ada dalam kalangan muslimat yang tak mahu bercampur dengan muslimin dalam satu kumpulan. Ana biasa berhadapan dengan rakan muslimat ana yang macam ni. Ada yang sampai anti lelaki. Nampak jer lelaki, terus demam seminggu."
Ok, yang demam seminggu itu memang dia tambah-tambah.
Meletakkan diri saya di posisi adik-adik muslimat, saya tahu saya tetap tak dapat menerima percampuran lelaki dan perempuan. Di usia-usia sebegini, selalunya perubahan pemikiran tak berlaku secara drastik kerana perubahan pemikiran itu berlaku seiring dengan pertambahan pengalaman diri, komitmen dan usia. Saya dahulu pun tak melihat kepentingan untuk bercampur dengan muslimin sewaktu zaman persekolahan. Tengok muka pun dah naik menyampah. Jadi, saya rasa tak perlu pun mengubah mindset adik-adik muslimat. Biar mereka dengan prinsip mereka kerana suasana tak memerlukan pun mereka untuk berubah. Takut-takut mengundang kepada perkara yang lebih mudarat apabila sudah seronok bekerjasama dengan muslimin.
Jadi buat adik Mizah dan sesiapa yang berjiwa sebegitu, kekalkan. Tak perlu risau andai mereka tak faham. Mereka memang takkan faham sehinggalah mereka cuba untuk faham. Sayang kalau hati rosak sewaktu berada di sekolah kerana kita memerlukan hati yang kuat untuk menghadapi dunia di luar nanti. Supaya damai di hati sentiasa bersama dan dapat menikmati hubungan dengan Allah lebih dari segala-gala.
Mungkin apa yang saya tulis ini, di samping untuk menguatkan hati adik Mizah, juga lebih kepada untuk mengingatkan diri sendiri supaya lebih menjaga dan berhati-hati. Kadang-kadang kita terlalu terkesan dan risau apabila ada lelaki yang menegur kita ini sombong dan sebagainya. Seperti mana Hishamuddin Rais berkata, wanita dan lelaki adalah berbeza dan sukar untuk masing-masing memahami. Memang sampai sekarang pun saya tak pernah faham. Jadi, kalau orang lelaki bekerja perlu seronok-seronok, dan perempuan bekerja dalam keadaan serius, biarlah. Tak perlulah kita melihat itu sebagai masalah. Biar dia dengan seronok dia dan kita dengan serius kita. Asalkan sewaktu kita melaksanakan tugas, kita siapkan bahagian kita, dia siapkan bahagian dia dan perbincangan yang jelas berlaku, sudah cukup. Tak perlu mengubah cara bekerja hanya untuk disesuaikan dengan mereka sehingga menyebabkan diri sendiri tak selesa dengan perubahan dan mengganggu gerak kerja.
Seperti mana yang disebut penceramah program, Ustaz Al-Rizuwady Abd Rahman, Penolong Sektor Dakwah, JPN dalam tajuk kuliah Kepimpinan dalam Islam serta Cabaran Pelajar di Era Globalisasi, antara adab-adab bergaul antara muslimat dan muslimin adalah muslimat perlu serius dalam tenang. Tak perlu nak senyum sangat. Ha, ekstrem kan. Tak pe, saya setuju dan suka. Ia membantu saya berfikir dan fokus.
Menutup entri, saya tahu ada yang tak bersetuju dengan pandangan saya. Samalah dengan ustaz DQ tu. Dulu puas dia berhujah dengan sahabat saya mengenai pergaulan lelaki dengan wanita apabila kami tak nak pergi reunion atau jamuan Hari Raya alumni. Tapi, kami tak pernah peduli pun. Kami tetap dengan pendirian kami bahawa selagi tak ada kemaslahatan, tak perlu nak jumpa konon atas alasan mengeratkan ukhuwah. Ditakdirkan Allah, saya kena bekerjasama dengannya untuk program jemaah, jadi saya perlu berurusan dengan dia. Boleh jer. Tak timbul masalah tak boleh bekerja sebab tak pernah bersembang sewaktu sekolah dulu sebab dah besar. Takkan tak tahu bagaimana cara nak bercakap. Dah selesai tugasan, kembali seperti asal.
Jadi adik Mizah dan juga sesiapa yang seperti dia, jangan pening-pening. Tahu satu perkara, rosaknya manusia adalah kerana rosak hatinya. Jadi, peliharanya sebaik mungkin. Berurusan jika perlu dan elakkan selagi boleh untuk berurusan dengan mereka.
~kadang-kadang rasa pegangan dah goyah. Perlukan sokongan rakan-rakan seperti ABC dulu.