Wednesday, December 12, 2012

Ahli-ahli syurga


Walau marah macam mana pun kita kepada mereka, mereka tetap berbuat baik kepada kita. Mereka tidak pandai membenci lagi. Walaupun sebentar tadi kita membuat mereka menangis, sekejap cuma mereka akan datang kembali kepada kita untuk mengadu macam-macam. Keinginan kepada perhatian itu lebih utama berbanding perkara lain.

Walaupun saya selalu garang-garang semasa program, waktu rehat mereka akan datang mendekati untuk bercerita. Ada yang sampai meletakkan kepala ke ribaan saya, saya kekok untuk membelai kerana khuatir menyebabkan ahli-ahli syurga yang lain cemburu. Sedangkan mereka mungkin tidak merasa sedemikian.

Walaupun semasa berada dalam surau ada seorang dua yang kena libasan rotan saya kerana bersembang dan saf tidak teratur, selepas selesai solat tetap mereka datang untuk bersalam dengan saya kerana mengharapkan ciuman ke pipi mereka. Saya tidak memaksa atau menjadikan peraturan untuk bersalam dengan saya seusai solat. Namun, setelah saya menyalam seorang dua di sebelah dan memberi ciuman, masing-masing berlumba untuk mendapat peluang yang sama. Macam satu perkara yang dinanti seusai solat. Mencari-cari kelibat saya kalau saya tidak ada di saf hadapan. Dahagakan perhatian...

Kanak-kanak memang cepat belajar melalui perbuatan. Apabila dilihat rakan-rakan mereka datang bersalam dan cium pipi dengan saya, esoknya semua akan mengambil peluang yang sama. Satu lagi, saya sudah biasa solat dengan berbaju kurung. Beberapa hari kemudian, muncullah golongan yang tak nak memakai telekung dan nak bersolat dengan pakaian sedia ada. Masalahnya tudung mereka pendek dan kadang-kadang stokin tak bersih. Apabila ditanya kenapa tak nak pakai telekung, mereka jawab ‘ustazah pun solat tak pakai telekung.’ Hmm… tak ada masalah pun bagi saya kerana Islam itu mudah. Cuma, kadang-kadang pakaian kurang sempurna yang buat saya paksa juga untuk pakai telekung.

Kadang-kadang saya tidak perlu menjawab atau berhujah dengan mereka, ada sahaja kelompok yang nak menyokong dan membela saya. Antara perbualan yang menyebabkan saya geli hati

Dialog 1:

Saya: Baik-baik nanti air tu tumpah…ish, air tu…

Auni: Cikgu ni air, air… air la…

(saya rasa saya dah sebut bahasa baku~kanak-kanak memang cepat bezakan pelat yang berlainan dari negeri asalnya)

Nabihah: Apelah… betullah tu…cikgu kan asal Kelantan…

Saya     : Pandailah kamu ni, sejak bila ustazah bagitahu ustazah asal Kelantan~ (sambil ketawa tak berhenti)

Dialog 2:

Diyana: Cikgu ada anak tak?

Saya    : Manalah ada anak…kahwin pun belum lagi.

Diyana: Kenapa tak kahwin?

Auni    : Buat apa nak kahwin…kahwin tu tak pentinglah.

Umairah : Pentinglah..Allah yang suruh. Rasulullah suka orang yang kahwin.

(saya hanya ketawa melihat mereka berhujah)

Haish kecik-kecik dah pandai. Ada pula yang depan-depan mata saya melihat lelaki dan perempuan bermain mata sambil tersengih-sengih macam kambing. Geram saya dan cepat-cepat menghalau pelajar lelaki ke kelas. Yang perempuan pun sama juga menjeling-jeling. Ini yang pantang ni…

Saya cuba untuk mengajar mereka supaya berhati-hati dengan golongan lelaki. Kasihan mereka sebab masih naif tetapi sudah mengalami peristiwa yang bukan-bukan. Datang pula dari orang lelaki dewasa yang merupakan ahli keluarga sendiri.

Pengalaman masa kecil berhadapan dengan lelaki-lelaki yang miang ni menjadi pengajaran kepada ahli-ahli syurga. Seingat saya, jenuh mak saya nak menjaga. Apabila diketahui pemandu van yang membawa saya ke PASTI meminta saya mencium pipinya baru saya boleh turun, mak saya mengamuk. Mak minta tok wan atau tok su hantarkan. Mak jadi paranoid. Saya dididik untuk pandai mempertahankan diri dari diambil kesempatan. Jangan bercakap dengan orang asing, jangan buka pintu kalau mak tak ada , jangan terima apa-apa dari orang tak dikenali. Over and over again.

Sehingga pernah saya utus surat layang mengecam guru sandaran yang gatal kerana memegang tangan saya. Saya pun tak terfikir seorang pelajar darjah 4 boleh berbuat demikian. Kawan-kawan saya ada yang mengatakan saya kejam kerana guru tersebut menangis selepas baca surat satu muka penuh tersebut. Betullah, mata pena itu lebih tajam dari mata pedang. Kawan-kawan yang baik dengan cikgu tu memaksa saya meminta maaf dan kata cikgu tu nak jumpa dengan saya. Tapi sampai ke sudah saya melarikan diri. Geram betul, biar dia ingat sampai tua. Mind set saya, dalam diri semua orang lelaki mesti ada the dark side atau Mr.Hyde apabila berhadapan dengan orang perempuan. Cuma sejauh mana dia pandai mengawal yang membezakan mereka. Dari mata pun dah dapat baca apa dalam otak mereka… Letak sebelah pula kes-kes nak mengambil jadi adik angkat, abang angkat. Walaupun saya tak ada abang, saya tak terdesak lagi ok nak panggil orang lain abang.

Haa..dah termelalut pula. Kalau isu ni, sahabat-sahabat saya cakap jangan bincang dengan saya, sebab saya mesti ada hujah/teori yang memihak kepada saya. Baiklah. End of story. Bukan mudah nak pastikan ahli-ahli syurga ini kekal sebagai ahli syurga jika tidak dididik dengan acuan Islam yang sebenar. Besar tanggungjawab ibu bapa sebenarnya. Bahkan sudah terlewat kalau baru sekarang nak fikir bagaimana untuk mencorak anak-anak nanti dan bagi memastikan dia kekal sebagai ahli syurga. Bukti di hadapan mata saya membuatkan saya sentiasa merasa pentingnya peranan ibubapa sebagai guru pertama anak-anak.

Sentiasa saya membandingkan perhatian mak saya terhadap kami yang sangat besar berbanding ibu-ibu kanak-kanak ini yang sibuk bekerja sehingga kanak-kanak ini tidak pandai mengaji, solat, dan berakhlak mulia walaupun sudah berumur 7 tahun. Kasihan mereka…

Thursday, December 6, 2012

Kalau bukan kerana Allah s.w.t suruh


Dalam satu halaqah bersama ahli-ahli syurga pagi tadi, sambil Ustazah L membuat tutorial mengambil wuduk, beliau menyentuh mengenai pemakaian purdah. Terdapat dua orang ustazah termasuk yang saya ceritakan baru-baru ini dengan beliau yang memakai purdah.

