Tuesday, January 10, 2012

Satu hari yang bingung

Semua ni bermula dalam dewan exam dan membawa ke petang.  Orang cakap stress hanya untuk orang yang tidak berusaha.  Mungkinlah saya orangnya.  Sewaktu mula nak menjawab soalan, tidak semena-mena rasa mengantuk datang. (alah...normal la tu) Sehingga ke akhir waktu menjawab saya masih menulis dan memerah idea (alah...normal la tu).  Sehingga diberi amaran dua kali saya masih menulis (alah...normal la tu).  Sehingga datang pegawai exam ke hadapan meja saya, saya masih menulis (alah...normal la tu).  Sehingga saya diberi pandangan yang tajam dari pegawai-pegawai exam baru saya bergerak meninggalkan dewan (masih normalkah?...normal la kot).  

Singgah di masjid, ternampak Muein.  Senior sains politik.  Pastinya K.Adau ada bersama.  Saya bergegas masuk ke dalam masjid. Masuk ke dalam masjid ternampak susuk tubuh yang sangat dikenali berada di saf solat.  Tanpa pedulikan orang sekeliling, saya memanggilnya dan terus menapak laju lantas memeluknya.  Sewaktu berada dalam pelukan tersebut, rasa sebak meruntun jiwa menyebabkan saya menangis di bahunya.  Baru saya sedar betapa saya rindu kepadanya.  Sudahlah baru lepas exam yang sangat tragis, jumpa pula senior, bagaikan telah berjanji untuk berjumpa.  Tergamam dia.  Saya memang tak suka jadi senior, sangat ,sangat tak suka.  K.Adaulah orang pertama yang saya jumpa dan membawa saya mengenal ISIUKM, GM dan memberi bantuan saya dari sudut bahan kuliah.  Saya masih perlukan dia.

Sewaktu keluar dari masjid, cuaca masih panas. Autumn in my heart.

Ok, habis cerita jiwa-jiwa.  Maaf andai ruang blog ni sudah jadi seperti diari pula.

***
Petang menjanjikan sesuatu yang berbeza.  Bawa Sakinah mencari pos laju, sesat barat sampai nyaris-nyaris masuk ke lebuh raya.  Sepanjang jalan ketawa dengan kerenah masing-masing.  Singgah belanja Sakinah MFC sempena hari lahir dia.  Sewaktu sampai di rumah, belum hilang lagi letih tawaf satu Bangi;

"Kinah, jom pi Danau?"
"Jom."

Selepas Asar, bergerak ke Danau.  Sewaktu berenang, kelihatan pelangi petang di langit.  Subhanallah...sudah lama tak lihat pelangi.  Awan mendung mula berarak datang dan menumpahkan titis-titis air.  Dari titisan yang halus, titisan hujan semakin kasar dan lebat sehingga terpaksa keluar dari kolam.  Berlindung sebentar di bawah pokok kelapa menanti hujan berhenti.  Third round, kemudian bersiap-siap hendak pulang sebelum hujan kembali lebat dan tanda-tanda berhenti tidak kelihatan.  Bergerak pulang dalam hujan yang lebat.    Titisan hujan menampar-nampar wajah sehingga sukar mengangkat kepala.  Tetapi, hati rasa bahagia.  Akhirnya, bumi Bangi basah juga.  Tersenyum dalam lencun hujan membasahi.

Sekarang cuaca sudah bertukar.  Hujan turun.

Seperti mana cuaca, begitu juga perasaan.  Paginya sedih, petangnya gembira.  Tak dapat diramal.  Saya pun bingung dengan apa yang saya rasa, tetapi Al-Quran ada jawapannya;

"Dan sesungguhnya Dialah(Allah) yang menjadikan orang tertawa dan menangis"
(Surah An-Najm: 43)


Saya ada terjumpa sebaris kata nasihat sewaktu menjenguk isi kandungan buku yang dibaca penumpang sebelah di dalam kereta api sewaktu dia tidak ada di tempat duduk.  

"Terimalah segala perasaan yang dirasa seadanya.  Tidak perlu mengelaskan perasaan tersebut sama ada selesa, tidak selesa atau neutral.  Accept it as it is."