“Baru-baru ini ada dua orang pelajar yang beritahu ustazah ibu mereka nak memakai purdah. Sebabnya ibu mereka nampak ustazah pakai purdah cantik. Alhamdulillah.. Ustazah pun pakai purdah ni atas kerelaan sendiri. Suami tak paksa pun.”

Tiba satu ayat…

“Ustazah Hidayu pun nanti dia akan pakai. Dia tak pakai sekarang sebab dia muda lagi…” Sambil beliau tersengih memandang saya. Saya kaget.

Semua ahli syurga mengalihkan perhatian kepada saya. Saya hanya tersenyum. Teringat kembali dialog dengan sahabat semasa masih di alam kampus.

“Ayu, ko tak nak pakai purdah ke?” Tiba-tiba sahabat mengajukan pertanyaan.

“Tak nak.” Laju perkataan tersebut meluncur dari mulut. Kaget sahabat saya dengan jawapan spontan tersebut.

“Sebab?” Dia menagih jawapan sambil melihat saya.

“Panas.” Saya rasa dia kurang berpuas hati dengan jawapan tersebut. 

"Habis tu, ko pakai tudung ni tak panas?"

Lantas saya menyambung,

“ Saya pakai tudung ni pun sebab Allah s.w.t suruh, kalau Allah s.w.t tak suruh, saya tak nak pakai. Jadi, Allah s.w.t tak suruh pun tutup muka, jadi tak perlu.”

Logik sahabat saya cakap jawapan tersebut.

Kalau bukan kerana Allah s.w.t suruh....

-saya mungkin tak solat
-saya mungkin tak puasa
-saya mungkin tak kahwin
-saya mungkin tak taat kepada kedua ibu bapa
-dan bla..bla..bla..

***

Dan pendirian saya masih sama seperti dulu. Tak pasti apakah yang menyebabkan Ustazah L merasa saya akan mengikut jejaknya. Mungkin doa beliau. Namun, apa yang lebih penting, saya harap saya mampu ikhlas melakukan kebaikan apa pun kerana Allah s.w.t semata. Takut hanya sekadar menurut kehendak manusia dan ikutan semata-mata...

Friday, November 30, 2012

1.12.12


Hanya tinggal kurang dari  sebulan sebelum kita melangkah ke tahun baru Masihi 2013.  Menyelak kembali lembaran diari tahun-tahun lepas, saya muhasabah sebentar mengenai perjalanan hidup selama 3 tahun di bumi UKM.  Bermula dari Diari 2009 yang sudah berdebu di dalam laci sehinggalah kepada Diari 2011, saya meneliti kembali urusan hidup yang telah saya lalui.

Kalau malaikat, mungkinlah di dalam diarinya akan tertulis siang dan malam- bertasbih, bertahmid, bertakbir dan beribadat selama 3 tahun tanpa tercicir dan sentiasa konsisten.  Tapi saya hanya sekadar manusia, bab-bab kehidupan saya menyaksikan turun naik iman seiring masa yang diberikan oleh Allah.

Ada bab-bab kehidupan yang saya rasa menyesal ianya berlaku dalam hidup sehingga menyebabkan saya menyunting dan mengoyak bahagian lembaran diari tersebut.  Sesuatu yang tidak bermakna untuk dilakukan.  Konon tidak betah jika anak cucu membacanya.  Sedangkan perkara tersebut telah berlaku dan walau saya mengoyak lembaran tersebut, lembaran kitab amalan saya yang lebih terperinci ditulis oleh malaikat dan diangkat saban tahun ke langit tetap tidak terjejas.  Malah dakwat telah mengering dan tidak ada apa yang boleh dilakukan. 

Kadang-kadang, ada karakter-karakter dalam bab-bab kehidupan saya yang ingin saya padam.  Tidak seharusnya karakter tersebut wujud kerana ia mencacatkan diari saya.  Memadam jejak-jejak mereka.  Ada pula karakter yang ingin saya bawanya dalam setiap bab kehidupan sehingga bertemu Illahi.  Tetapi saya bukan penulis cerita, jadi saya tidak tahu baik buruk sesuatu karakter.  Saya hanya salah satu karakter yang diberi pilihan mencorakkan hidupnya.  Namun, untuk menentukan karakter mana yang perlu dan tidak perlu ada dalam setiab bab kehidupan bukanlah dalam bidang kuasa saya.

Frodo: Its pity Bilbo didn’t kill him (Gollum) when he had the chance

Gandalf: Pity?  It is pity that stay in Bilbo’s heart.  Many that lives deserve death and      some died deserve lifes, can you give it to them, Frodo?  Do not be too eager to deal on death and judgement.  Even the very wise cannot see all ends, my heart tells me that Gollum has some part to play and for good or evil before this is over.  The pity of Bilbo may rule the faith of men.

Dan dalam cerita LOTR, watak Gollum yang jahat tersebut telah menjadi penyelamat pada saat-saat akhir apabila hati Frodo telah dikorup oleh cincin tersebut.  Kerana kejahatannya, dia telah menyelamatkan seluruh manusia.  Satu karakter yang diharapkan mati oleh Frodo pada awal pengembaraan, namun sebenarnya ia berperanan sangat besar di hujung pengembaraan seperti mana nasihat Gandalf.  Kita tidak boleh menghakimi seseorang, sesuatu yang sering kita lakukan.
Seperti mana kisah Nabi Khidir a.s. dengan Nabi Musa a.s. dalam Al-Quran dalam Surah Al-Kahfi.  Seperti mana Nabi Musa a.s., kita pun akan mempersoalkan tindakan Nabi Khidir a.s.  Ini tak patut, itu tak patut, kenapa? Kenapa? Kenapa?

Apabila kita mula menyalahkan takdir dengan berkata kalaulah aku tidak begitu, tidak begini…

Gandalf: So do all who lives to see such times (cubaan berupa kesenangan atau kesusahan), but its not for them to decide. All we have to decide is what to do with the time that has been given to us.

Karakter yang Allah hadirkan dalam bab-bab kehidupan kita memiliki peranan tersendiri.  Tidak kiralah sama ada ianya datang dalam bentuk kebaikan atau kejahatan.  Tidak ada istilah kebetulan dalam kehidupan melainkan semuanya berada dalam pengetahuan Allah S.W.T. dan memiliki pengajaran bagi mereka yang berfikir.

Dengan melihat kembali lembaran-lembaran diari tersebut, sedikit sebanyak ia memberi pengajaran besar kepada kita dan peringatan untuk mencorakkan kehidupan yang lebih baik pada hari-hari mendatang.  Terutamanya kepada saya yang sering alpa.  May Allah blesses us with the right person to guide us close to Him in every chapters in our lives…

Sunday, November 25, 2012

Suami saya cakap...

Berada di sekeliling wanita dewasa mendekatkan saya dan sahabat dengan kebiasaan wanita. Antara kebiasaan yang terlalu ketara ialah seorang wanita akan sentiasa menyebut-nyebut mengenai suaminya. Ayat yang paling popular ialah;

"Suami saya cakap/ pak aji cakap/ ustaz cakap/ dan pelbagai lagi istilah yang merujuk kepada suaminya..."

Mereka akan sentiasa merujuk kepada cakap suami mereka seperti setiap yang dikatakan adalah rujukan yang sahih dan benar.  Sebagai contoh, seperti yang berlaku di muktamar muslimat, kedengaran beberapa orang mak cik merungut-rungut mengenai format laporan yang disediakan.

"Sepatutnya tandatangan diturunkan di sebelah kiri. Suami saya cakap macam tu."

"Suami saya cakap kalau tak ada tandatangan pun tak ada masalah sebab ini dalaman."

Suami saya cakap itu, suami saya cakap ini~

Maka perbualan tersebut akan melalut bagi mempertahankan hujah berdasarkan cakap suami masing-masing. Selama saya belajar di universiti, rujukan daripada suami adalah tidak sah. Geli hati pun ada apabila melihat mak cik-mak cik ni. Manalah orang boleh terima kalau guna sumber rujukan daripada suami. Sahabat saya cakap, naik menyampah dengar.

Bukan sahaja di muktamar, percakapan seharian wanita tidak akan terlepas dari merujuk apa yang dicakapkan suami. Sehinggakan saya membuat kesimpulan sumber ilmu seorang wanita selepas berkahwin ialah suaminya sehinggalah mati. Kalau betul  maklumat yang diberi suaminya, untunglah, kalau silap suaminya, silaplah seorang isteri tersebut. Manakala anak-anak pula sumber rujukan utama mereka ialah mak.

"Mak saya cakap..." (saya selalulah guna ayat ni~ entah2 orang menyampah sampai label saya anak mak..:P)

Kadang-kadang saya berpesan kepada rakan-rakan yang sudah berkahwin, tak perlulah nak jadi macam tu. Cuba cari rujukan yang sah kalau nak orang terima pendapat kita. Contoh, menurut Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif (2010) ker, menurut buku Tsunami Politik PRU-12 ker, atau menurut kajian itu, kajian ini...barulah orang sekeliling boleh terima. Kalau tak nanti dalam hati orang kata " Suami dia sahaja betul..." Itulah apa yang disebutkan di hadapan saya.

Waktu pertama kali saya bangkitkan isu ini, ada sahabat yang hanya ketawa mendengarnya dan mengatakan saya ni skeptik. Tetapi, lama kelamaan mereka turut terperasan mengenai kebiasaan ini dan teringat kata-kata saya.

"Akak perasan tak kak A tu selalu sebut 'ust cakap', saya teringat apa yang akak cakap yang isteri ni suka sebut 'suami saya cakap'...haha"

"Ya ka?"

Saya pula yang tidak perasan perkara tersebut~
***

Suatu masa, disebabkan terlalu biasa dengan perbuatan wanita yang sudah berkahwin, saya boleh mengagak sesuatu yang tidak kena apabila seorang wanita tidak langsung atau jarang menyebut mengenai suaminya semasa berbual. Perasaan ingin tahu mengenai kedudukan seorang akak ini membuatkan saya mengajukan pertanyaan di bawah;

"Akak kahwin masa umur berapa?"

Aju saya kepada seorang akak berpurdah di sebelah. Kami sedang duduk-duduk sambil melihat sepasang anaknya sedang bermain.

"25 tahun."

"Sekarang akak umur?" Gigih saya cuba mencungkil kisah hidupnya.

"32 tahun."

Saya mencongak-congak.

"Oh, kiranya dah 7 tahun akak kahwin yer?" semangat saya nak minta tips keluarga bahagia.

"Eh, tak sampai..." Saya kepelikan. Dalam hati, 'aku silap kirakah?' Mula membilang jari.

"Akak cerai...tak berjaya nak kekalkan. Lima tahun lebih sahaja." 

Saya terus berpaling ke arahnya. Terdiam. Terhenti membilang jari. Kaku sesaat. Dia hanya melemparkan sebuah senyuman seraya berpaling ke arah anak-anaknya. Saya pun cepat-cepat berpaling memandang pokok terung.

Betul telahan saya. Hati saya terjentik...

" Emm... akak makan tak terung tu?"
" Terung pipit? Makan, awak?" (Kalau suaminya masih bersama, mesti dia akan rujuk suami akak suka/ suami akak suka makan)
" Mak saya jarang masak terung pipit tu kat kami.." Saya jawab.
..... (Kalau saya ada suami mungkin ayat saya berubah jadi "Suami saya tak makan terung pipit ni")

Tapi sahabat-sahabat dah berpesan agar saya jangan jadi macam tu sebab nanti buat orang menyampah. Tetapi ini menunjukkan wanita menghargai dan mengingati pasangannya lebih dari diri sendiri. Orang lelaki belum tentu boleh buat macam tu...selalu lupa apa yang isterinya cakap. Sebab itulah selalu bergaduh perkara yang sama sahaja setiap masa..

Apa-apa pun perkara ini bukanlah masalah besar, sekadar berkongsi di sini. Mungkin juga menjadi panduan kepada si suami agar sentiasa menambah ilmu dalam diri supaya dapat membimbing isteri ke arah kebenaran walaupun dari sekecil-kecil perkara kerana isteri suka sangat merujuk dan berpegang dengan apa sahaja yang dicakap suaminya. Kalau betul oklah, ini tidak~






Saturday, November 17, 2012

Prinsip


Dalam hidup ini ada dua kelompok manusia. Satu yang hidup mengikut peraturan, yang satu lagi hidup bebas. Atau dipanggil free spirit.

Kelompok yang mengikut peraturan, sesetengah manusia memandang mereka ini sebagai manusia yang membosankan dan tidak menyeronokkan. Sebab, nak buat itu tak boleh, nak buat ini tak boleh. Kelompok yang hidup bebas ini pula, kehidupannya penuh dengan pelbagai kejutan hasil daripada sikapnya yang semberono. Yang mana satukah anda?

Hidup dengan kelompok yang mengikut peraturan memang membosankan. Kita sudah dapat menjangkakan apa yang akan dilakukan oleh mereka. Ada orang melabelkan mereka sebagai tidak ada life. Terlalu stabil. Contoh, pagi sarapan roti, telur separuh masak, susu. Pergi kerja. Tengah hari, qailullah. Solat zohor. Makan tengah hari-nasi berlauk. Masuk kerja. Solat asar. Makan malam. Solat maghrib berjemaah di masjid. Solat isyak. Balik rumah, tidur. Hari minggu-bercuti bersama keluarga. Destinasi- air terjun, tepi pantai, pulau. Barang-barang keperluan- bla,bla,bla. Malam tak boleh makan berat, tidur jam 10 malam, bangun jam 5 pagi, tak boleh itu, tak boleh ini.

Kelompok bebas ini pula kehidupannya happening. Tak perlu fikir banyak-banyak. Tempuhi sahaja apa yang mendatang. Makan ikut suka, kadang makan kadang tak makan. Makan tak ikut masa. Jam 1 pagi boleh pergi bantai makan durian. Tengah malam makan burger bakar. Tidur bila mengantuk. Kat mana sempat kat situ letak kepala. Mandi kalau rasa rajin, kalau tak satu hari jadi kambing. Tak kisah. Kelompok ini banyak kawan sebab dengan semua orang dia boleh masuk. Orang suka berkawan dengan dia sebab dia fleksibel. Tak terlalu cerewet atau mengikut peraturan. Orang cakap senang bersama orang yang tidak ada expectation apa-apa. Penuh dengan kejutan.