Kalau kita sedih, "ok, saya sedih. Begini rasanya sedih." "Ok, sekarang saya sedang geram, begini rasanya.  Awak (geram) boleh pergi sekarang." Begini kita akan mampu menghadapi hari-hari yang mendatang dan bebas dari perasaan kecewa dan ingin membalas perbuatan orang jika tidak seperti apa yang diharapkan.  Motto tahun ini

~Feel the freedom~

~Sedang cuba

Monday, January 9, 2012

Perjuangan kemerdekaan tidak pernah selesai



Pejuang kemerdekaan tidak pernah setuju dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin UMNO terdahulu.  Ini bukan aspirasi negara yang dibawakan oleh pemimpin UMNO.  Ini aspirasi mereka.  Dahulu bukan puak-puak ini yang mahukan kemerdekaan.  Mereka sudah selesa dengan anak bini berada di bawah ketiak British.  Pejuang-pejuang itu yang merasa seksanya terpaksa bergantung kepada penjajah.  Apabila semboyan kemerdekaan dilaungkan, puak UMNO juga yang cakap;

“Tak payahlah merdeka, kitakan sudah selesa, apa yang British tak bagi? Semua ada…”

Mereka takut untuk berjuang terutama raja-raja.  Sunyi sepi.  Kena gertak diturunkan takhta, menikus sahaja dengan apa yang British katakan.  Apabila pejuang-pejuang ini bangkit melaungkan semboyan syahid buat pejuang kemerdekaan, puak-puak ni dah menggelabah.  Takut rosak hubungan dengan British.  Lantas diikuti desakan rakyat.   Mereka pun berbincang cara baik dengan British.  Diplomatik itu bagus tetapi kenapa puak yang tak mahu merdeka pada mulanya ini yang pergi berbincang?  Kenapa tidak dilibatkan kepala-kepala pejuang yang mencetuskan agenda memerdekakan negara?  Konon merekalah wakilnya kumpulan tersebut.  Jadi bagaimana mereka hendak mengetahui aspirasi rakyat kalau mereka tidak pernah tanya pun kepala-kepala rakyat yang sibuk berjuang untuk merdeka?

Selepas itu mereka ikut syarat British;

“Kalau nak merdeka, kena ada wakil dari setiap kaum di Tanah Melayu.”

Itu aspirasi British, bukan pejuang kemerdekaan waktu itu.  Kenapa perlu sibuk-sibuk mementingkan kaum lain sedangkan yang berjuang dan hendak merdeka waktu itu adalah penduduk Tanah Melayu.  Kaum lain tak masuk campur pun kecuali puak-puak atas yang berperut buncit dan berbaju kot tebal.  Mereka takut kepentingan mereka hilang kalau mereka tak masuk campur dalam agenda memerdekakan Tanah Melayu.

Sebab itulah perjuangan kemerdekaan tidak pernah selesai.  Orang yang memperjuangkan kemerdekaan itu tidak sama dengan orang yang menggubal perlembagaan.  Pejuang kemerdekaan itu orang lain, penggubal perlembagaan itu orang lain.  Jadi mana mungkin sama yang diinginkan dengan apa yang dipentingkan.

Sebab itulah apa yang diredhakan oleh pejuang kemerdekaan pada waktu itu, maka mereka kena redha dengan apa yang jadi kepada negara sekarang.  Kerana mereka redha dengan kemerdekaan yang diberikan tetapi tidak berpandukan kepada kemahuan mereka, maka mereka kena redha dengan apa yang jadi kepada negara sekarang.  Tapi mereka tak redha.  Mereka masih berjuang untuk tebus kembali kesilapan. 

Sebab itulah kita masih berjuang kini…masih dan terus….kerana itu perjuangan kemerdekaan itu tidak pernah selesai~

Sunday, January 8, 2012

Pencuri Masa

Sekarang cuaca panas.  Burung pun tahu.  Sebab itulah burung keluar awal pagi sekarang ni.  Pukul 5.50 pagi sudah bising.  Moga boleh berehat awal agaknya apabila hari semakin meninggi.  Saya baru sedar perkara tersebut awal pagi ini.