Kalau kita perasan, media selalu menggambarkan kehidupan bersama kelompok pertama adalah membosankan dan kehidupan bersama kelompok kedua adalah yang paling istimewa dan menarik. Bukan sahaja media elektronik, malah media cetak. Sebagai contoh, kalau kita menonton filem Korea, Hindi, Melayu- latar cerita memaparkan seorang gadis yang memiliki seorang tunang yang stabil, mengikut peraturan dan mungkin boleh dikatakan skema, setia. Tiba-tiba apabila gadis tersebut bertemu dengan seorang lelaki (hero) yang tergila-gilakan dia, sanggup buat apa sahaja, penuh dengan kejutan, romantik dan kadang-kadang terlampau nak membuktikan cintanya sehingga menjebakkan mereka berdua dalam keadaan yang tak disangka, sanggup membelakangkan keluarga, gadis tersebut terus terpaut hati dengan lelaki itu. Dan endingnya, gadis tersebut sanggup meninggalkan tunangnya yang baik dan berkahwin dengan lelaki yang free spirit tersebut. Konon apabila bersama lelaki tersebut, gadis itu merasakan hidupnya tidak bosan. Tetapi, cerita berakhir dengan perkahwinan. Adakah itu pengakhirannya? Bagaimana dengan realiti selepas perkahwinan?

Berdasarkan pembacaan saya, manusia yang free spirit ini adalah individu yang tidak bertanggungjawab dan pentingkan diri sendiri. Filem atau novel memaparkan sikap sanggup buat apa sahaja sebagai terbaik dan bertanggungjawab. Sedangkan sanggup buat apa sahaja adalah tidak bertanggungjawab sebenarnya dan menunjukkan manusia tersebut tidak berfikir kesan terhadap tindakannya. Islam meletakkan matlamat tidak menghalalkan cara.

Perkahwinan bukan untuk sehari dua. Ia merupakan satu pelaburan jangka panjang. Sehari dua mungkin boleh bertahan dengan individu yang lepas bebas ini. Setahun kemudian, 5 tahun kemudian, 10 tahun kemudian, macam mana? Apabila ada pelbagai ujian dan cubaan dalam rumahtangga, individu ini boleh sahaja lepas tangan dan mencari jalan singkat bagi keluar dari masalah. Sebabnya mereka yang tidak mempunyai prinsip dalam hidupnya tidak berfikir panjang apabila membuat keputusan. Sebab itulah sedari awal dia boleh tiba-tiba jatuh cinta dengan gadis yang dijumpai di tepi jalan, tiba-tiba boleh membuat keputusan untuk memiliki gadis tersebut no matter what it takes, dan segalanya dalam hidup individu sebegini adalah instant. Macam mi segera. Memang sedap, tetapi lama-lama muak dibuatnya dan membahayakan kesihatan.

Sebenarnya, bukan contoh perkahwinan yang saya nak buat sebenarnya. Tetapi disebabkan perkahwinan adalah satu kehidupan yang mengikat individu yang terlibat, saya nak menggambarkan kalau tersilap pilih akan menyebabkan kita merana. Kalau sekadar berkawan dengan individu lepas bebas ini tak apa. Boleh kurangkan berkawan atau tinggalkan dia. Kalau dah berkahwin, bukan semudah itu.

Baru-baru ini sewaktu ke Kelantan, saya telah mengabaikan beberapa peraturan atau kebiasaan diri. Saya cuba jadi free spirit. Walaupun ianya sekadar perkara kecil, tetapi tetap memberikan kesan. Konon sebab nak rasa semangat mengembara. Gara-gara memakan makanan berat pada tengah malam, saya tidak dapat bangun awal seperti kebiasaan untuk solat sebelum Subuh. Kemudian, saya tidak merancang perjalanan balik dengan baik. Disebabkan tak nak berada di Kelantan lama-lama, saya pulang dengan bas muslimat Selangor yang akan bertolak selepas ucapan dasar Muktamar Pusat. Walaupun saya berpeluang pergi ke Istana Negeri dan melihat pameran MAIK di dalam dewan pameran istana, saya telah membuat beberapa kesilapan.

Pengajaran pertama, kalau berjalan di tempat yang jauh, jangan makan makanan yang pelik-pelik. Disebabkan nak merasa makanan Kelantan, saya telah membeli Som Tam. Lepas tu, saya makan pada waktu malam pula. Sudahnya perut saya menjadi tidak selesa yang amat. Tambah pula dalam Som Tam tersebut diletak pula udang kering, saya tak boleh makan udang. Setelah separuh makan, baru perasan ada udang kering. Kesannya, saya menderita sepanjang perjalanan pulang ke Selangor. Sudahlah perjalanan tersebut mengambil masa berbelas jam.

Pengajaran kedua, rancang perjalanan dengan baik. Saya semberono naik bas Selangor tanpa bertanyakan terlebih dahulu destinasi perhentian. Akhirnya, pada jam 1 pagi saya ditinggalkan di Taman Greenwood, Gombak. Mak cik-mak cik yang lain pakat balik tinggalkan kami. Nasib baik saya bersama dengan seorang rakan baru yang turut hendak pulang ke Kajang. Terpaksalah saya menyusahkan orang rumah untuk datang ke Gombak pada jam 1 pagi untuk mengutip kami. Itupun alhamdulillah orang rumah ada kenderaan. Saya memang ingat sahabat saya masih bercuti. Kami tumpang berteduh di sebuah gerai durian yang masih buka sehingga jam 2 pagi. Turut menunggu kami pulang dengan selamat sepasang suami isteri yang makan di gerai tersebut. Mungkin tak betah meninggalkan kami dengan penggerai yang kesemuanya lelaki.

Memanglah kalau dilihatkan ini merupakan pengalaman yang berharga dan jarang didapati. Tapi kadang-kadang saya merasakan saya sengaja menempah susah. Sekali dua memang menarik, kalau selalu begini kemungkinan satu masa saya mungkin terjebak dalam keadaan yang tidak diingini. Nauzubillah…

Sampai sahaja di rumah, badan saya dah mula panas dan rasa macam nak demam. Sudahlah perut tidak selesa sehingga sekarang menyebabkan saya hilang selera makan. Saya dalam kategori manusia yang tak boleh langgar peraturan, mesti akan menerima kesannya secara tunai.

Masa sekolah menengah, baru hari pertama saya tidak memakai lencana selepas turun dari pengawas saya sudah dimarahi oleh guru di hadapan kawan-kawan. Masa darjah satu, baru kali pertama mendapat surat peminat sudah kena rotan dengan guru di hadapan kelas. Jadi saya tak suka berkawan dengan lelaki. Mesti akan timbul masalah. Itulah bagaimana saya setkan minda dan membuat peraturan terhadap diri sepanjang hidup ini. Sedangkan ada orang tidak pernah kena apa-apa walaupun bercinta di sekolah dan melanggar peraturan.

Jadi saya kadang-kadang pelik dengan mereka yang sentiasa melanggar peraturan, tidak mempunyai prinsip hidup, hidup lepas bebas. Sebagai contoh, kalau seorang gadis ditinggalkan oleh pak we, semestinya kalau ikut logik, janganlah berkasih lagi. Tetapi tidak. Kalau kena tinggal, cari lagi. Hari ini kena tinggal, esok sudah ada pak we baru. Mereka cakap mereka benci lelaki, tetapi kenapa mereka berkawan dan bercinta lagi dengan lelaki? Sungguh saya tak faham dengan rakan-rakan saya yang sebegini. Macam mereka suka dilukai dan membenci. Kalau mereka datang meminta nasihat saya, terus saya cakap tak perlu la bercinta kalau macam tu. Ingat faham, tetapi masih tak faham. Apabila ditanyakan kenapa bercinta lagi, alasannya lelaki ini baik, romantik dan bla, bla. Tetapi kalau baik, kenapa sebelum ini dia sudah ada kekasih? Lepas tu, sanggup pula bergaduh dengan bekas kekasih pak we. Saya tak tahu macam mana nak tolong golongan ini. Kadang-kadang saya rasa mereka merupakan golongan yang suka hidup dalam konflik. Itulah golongan instant, free spirit. Tak berfikir panjang.

Dalam sebuah novel Inggeris yang saya baca, Far from the Maddening Crowd, a free spirit Batsheba memilih untuk berkahwin dengan seorang askar yang pandai menggodanya dan menolak lamaran seorang petani yang baik seperti Oak.  Hanya kerana askar tersebut pandai bermain kata dan selalu membuat tindakan berani manakala Oak sangat membosankan sebab pendiam dan terlalu menjaga batasan. Sedangkan askar tersebut telah menyebabkan seorang wanita mengandung. Tetapi setelah kematian askar tersebut akibat konflik, barulah Batsheba memilih Oak yang setia. Kalau saya jadi Oak, tak hingin saya kat Batsheba dah.

Kesimpulan daripada entri saya yang panjang ini adalah, hidup perlu ada prinsip dan pegangan. Jangan biarkan diri dipandu oleh nafsu hanya kerana inginkan keseronokan sementara. Kelak merana badan. Walaupun sekadar melanggar peraturan makan berat pada waktu tengah malam dan tidak merancang perjalanan dengan baik, kesihatan saya terganggu dan saya telah menyusahkan orang sekeliling. Kalau dalam perkara kecil pun perlu berpandukan peraturan dan prinsip, inikan pula perkara-perkara besar dalam hidup. Apatah lagi selaku pejuang Islam yang mengaku mendaulatkan Islam, perlu lebih teguh pendirian dan memiliki prinsip hidup yang jelas.


Sunday, November 11, 2012

Bom jangka


Sarapan pagi di kolam air panas-Makan tengah hari di UN-Makan malam di KL.

Siapa sangka keindahan cerita yang tersurat, mengandungi pengalaman tersirat yang mengajar diri.

Saya rasa macam betul-betul ditamrin semalam sehingga saya perlu menonton filem Anger Management malam ini.

Bermula dengan perjalanan seawal jam 5.40 pagi, kami membelah pekat pagi menuju ke Hulu Langat. Walaupun sekadar menghantar sahabat, saya rindu nak mencecah kaki ke dalam air sungai yang sejuk. Terngiang-ngiang bunyi deras air sungai yang mengalir.

Trafik sangat lancar dan jalan raya lapang. Berhenti solat Subuh di masjid sebelum meneruskan perjalanan. Ujian pertama bermula apabila terpaksa mendaki jalan yang tinggi dengan kereta auto. Memasang gear rendah tetap mengecutkan perut kerana jalan yang tinggi. Macam manalah mereka begitu yakin kereta boleh mendaki tempat setinggi ini.

Lepas tu, tiba-tiba pula di selekoh dakian ada kereta diparkir betul-betul di selekoh. Meninggalkan kami dengan ruang yang sangat terhad untuk membelok.

Saya ‘kagum’ dengan orang lelaki. Mereka selalu terlebih yakin apabila tiba bab-bab kereta. Datanglah apa keadaan pun, mesti waktu kita ragu-ragu mereka terlebih yakin. Ada ke patut diletak kereta di tempat sebegitu.

Sudahnya waktu nak kembali turun dari jalan yang tinggi dan curam tu, saya terlalu mengawal brek risau mencium kereta tersebut sehingga bunyi tayar belakang menggeser tanah agak menyeramkan. Menuruni curam sehingga saya rasa macam nak  tarik brek tangan dan keluar tinggalkan kereta di situ juga.

Walau bagaimanapun, setelah halangan dilalui, kami berdua membeli nasi lemak di tepi jalan dan makan di kolam air panas. Buat merehatkan diri. Saya cuba juga memenuhi hajat diri untuk mencecahkan kaki ke dalam air sungai. Air terlalu panas sehingga tidak mampu mencecah kaki lama-lama. Air sungai pula tidak terlalu sejuk kerana air sungai di sebelah kolam air panas ini sudah jauh dari hulu.

Ujian hebat datang sewaktu dalam perjalanan ke KL. Tiba-tiba saya lihat suhu kereta mendadak naik. Segera berhenti di stesen minyak berdekatan. Setelah memandu pelbagai jenis kereta yang semuanya orang punya selama 6 tahun, saya terlalu sensitif dan mudah risau jika kereta tersebut ada rekod kerosakan. Entah berapa kali saya nyaris kemalangan. Hanya Allah yang menyelamatkan saya dari terlibat dalam kemalangan kereta.

Walaupun kadang-kadang saya memecut, tapi setakat ini belum exceed 100km/j. Saya mudah terbayang andai saya hilang kawalan, tayar lari, saya brek dan kereta terpelanting. Err..mungkin sebab pernah terjadi. Syukur saya masih mampu mengawal stereng dan brek walaupun kereta sudah berpusing dua kali. Kalah KL Drift. Allah masih memelihara kami. Sudahlah bersama saya waktu itu bakal isteri orang. Kalau saya sahaja mungkin kurang la sikit rasa terkilan kalau terjadi apa-apa. Tak berani nak bagitahu mak sehingga sekarang~ mesti mak suruh bersara dari memegang stereng.

Bukan setakat masalah suhu sahaja, bunyi yang pelik semasa menutup enjin datang dari skru yang longgar. Skru yang memegang roda enjin yang berputar. Ditakdirkan Allah ada dua orang pemuda mekanik kompresor yang datang melihat-lihat. Walaupun sudah membiarkan kipas sejuk sebelum mengisi kembali air, semasa mereka meminta distart enjin kereta, bunyi itu tetap datang. Rupa-rupanya, ada masalah yang lebih besar dan serius. Encik tu cakap kalau lambat sikit, entah apa akan jadi kalau tercabut skru tersebut. Lantas beliau dengan bersusah payah memperketatkan kembali skru dengan peralatan yang sedia ada oleh mereka. Servis percuma. Hanya mampu mengucapkan terima kasih dan membeli air Revive buat mereka. Turut diberi tips dan pesanan untuk diservis kembali kereta.

“Air Revive ni tak penting, yang penting air kereta tu, hati-hati bawa nanti.”

Mood saya pada waktu tersebut sudah tidak berapa ok apabila timbul masalah sebegini. Orang cakap, kalau nak tahu tahap kemarahan dan kesabaran seseorang, lihat gaya pemanduannya dan bagaimana dia sewaktu di atas jalan raya.

Ujian selepas dari itu lebih mencabar. Hujan lebat, risau dengan suhu kereta, kesesakan di pusat bandar, sesat, cari jalan tak jumpa… Kesimpulannya, saya dapat mengetahui sejauh mana tahap kemarahan saya.