Sehari suntuk semalam bermula selepas subuh membawa ke jam 4.30 petang saya menjalani hukuman.  Hukuman kerana suka bertangguh. (mungkin bukan bertangguh, tetapi tidak bersungguh-sungguh).  Saya perlu menghabiskan esei konflik etnik di Kashmir separuh dari 25 mukasurat lagi untuk mencapai KPI pensyarah.  Apabila ada sahabat yang melintas meja study saya ,mereka menegur,

"Tak habis-habis lagi ke assignment, dari hari tu dok buat."

Esei sains politik tidak seperti esei biasa.  Politik itukan seni.  Ia memerlukan seni untuk membuatnya.  Esei sains politik bukan bersifat deskriptif.  Ia memerlukan analisa.  Walaupun  banyak rujukan, tetapi perlu ada pengolahan kerana esei perlu bersesuaian isu dengan teori yang digunakan.  Untuk menganalisa itulah yang memakan masa.  Menterjemah pula satu masalah bonus.

Berada di hadapan laptop selama 10 jam berterusan bukan satu perkara yang normal.  Bangun hanya untuk solat,makan, dan perkara yang mendesak sahaja.  Perkara lain tidak dipedulikan.  Walaupun bermeeting, otak masih kepada esei.  Walaupun ketawa, hati masih menangis esei tak habis-habis lagi.  Hari-hari mengadap bait-bait perkataan yang dijalin, dibackspace, kemudian taip lagi, delete lagi, dan berterusan sehingga tarikh 8.1.12.  Tempoh masa hanya pukul 12 tengah hari untuk menghantar esei.  Tapi saya pasrah, pukul 4.30 petang baru selesai.  Itupun hanya mencapai 19 mukasurat.  Saya tidak berjaya mencapai KPI yang ditetapkan.  Otak sudah tidak mampu menggarap lagi akibat tekanan masa.  Akhirnya dengan 19 mukasurat saya ke kedai untuk diprintkan.  Saya optimis kerana semester lepas pun saya tak pernah berjaya mencapai 25 mukasurat tetapi mendapat A-.  Inilah namanya tidak mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku...dan mungkin inilah juga yang akan menjadi liabiliti untuk peluang mendapat A dan akan disesali.  Nauzubillah...

Walau bagaimanapun, sewaktu salinan hardcopy esei masih panas di tangan, otak sudah mula terasa lapang.  Dunia bagai bercahaya kembali.  Dalam perjalanan menuju ke kampus, baru perasan jalan raya baru diturap, daun-daun pokok sudah kekeringan akibat cuaca yang panas dan gugur memenuhi jalan.  Seperti musim luruh sedang tiba.  Bunga-bunga kertas kembang mekar menghiasi tepi-tepi jalan.  Terbang segala kesakitan akibat terlalu lama berada dalam postur yang sama selama 10 jam dan memerah otak.  Subhanallah~indah sungguh lukisan alam.  

Itulah nikmat yang dirasai setelah menjalani hukuman kerana suka sangat mencuri masa dan bertangguh.  

~sama-sama menanti keputusan perbicaraan Anwar Ibrahim hari ini
~Bagaimana pula isu Adam Adli?
~Apa respon Hasan Ali?
~Sesungguhnya dunia politik ialah dunia saya...tak boleh berhenti dari memikirkannya~

Mencari kembali buku-buku yang dipinjamkan kepada orang...

Thursday, January 5, 2012

Nilai Ilmu


Apabila menjelajah ke blog-blog sahabat gerakan, ada satu perasaan singgah di hati.  Rata-rata penulisan mereka berkisar tentang kehidupan selaku ahli gerakan, seruan-seruan dakwah memenuhi ruang blog, usrah dan ilmu-ilmu haraki padat diperkatakan.  Sangat mantap.  Saya rasa rendah diri sebab saya bukan begitu.  Walaupun dilahirkan dalam keluarga ahli gerakan yang tegar, ilmu mengenai gerakan sangat sedikit dalam jiwa.  Blog saya hanya biasa-biasa.  Tidak ada seruan jihad, ayat-ayat Al-quran, permasalahan umat atau motivasi untuk ahli gerakan.