Tahap pertama- percakapan saya menjadi keras. Saya masih boleh bercakap tetapi dalam keadaan tertekan menyebabkan suara saya menjadi keras. Tahap kedua- saya nak menangis sebab geram sangat dan berputus asa sehingga rasa macam nak patah balik atau back off. Tapi depan sahabat saya tak boleh menangis, jadi saya tahan. Tahap ketiga atau maksimum- saya sudah tidak peduli dan berdiam diri. Biarlah apa nak jadi.

Akhirnya kami berehat di Masjid Negara dan ia membantu saya untuk kembali tenang.




Dalam kehidupan pun, orang cakap marah tanda sayang. Ia menunjukkan kita masih peduli and we want to work things out. Kita masih mahu menyelesaikan masalah. Apabila kita menangis, kita semacam kecewa dengan sesuatu perkara dan melihat semacam tidak ada jalan keluar. Tetapi masih boleh dipujuk dan diberi kata semangat. Namun, apabila kita sudah tidak peduli terhadap sesuatu, itu tandanya tiada apa-apa yang boleh dilakukan. Orang tua-tua cakap, sudah tawar hati. Pujuklah macam mana pun, memang tidak ada jalan kembali.


Melalui filem Anger Management yang ditonton, pakar terapi tersebut menerangkan ada marah yang sihat dan marah yang tidak sihat. Jadi dia cuba mengajar marah yang sihat. Dua ciri kemarahan pula ada dua- explosive dan implosive. Dia fokus kepada orang yang implosive iaitu orang yang tidak pandai marah tetapi menyimpannya di dalam hati sehingga menjadi toxic anger syndrome (TAS). Suatu saat apabila kemarahan itu tidak dapat disimpan, dia akan meletup dan keadaan pada masa itu memang serius. Jadi  orang yang tidak pandai marah ini rupa-rupanya ada risiko juga yer…hmm…

Pakar terapi itu cuba membuat pesakit yang tak reti marah itu untuk marah agar kemarahan itu diluahkan dan tidak menjadi toksik di dalam diri. Agar orang sekeliling tahu apa yang membuat dia marah dan tidak mengulanginya lagi.

Kesimpulannya, kemarahan itu perlu juga diluahkan dengan betul. Tidak semestinya dengan menengking tetapi dengan memberitahu pun sudah cukup.

Macam seorang senior saya semasa saya Tingkatan 3, dia terkenal sebagai seorang yang sangat baik dan tidak pernah marah. Satu malam, semasa sedang berprogram, dia dan seorang rakannya datang hendak menemui AJK Aspuri. Tetapi pada waktu tersebut, akak-akak yang lain sedang berprogram. Jadi dia memanggil saya yang kebetulan berada berdekatan. Dia meminta saya menyampaikan tegurannya kepada AJK Aspuri. Ayat terakhirnya;

“Awat tahu tak saya tengah marah? Saya tengah marah ni.”

Malangnya, nada dia bercakap tidak langsung menampakkan kemarahan. Tiada intonasi marah langsung. Saya hanya berdiam diri, tetapi dalam hati saya tergelak habis. Walau bagaimanapun, dengan memberitahu dia marah, akak-akak tersebut mengambil serius tegurannya.

Seperti juga seorang individu yang pernah berurusan dengan saya. Walaupun dari nada percakapannya tidak menunjukkan kemarahan, tetapi dari merah padam mukanya, saya tahu saya telah bangkitkan satu isu yang tidak disukainya. Cuak juga saya waktu itu. Ingatkan tak reti marah… Marah itu fitrah. Cuma kita perlu pandai mengurusnya.

Saya mungkin jenis yang mudah meluahkan kemarahan dan berterus-terang kalau saya sedang sedih, marah, kecewa atau ada sesuatu yang tidak kena. Tidak perlu saya menengking pun rasa-rasanya dari riak wajah orang sudah boleh membaca perasaan saya. Itu apa yang sahabat saya cakapkan. Jadi saya sedang belajar bagaimana nak menguruskan kemarahan tersebut. Tetapi, at least saya tidak berisiko menghidap toxic anger syndrome. Dan sepanjang tamrin yang saya lalui semalam, saya tidak meletup walaupun suhu saya naik. Terima kasih sahabat sekalian. Akhirnya kami tetap berjaya ke Pejabat Agung PAS. Alhamdulillah...

Friday, November 9, 2012

"Pending"

Dialog sahabat:

"Dah lama tak update blog, nampak sangat pending...terkejut sangat dengan perubahan hidup. Itu nak buat, ini nak buat."

Akhirnya beliau mengambil bantal dan tidur...

Hmm...saya pun pending juga sebenarnya...tapi lagi pending lagi saya nak menulis...

Moga dengan menulis dan berfikir kemudian membaca kembali, saya dapat mengurai keserabutan dan kembali menjalin benang-benang kehidupan dengan lebih lancar dan persis.


Wednesday, November 7, 2012

Kalaulah semudah ABC


Siapa suka makan? Angkat tangan!!! Pernah tak sewaktu kita sedang menghayati makanan kita kemudian ada orang tegur;

“Amboi, banyaknya makan/berseleranya makan.”

Rasa-rasanya patut tak kita berkata begitu kepada orang yang sedang menikmati rezeki yang Allah s.w.t bagi?  Teguran tu mungkin bermaksud baik atau mungkin tidak. Terus mati selera orang yang tengah makan tersebut.  Tapi ada orang cakap perkara ini baik supaya seseorang tidak keterlaluan makan.  Entahlah, saya pun tak pasti yang mana sepatutnya.

Tapi kalau bersama sahabat yang suka makan, wahhh…hidup bagaikan nikmat.  Kalau dengan sahabat yang makan apa-apa sahaja lagi best. Kalau saya, geng Krabby Patty memang paling best kalau bab-bab makan nih.
Memang sejak dari dahulu kalau di asrama, muka-muka yang sama yang terawal tiba di dewan makan.  Kadang-kadang belum sempat guru keluar dari kelas, kami dah sampai separuh jalan ke dewan makan.  Sehingga kadang-kadang ditegur oleh rakan sekelas sebagai tidak menghormati guru.  Maaf cikgu.  Perut dah menjerit.  Tak dapat den nak nolong.  Bukan apa, kalau keluar awal, tak lah nanti berebut dengan aspura.  Mereka tu leceh.  Suka masuk barisan aspuri.

Kalau makan dengan sahabat-sahabat yang jenis sapu licin, selalu dipesan;

“Makan kena bagi licin, baru dapat suami soleh.”

Bagi yang pertama kali dengar macam saya masa itu agak terpinga-pinga.

“Apa kaitan pinggan licin dengan suami soleh?”

“Entahlah, ustazah yang cakap macam tu.”