Rata-rata isi blog saya masih memusatkan perhatian kepada diri sendiri dan pengalaman peribadi. Kalau adapun ilmu-ilmu, itu masih dalam skop ilmu yang saya pelajari. Bersyukur sebab saya belajar ilmu politik.  Terlintas di hati, ‘kecilnya jiwa saya’.  Eksterimisme saya terhadap pembaikan diri melalui ilmu (baca akademik) menjadikan saya memandang sebelum berani mengajak orang untuk sama-sama berjuang dan membaiki umat, kita perlu sama-sama berusaha memperbaiki diri sendiri.  Salah satu bukti pembaikan adalah dengan menguasai ilmu yang dipelajari kerana kuasa ilmu sangat besar.

Padangan saya, dalam dunia materialistik sekarang, tidak ada sahabat yang kekal dan tidak ada musuh yang kekal, yang kekal ialah kepentingan.  Kepentingan yang dikejar oleh mad’u sekeliling saya sekarang ini adalah kecemerlangan akademik dan ilmu.  Sebab itulah, manusia berilmu ialah manusia yang berpengaruh.  Pengaruhnya amatlah besar dalam membentuk pemikiran manusia sekeliling hatta orang yang tak sefikrah dengannya.  Saya teringin menjadi sebegitu.  Walau bagaimana berbeza kita dengan mad’u, disebabkan ilmu mereka tidak akan takut untuk mendekati kita.  Mereka akan meletakkan ego di sebelah dan rela menjadi pak angguk kepada apa yang kita perkatakan hanya kerana kita berilmu.  Bukanlah dengan ilmu itu untuk membangga-bangga diri, tetapi dengan ilmu itu  nama Allah akan sampai di tempat yang tinggi.  Dengan ilmu itu, kita boleh memecahkan tembok antara kita dan mereka dan memasuki kelompok untapped market.  Tapi saya berseorangan sahaja tidak mampu, jika semua ahli gerakan pun begitu, bayangkan besarnya ruang lingkup pengaruh kita.

Apabila kita berilmu dan menguasainya, orang sekeliling tidak akan merendah-rendah dan memandang kita sebelah mata.  Tidak ada manusia yang suka dirinya diperlekehkan dan direndahkan.  Setiap butir kata kita diterima dan dihadam sebelum dinilai.  Hakikat yang perlu kita terima, mad’u menilai kita dari aspek pencapaian lahiriah.  Walau bagaimana hebat kita berpencak di medan jemaah, apabila kita pulang bersama kelompok mad’u yang kebanyakan kita jumpa di kelas dan fakulti, adakah kita mahu kelihatan layu dan tidak bermaya.  Bukankah sosok tubuh muslim itu harus kukuh dalam kalangan jemaah dan juga dalam kalangan masyarakat?  Bukankah kita agen Islamisasi?  Kenapa apabila berada dalam kalangan sasaran, seperti kita tidak pernah ditarbiyah?

Situasi yang sama, penerimaan berbeza.  Seorang ahli gerakan yang sibuk tetapi mampu menguasai ilmu yang dipelajari dengan baik berbeza dengan seorang ahli gerakan yang sibuk dan hilang fokus kepada study (tak faham-faham).  Situasi pertama, orang dapat menerima kesibukan dan bertambah hormat kepada kita, lebih baik ada yang sanggup mengupdate kita dengan maklumat-maklumat yang perlu diketahui.  Situasi kedua, orang hanya memandang sinis dan kemungkinan disindir secara terbuka dan lebih parah tidak mahu membantu memahamkan kita dan membiarkan kita terkontang-kanting plus tak nak segroup dengan kita waktu buat assignmnet kumpulan.  Dua situasi di atas sahaja sudah mampu untuk menilai penerimaan mereka jika kita mengajak mereka kepada kebenaran.

Kita tak perlu cakap, mereka akan ikut sebab action speaks louder than words sangat kuat pengaruh.  Pengalaman peribadi, pernah suatu ketika disebabkan terlalu sibuk dengan meeting pada tengah malam, saya keletihan sewaktu kuliah dan kadang-kadang tidur sebelum kelas bermula.  Perubahan tersebut sangat cepat dikesan oleh rakan sekuliah sehingga ada yang menunjukkan kerisauan.

“Ayu tak sihat ke sekarang ni? Saya nampak awak kadang-kadang tidur dalam kelas.  Kalau tak sihat ambillah ubat.”

Merah padam muka saya waktu tu sebab malu tetapi dalam masa yang sama terharu.  Kehadiran kita, perubahan kita, perkataan dan perbuatan kita sentiasa diperhatikan sebenarnya.  Penerimaan akan menjadi berbeza jika kita sememangnya seorang yang malas.
“Ko ni selalu aku tengok tidur dalam kelas, itulah sibuk lagi dengan ISI dan kuku.”

Mereka sedaya upaya mencari salah kita dan gerakan yang kita ikuti kerana disandarkan kepada prestasi diri kita.  Saya melihat, tugas untuk mencari dan mendekati mad’u adalah sukar berbanding jika mereka yang mencari kita.  Kerana itu perlunya kita memiliki kepentingan yang mereka cari dan dalam keadaan kita selaku mahasiswa, penguasaan ilmu dalam kelas.  Ada yang sanggup nak memfotostat nota kuliah yang kita conteng-conteng dalam kelas (entah faham entah tak), berebut-rebut nak kumpulan dengan kita tanpa perlu kita buka mulut pun untuk mencari, remind kita jika ada program, rakan yang tak pernah tegur kita dalam kelas tetapi selalu tanya soalan dan pandangan tentang assignment dalam sms sahaja.  Ini semua peluang-peluang yang tak perlu kita cari tetapi hanya cukup dengan berusaha memperbaiki diri.  Secara automatik sampai satu tahap mereka akan menyokong apa yang kita sokong dan mengundi apa yang kita undi.  Muslim yang cemerlang itu memberi manfaat kepada orang sekelilingnya.

Ini hanya peringkat kecil dalam kehidupan.  Bayangkan kalau gerakan dapat melahirkan ilmuwan-ilmuwan dalam masyarakat.  Itu merupakan satu agen mencuci pemikiran masyarakat yang sangat besar pengaruhnya.  Bukan ilmuwan-ilmuwan yang sekadar mengenyangkan perut diri sendiri dan berada di universiti (profesor kangkung-tapi kangkung ramai orang suka (-_-)”).

Biarlah tidak dipandang tinggi sesama ahli gerakan tetapi menjadi inspirasi mad’u dalam medan dakwah kita. Al-islamu ya’lu wala yu’la ‘alaih~

Tuesday, January 3, 2012

Taat Setia kepada Parti?

Apabila kita telah mengikat taat setia kepada sesuatu parti atau jemaah, maka secara tidak langsung tingkah laku kita akan dipengaruhi oleh parti tersebut.  Setiap tutur kata, komentar dan keputusan yang dibuat adalah terikat dengan parti.  Kita dikatakan telah mengidentifikasikan diri dengan parti atau mengikat jiwa dan emosi kita kepada parti.  Kalau dalam pilihan raya, kita akan mengundi parti yang sama walau apa pun isu yang timbul.  Isu tersebut akan dilihat dari sudut pandang parti dan bukan orang kebanyakan.  Untuk menjelaskan mengenai tingkah laku pengundian ini, Teori Identifikasi Parti yang dibawakan oleh Campell dan rakan-rakan pada tahun 1950-an diaplikasikan.  Bagi Franklin Jackson, beliau melihat mereka yang mengidentifikasikan diri dengan parti akan mengambil tahu mengenai parti, isu-isu dalaman serta personaliti calon yang ada dalam parti.  Faktor identifikasi boleh terjadi disebabkan umur dan tahap kedewasaan.  Itu bezanya kita dengan mereka yang berjanji taat setia dengan parti dan mereka yang hanya melihat dari luar.  

Walau bagaimanapun, situasi yang berlaku di Amerika Syarikat, hanya satu pertiga dari penduduk Amerika mengaku mereka adalah dari parti Republikan atau Demokrat.  Lagi dua pertiga penduduk tidak melihat diri mereka dari mana-mana parti.  Hal ini menunjukkan berlakunya krisis taat setia dan kepatuhan kepada parti.  Keadaan tersebut akan berlaku di Malaysia suatu masa nanti.  In fact, its already happened.  Bagi Parti BN atau khususnya UMNO, krisis kesetiaan semakin parah.  Ada yang melompat parti, keluar parti dan menubuhkan parti lain.  Selain itu rata-rata pengundi terutamanya anak muda tidak mahu mengaku mereka berpihak kepada mana-mana parti dan bersifat non-partisan.  Mereka hanya memperjuangkan idealisme mahasiswa.  Mereka akan mengundi parti yang akan memberi lebih banyak faedah kepada mereka.  Thus, how to explain this kind of behaviour?  