Jadi, sejak hari itu saya bersemangat pastikan pinggan saya licin.  Apabila saya sebarkan kepada rakan-rakan lain di universiti, ada yang menyindir saya kembali;

“Tak pe lah, ko habiskan jer Ayu, aku bagi ko peluang dapat suami soleh.”~~

Rupa-rupanya lebih senang mendidik kanak-kanak berbanding orang-orang tua yang telah tenggelam dalam kebiasaan.  Betul ke tidak teori tersebut saya tak pasti sebab belum terbukti, tetapi orang cakap keberkatan ada pada butiran-butiran nasi atau sisa makanan yang terakhir.  Jadi keberkatan itulah yang penting dalam hidup.  Tapi janganlah sampai tulang pun digonggong…

Jadi apabila sahabat-sahabat saya yang makan licin ni kembali berkumpul, kami mengambil keputusan untuk bermalam di rumah taman saya.  Kebetulan pada masa tersebut, rumah tersebut masih kosong sebelum disewakan kepada orang sekarang ini.  Parti BBQ yang dibuat memang happening.  Nasib baiklah rumah tersebut berada di tepi sekali, jadi kebisingan yang dibuat kurang menganggu jiran-jiran.  Berkat tidak membazir makanan, kebetulan pada malam tersebut jiran di hadapan rumah turut membuat rumah terbuka.

Disebabkan tidak pandai membuat bara bagi memanggang ayam, ada beberapa orang pak cik datang menawarkan bara api yang telah digunakan untuk membakar sate.  Wahh…beruntungnya kami.

Kemudian diajaknya ke rumah terbuka tersebut.  Kami malu nak pergi sebab yang ajaknya pak cik-pak cik.  Kemudian datang pula kanak-kanak.  Kemudian datang pula mak cik-mak cik.  Haish, dah 3 kali ajak, tak patut la pula kan tolak rezeki. Pergi sahaja ke situ, diberinya kami bercucuk-cucuk sate dengan side dishes, main dishes.  Memang parti sakan malam tersebut.

Apabila tak dapat nak habiskan makanan, keluar kembali teori dahulu…:D Jadi masing-masing berusaha menghabiskan makanan setakat yang mampu walaupun perut masing-masing dah nak pecah.

Kemudian, berbual sehingga masing-masing terlena di ruang tamu berlapikkan toto.  Saya pula meneman dua orang sahabat menonton cerita Ghost sehingga terlena tanpa sempat melihat penamat kisah tersebut.

Apabila diingat-ingatkan kembali, sekarang masing-masing sudah ada haluan sendiri.  Tapi setiap kali berkumpul sewaktu raya selalunya, perangai kuat makan dan habiskan makanan tu tak pernah tinggal… Mungkin sentiasa terbooster dengan mentera nak dapat suami soleh la kot…Kalaulah semudah ABC…



Tribute buat sahabat-sahabat...berusaha membina kenangan untuk masa hadapan :)

Saturday, November 3, 2012

Luar biasa sayang


Dah lama tak menulis sesuatu.  Sejak diari tertinggal di Ulin Nuha (UN), mood nak menulis bagaikan sirna.  Hari ni petang hujan lebat.  Adik ajak mandi hujan, tapi disebabkan petir dan guruh pun menari bersama hujan, tak sanggup rasanya.

Kalau tengah hari tadi mak menunjukkan kehebatan memasak masak lemak tempoyak dengan sotong dan daun kaduk, petang ni saya menunjukkan kehebatan memasak…megi.  Haha.  Itulah beza orang muda dengan orang tua, semua nak cepat.  Mati pun cepat.

Sudah beberapa hari mak memperturunkan ilmu masakan.  Macam betul apabila orang mengatakan perempuan ni belajar tinggi macam mana pun, akhir sekali kembali ke ceruk dapur juga.  Pandangan saya, dapur itu bukan sekadar ceruk, dapur itulah yang menjamin ikatan kekeluargaan semakin utuh.  Kalau rumah dapur tak berasap, itu tanda sesebuah keluarga itu ada masalah.

Ikutkan situasi, seharusnya saya sudah mula panik kerana masih tidak bekerja atau menyambung belajar.  Bukan tidak mencari, tapi belum ada rezeki.  Tawaran untuk melanjutkan sarjana sudah diterima tetapi berhasrat untuk tangguh dulu buat sementara waktu. 

Menjadi harapan setiap anak-anak untuk memberi wang ringgit hasil titik peluhnya kepada kedua ibu bapa.  Rasa tidak sabar-sabar untuk membayar kembali segala penat lelah kedua ibu bapa.  Wang ringgit memang mampu membahagiakan mereka.  Tetapi tidak selamanya dan tidak semuanya.  Kadang-kadang perhatian dan layanan anak-anak juga yang menjadi ukuran.

Sewaktu sedang menitik beras pulut yang direndam dalam air selama 3 tahun ke atas kain batik untuk dibuat bedak sejuk, dari radio kedengaran “…bukanlah kekayaan itu terletak kepada banyaknya harta dan wang ringgit, tetapi kekayaan jiwa itulah yang utama…”  Persoalan, how am I suppose to know which is which until I experience both?  Jadi kita perlu merasa kedua-duanya supaya kita mampu membuktikan kekayaan yang mana satu yang lebih utama.  Kadang-kadang saya berpandangan ayat-ayat macam tu saja nak menyedapkan hati orang-orang macam saya ni…

Berbalik kepada layanan terhadap ibu bapa, walaupun saya hanya memasak megi yang tidak setanding pun dengan masak lemak tempoyak mak, tetapi menghidangkan megi panas tersebut untuk disantap sewaktu hujan lebat memang mendapat pujian mak.  Tapi adik saya datang dan mengkritik;

“Ni bukan makanan sihat ni…”~

Keinginan untuk mula bergerak aktif kembali dan memulakan langkah ada, tetapi apabila dengar ayat mak;
“ Bila anak-anak ada, mak jadi semangat nak buat kerja walaupun sakit kaki, tapi bila hampa tak dak, mak jadi tak tau nak buat apa…duduk melengung ja.”

Saya tangguhkan hasrat nak pulang ke Selangor.  Bila tengok mak semangat menebang pokok bunga kertas di belakang rumah, ubah pasu-pasu bunga untuk buat lanskap, titik bedak sejuk, mop lantai hari-hari, buat kek, masak sedap-sedap dengan harapan saya belajar, ubah kedudukan perabot, buat jeruk daun kemaman, saya tahu mak seronok saya ada di rumah.

Pernah sekali saya bangkitkan;

“Sunyila tak ada kawan,”

Mak saya membalas;

“Mak lagi tak ada kawan, kawan-kawan mak anak-anak lah.”

Saya terdiam dan terus tak bangkitkan soal tersebut.  Walaupun mereka memberi dorongan untuk kita mula bekerjaya, jauh di sudut hati mungkin mereka mengharapkan sedikit masa lagi untuk diluangkan bersama-sama anak-anak yang dahulunya jauh dari mereka.

Kalau saya tidak ada, tidak disentuhnya susu Anlene yang saya beli untuk ubat sakit kakinya.  Mak sendiri yang bagitahu apabila ditanyakan.  Saya beli, mana tahu kalau-kalau sakit itu berkaitan dengan tulang.  Selepas itu, tiap-tiap pagi saya nampak susu tersebut terhidang di atas meja kecil.  Jadi saya tahu, setiap kali saya ada, dia akan sentuh benda-benda yang berkaitan dengan saya.  Susu, rumah kemas, buku, kecantikan, laksa~ 

Abah pula, balik dari pasar bawa beberapa papan petai, bawa pergi makan char kuey teow, dll.