Tingkah laku pengundian di atas tidak boleh lagi menggunakan Teori Identifikasi Parti kerana pengundi tidak lagi melihat diri mereka terikat dengan mana-mana parti dan keputusan mereka tidak dipengaruhi oleh parti.  Oleh itu, Anthony Downs menggunakan pendekatan Teori Pilihan Rasional untuk menerangkan tingkah laku ini.  Pengundi akan membuat pilihan politik seperti mana membuat pilihan ekonomi iaitu pembeli akan mementingkan kos daripada kualiti barangan yang dibeli.  Di sini, faktor isu memainkan peranan utama dalam mempengaruhi tingkah laku pengundi.  Pengundi akan mengundi parti yang mampu memenuhi kehendak pengundi.  Teori ini turut menjelaskan pengundi akan mengundi berdasarkan prestasi calon, isu-isu semasa dan imej calon.  Bagi Catt (1995), pengundi akan mengundi berdasarkan fakta dan bukan emosi. 

Jadi adakah dengan mengatakan jika kita mengikat diri dan berjanji taat setia kepada parti menunjukkan kita mengundi berdasarkan emosi dan butakan mata dan pekakkan telinga kepada fakta?  Walau apa pun isu yang berlaku, kita tetap mengundi parti yang sama setiap kali pilihan raya atau dengan kata lain penyokong tegar.  Tetapi kalau melihat undi berdasarkan fakta pula atau pilihan rasional, bagaimana kalau fakta tersebut dimanipulasi oleh parti yang dominan?  Selain itu, jika tahap pendidikan, ilmu dan pengetahuan pengundi rendah, maka kesedaran tahap politik turut akan menjadi rendah menyebabkan mereka boleh jadi tersilap mengundi?  Seperti mana pilihan ekonomi, boleh jadi pembeli membeli barang yang kosnya paling murah di sesuatu kedai, tanpa mengetahui barang tersebut lebih murah di satu kedai lain di sudut dunia?

Secara peribadinya, saya melihat perlunya pengundi atau rakyat mengidentifikasi diri dengan parti dan bukannya bersifat atas pagar.  Apabila kita mengundi berdasarkan isu, isu seperti yang kita tahu boleh berubah sekelip mata dan boleh dimanipulasi oleh media.  Memang mengundi berdasarkan fakta nampak seperti satu pilihan bijak dan tidak bersifat emosional, tetapi bagaimana kalau fakta tersebut disembunyikan dan akses kita kepada fakta hanya melalui TV hitam putih dan surat khabar hitam putih serta kedai kopi yang kopinya juga hitam putih?  Namun apabila kita mempunyai parti, kita akan tahu mengenai matlamat perjuangan parti, mengikuti penjelasan oleh parti dan mengetahui personaliti calon-calon parti.  Senang cakap, kambing apabila bersendirian boleh menjadi mangsa serigala berbulu kambing.

Soulmate

Coklat Ferrero Rocher.  Alunan instrumental Kenny G.  Pemandangan malam di luar diterangi oleh samar-samar limpahan cahaya dari lampu jalan.  Suasana apakah yang lebih baik dari ini untuk mencipta mood bagi mengulangkaji pelajaran? 

Namun, baca sebaris tajuk, fikiran dibawa ke tempat lain.  Baca lagi sebaris ayat, ada pula yang bertanya:

"Ayu, pernah tak jumpa lelaki yang suka tengok kasut perempuan?"
"Setakat ni tak pernah. Kenapa?"
"Lelaki tu dipanggil psikoseksual.  Tapi kalau dia tengok kasut perempuan sebab nak beli kasut dekat isteri dia macam mana pula?"

Sudah diajak berfikir ke isu lain pula sedangkan saya cuba fokus isu hubungan antarabangsa.  Melihat kepada tajuk Theoritical Soul Searching After the Rejection of the Constitution Treaty, teringat isu soulmate yang pernah dibangkitkan dan sudah lama ingin saya kongsi.

Oleh itu, bagi menghilangkan segala yang membengkak di benak, saya kongsi sedikit mengenai seorang pak cik yang dijumpai sewaktu Bulan Mesra Pelajar.  Dia seorang jurutera dan sedang menemani anak lelakinya yang baru mendaftar di UKM di Kolej Tun Hussein Onn. Saya hanya menjadi pendengar sementara MPP Azidah yang lebih banyak bertanya.

Isu yang dibangkitkan adalah mengenai soulmate.  Dengan penuh semangat sambil peluh mencurah-mencurah di dahi, dan gaya berdiri sambil meletakkan kaki sebelah ke atas kerusi, saya sedang cuba menafsirkan sama ada dia sedang berlagak macho di hadapan dua orang perempuan atau memang gayanya bercerita seperti itu.  Bak kata iklan Dunhill, style, quality, excellent.  Penuh dengan elemen-elemen maskuliniti yang kuat.

Daripada isi perbualannya yang berkisar mengenai zaman dia bercinta dengan entah berapa orang perempuan sebelum menemui isterinya, saya terfikir sambil cuba memproses ceritanya, apakah yang membuatnya percaya untuk menceritakan perkara peribadi sebegini kepada orang asing?  Atau dia tak pernah menganggap perkara tersebut sebagai peribadi tetapi lebih kepada pencapaian tertinggi seorang lelaki.  Berpengalaman bercinta dengan pelbagai jenis wanita.  Ringkasnya, dia nak buktikan bahawa dia dulu seorang yang digilai wanita dan sekali petik, sepuluh yang datang tau.  Tetapi saya tak lontarkan perkara sebegini kepada Azidah, sengaja disimpan.

Mengenai soulmate, menurut pemahaman pak cik ni, soulmate ialah orang yang kita boleh ceritakan apa sahaja perkara kepadanya.  Soulmate itu tak semestinya adalah sesama pasangan yang berkahwin.  Boleh jadi orang lain.  Bagi dia, bekas kekasihnya yang kedua merupakan soulmatenya.  Apabila bersama mereka boleh bercerita pelbagai perkara.  Kiranya tidak akan pernah habis.  Modal bercerita sentiasa ada.  Contoh, menurut pak cik tu, kalau di hadapan mereka ada seekor semut sedang menjunjung makanan.  Mereka boleh bercerita tentang semut tu sahaja sampai dua hari dua malam tak akan habis.  Biar betul...kata saya dalam hati.  Tiba-tiba terpacul soalan dari mulut saya;

"Macam mana dengan isteri pak cik?"

Dia terdiam sebentar.  Kemudian, dengan mudahnya dia memberitahu dia tak merasakan sedemikian dengan isterinya.  Mereka lebih banyak berdiam dan tidak ada modal untuk berbicara.  Bercakap hanya mengenai perkara yang penting-penting sahaja.  How could he make that kind of remarks towards his own wife?  Dia menyatakan dia tak dapat bercerita tentang semut kepada isterinya seperti mana dia bercerita kepada bekas kekasih no-2.  Apa guna pengalaman bercinta kalau digunakan untuk membandingkan isteri sendiri dengan orang asing?

Saya tak berpuas hati dengan tafsiran soulmate yang diberikan.  Hakikatnya, saya tak tahu pun.  Saya cuba merujuk beberapa kamus.  Dalam Kamus Dwibahasa Edisi Kedua keluaran DBP, tidak ada istilah soulmate.  Saya buka pula Kamus Pembaca terbitan Fajar Bakti.  Tidak ada juga.  Saya google definisi soulmate.  Tidak ada definisi melalui sumber yang kukuh.  Akhirnya, saya buka Oxford Advanced Learners's Dictionary.  ADA.

soulmate>>>a person that you have a special friendship with because you understand each other's feelings and interests.

Hmm...kalau melihat kepada tafsiran ini, memang tak dapat dinafikan apa yang dirasakan oleh pak cik ini dan label yang diberikan kepada bekas kekasihnya itu betul.  Tapi dengan cara membandingkan dengan isterinya dilihat tidak patut oleh seorang suami.  Adakah itu yang dicari dalam kehidupan?  Adakah cukup sekadar kriteria tersebut?

Untuk mudah fikir, saya anggap pak cik ini seorang yang merindui zaman muda dan ketidakterikatan kepada tanggungjawab sebagai ketua keluarga.  BEBAS.  Sebab itulah dia suka bersembang dengan budak-budak muda di tempat kerjanya dan memberikan tips-tips menarik untuk pasangan yang nak bercinta.  Aduhai, satu pengaruh yang tidak baik. 

Tapi biasalah, untuk mendapat sesuatu perlu berkorban sesuatu.  Jadi, itulah moral of the story.  Kiranya, soulmate ini hanya timbul dalam jiwa insan yang kekurangan keyakinan diri dalam mencapai sesuatu sehingga mereka mengharapkan ada seseorang yang sanggup menopup kekurangan  tersebut dan mengerti bagi pihak mereka.  Oleh itu, ia bukanlah sesuatu yang penting dan menjadi kriteria utama dalam pembinaan hubungan suami isteri.

Secara peribadinya, saya melihat soulmate adalan pasangan yang memiliki matlamat dan tujuan yang sama iaitu menuju redha Allah.  Apabila dikaitkan dengan jiwa, maka perlunya kembali kepada matlamat perjalanan rohani tersebut yang pengakhirannya adalah ilallah...

"Wahai jiwa yang tenang . Kembalilah kepada Tuhanmu dengan rasa puas, dengan segala nikmat yang diberikan, lagi diredhaiNya. Masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu. Masuklah ke syurgaKu."

To cut it short, untuk dapat menjawab soalan peperiksaan lusa, awak perlu mengganti kembali masa yang awak buang ini dengan mengorbankan masa tidur.

Sunday, January 1, 2012

Tahun Baru tanpa Diari

Pertama kali saya memasuki Tahun Baru tanpa Diari 2012 di sisi.  Sebelum-sebelum ini, pasti sudah tersedia Diari Lama dan Diari Baru bagi memperbaharui perancangan.  Tak sempat nak beli sebab tak tahu nak pilih yang mana satu waktu pergi window-shopping di kedai.  Walaupun sedikit terkilan, tetapi masih tak mencacatkan persembahan Tahun Baru.  Cuma terasa kosong kerana tidak ada kertas kosong untuk dicoret-coret waktu memasuki Tahun Baru.  Cuma sempat mencoretkan resolusi Tahun Baru dan muhasabah tahun 2011.  Mungkin selepas exam baru akan beli.  InsyaAllah.

Kalau sesetengah orang berpendapat resolusi Tahun Baru hanya sekadar retorik, pada pandangan saya, ia terpulang kepada individu.  Ia hanya menjadi retorik jika sekadar hangat-hangat tahi ayam.  Tapi ia akan jadi satu reminder atau booster yang sangat bagus jika kita berusaha merealisasikannya.  Setakat ini, perancangan yang saya buat, alhamdulillah berjaya saya realisasikan.  Cuma sejauh mana mencapai KPI yang diletakkan, mungkin perlukan penilaian kembali.  Dan itulah yang akan diusahakan untuk tahun 2012.

Disebabkan tidak ada Diari 2012, waktu-waktu di dalam gerabak kereta api hanya diisi dengan menyelak buku rujukan untuk peperiksaan.  Kadang bangun, kadang tidur.  Menyelak kembali Diari 2011, ada beberapa perkara yang perlu diambil serius tahun ini.  Serius.  Mesti terdetik dalam hati sesetengah orang, "Sejak bila dia tak pernah serius, serius memanjang."  Bagi saya, sekarang fasa-fasa kritikal dalam kehidupan seorang insan.  Ada pelbagai persimpangan yang perlu dipilih agar tidak tersilap mencorak kehidupan.  Bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi untuk insan sekeliling.  Bukan sekarang untuk menarik nafas lega dan berpuas hati dengan kehidupan yang ada.  Saya rasa saya masih tidak berusaha, saya rasa saya masih main-main dan saya rasa saya masih lalai.  Buktinya, banyak amanah yang tak terlaksana dengan baik.  Amanah Allah, amanah keluarga, amanah untuk diri sendiri.  Saya rasa saya sudah tua sebelum waktunya.

Mungkin saya insan yang go by book.  Semua nak tulis, semua nak catat, semua nak rujuk.  Kalau tidak ada dalam buku, saya mudah panik.  Hanya Allah yang Maha Menolong.  Mungkin catatan saya menjadi pedoman buat pembaca.  Janganlah jadi macam saya, anda semua adalah yang terbaik dan boleh menjadi yang terbaik.  Tolong doakan saya (^_^)