Dekatnya mak dengan saya menyebabkan kelibatnya sentiasa ada.  Seperti yang berlaku hari ini.  Seusai solat zohor, saya terlelap sebentar.  Mak, abah dan acik keluar sejak dari tengah hari tadi.  Semasa sedang tidur, saya bagai terdengar mak memanggil nama dan mengetuk pintu bilik.  Suatu rutin yang saja dilakukan bagi mengetahui sama ada saya tidur atau tidak.  Sebabnya saya hanya masuk bilik untuk tidur atau membaca, selebihnya saya banyak melepak dengan mak di dapur.

Saya menyahut panggilan mak dan bangun membuka pintu.  Tetapi rumah sunyi sahaja waktu saya keluar dari bilik.  Saya mencari di dapur, turut tak kelihatan.  Pintu dapur pula terbuka.  Disebabkan masih mamai, saya duduk di kusyen menghadap pintu dan menunggu.  Tidak berapa lama kemudian, kedengaran kereta masuk ke perkarangan rumah.  Terdengar mak memberi salam dari depan, tetapi saya hanya menunggu di kusyen.  

Sewaktu mak datang ke dapur, saya tahu mak masih berada di luar semasa saya dengar suara emak memanggil dan mengetuk pintu bilik saya…..?

Suatu rutin dan kebiasaan sehingga minda separa sedar saya turut terbiasa dengannya.  Saya bercadang nak balik minggu depan, sudah mak pening-pening telur mahal sekarang ni nak dibuat kek untuk saya.

Dalam dunia ni, tidak kira walau apa pun yang terjadi kepada kita, masih ada yang sayang…luar biasa sayangnya sehingga menjadi sebati dalam diri…rajin-rajinlah minta mak ayah kita doakan apa-apa sahaja untuk kita, kasih sayang mereka adalah cebisan kasih sayang Tuhan buat hambanya yang tiada galang ganti…

Walaupun saya coretkan di dalam entri kali ini, akan ada lagi bukti-bukti kasih sayang mereka yang mengharukan jiwa saya.  Membuatkan masa selama 23 tahun hidup di bawah belaian kasih sayang mereka terasa begitu cepat berlalu dan terlalu banyak untuk disebut...Ya Allah, rahmatilah keduanya :)

Friday, October 26, 2012

Transit


Kematian.  Bagaimana kita memandang sebuah kematian tersebut?  Pernah tak sewaktu kita berteleku di sejadah, kita tersedar yang ada kematian sedang menanti kita?  Mengintai di sudut-sudut yang tidak kelihatan.  Sewaktu berteleku di sejadah seusai solat Isyak, baru saya tersedar yang saya sudah lama tidak memikirkan mengenai makhluk bernama kematian.  Selalunya bila kita tersedar?  Apabila kita mendengar berita mengenai kematian seseorang.  Sudah agak lama saya tidak mendengar sebarang berita mengenai kematian menyebabkan saya terlupa kepadanya.   Rasa-rasanya kali terakhir adalah sewaktu sebelum Ramadhan dan selepas Ramadhan.  Jadi, saya terlalai dibuai keindahan dunia.

Jadi apabila saya diingatkan, saya mula memeriksa status saya sekarang.  Cukuplah kematian itu sebagai pembunuh kelazatan terhadap kehidupan.

Saya berpendapat istilah meninggal dunia lebih tepat digunakan daripada mati.  Mati semacam satu titik akhir.  Habis.  Kejam.  Sedangkan meninggal dunia semacam satu transit.  Sebabnya kita masih ada destinasi lain yang akan dikunjungi.  Meninggal dunia bermaksud satu proses transit ke alam lain.  Perjalanan roh masih berterusan, cuma ia sudah tidak memerlukan badan/jasad lagi untuk ke alam barzakh.  Jadi ia perlu transit di satu checkpoint.  Jasad yang sudah tidak diperlukan di alam barzakh perlu disimpan di dalam tanah dan kita akan mengembara ke alam lain.  Hanya Allah yang Maha Mengetahui apakah form yang akan roh gunakan untuk mengembara ke alam tersebut.  Boleh jadi ianya seperti taman-taman syurga dan boleh jadi ianya seperti lubang-lubang neraka.

***

Semasa saya menaip entri di atas saya baru nak menghadapi kematian kecil.  Tiba-tiba hari ini saya mendengar khabar berita cikgu sekolah saya di Irshad sudah meninggal dunia.  CIkgu Rozi.  Tak tahu sama ada ada cikgu Geografi yang mengajar saya di Tingkatan 3 atau tidak.  Seingat saya, hanya dia seorang yang bernama Rozi atau sebetulnya Md Rodzi.

Saya memang akan ingatkan dia.  Sebab saya pernah terkena dengannya.  Semasa beliau sedang mengajar di hadapan, saya dan Sakinah Sobri membaca surat khabar di belakang.  Akhirnya kami di panggil ke depan seorang demi seorang untuk menjawab soalan cepu emas daripadanya.  Sampai bila-bila saya akan ingat gambar tanda aras yang diminta untuk dilukiskan di atas papan hitam.  Selepas selesai melukis tanda aras tersebut, saya diperli olehnya.  Malu tak terkira. 

"Ooo..Macam tu ka tanda aras, ang belajar kat mana?"

Itulah saya, tapi kalau jadi budak baik mesti tak best juga sebab tak ada kenangan.  Saya jarang ingat kat cikgu yang baik-baik, tapi saya akan ingat kat cikgu yang sentiasa mendidik saya dengan pelbagai cara yang unik....

Sunday, October 14, 2012

Sekadar mimpi


Baru-baru ini saya mimpi ada orang curang dengan saya sehingga saya terjaga dalam keadaan sedih.  Apa yang minda bawah sedar saya cuba sampaikan?  Mungkin sejuk kereta api yang menggigit dan posisi yang tidak betul mengganggu tidur saya.  Tersenyum saya, mengapa hal sekecil ini menyebabkan kita bersedih?  Sedangkan kadang-kadang kita jaga dan tidur tanpa mengingati Allah s.w.t. tetap Allah s.w.t memelihara kita.  Sedangkan kita tak buat apa-apa pun untuk orang sekeliling kita.  Kenapa perlu bersedih? 

Ada hikmahnya walau hanya sekadar mimpi.  Barulah kita akan melihat kembali hubungan kita dengan Allah s.w.t.  Ketenangan hanya akan wujud apabila kita memperbaiki hubungan dengan Allah s.w.t.  Kekusutan yang berlaku di sekeliling kita adalah refleksi hubungan kita dengan Allah s.w.t ada masalah.

Dr.Mariah pesan di akhir usrah, cinta dan kasih kepada suami dan anak-anak jangan diberi 100%, hanya kepada Allah selayaknya cinta dan kasih 100% tersebut.  Alasannya, merekalah yang akan menyakitkan kita suatu hari nanti.  Baru mimpi sudah menyakitkan, bagaimana pula realitinya… nauzubillah.

Teringat masa kecil-kecil, kalau nak tangkap anak ikan di tali air depan rumah, selalu tertangkap berudu.  Frust tak terkira.  Anak ikan tak salah, berudu pun tak salah.  Kita yang tangkap, jadi salah kita tak tangkap elok-elok.  Jadi nak buat macam mana?  Lepaskan kembali berudu dan kembali berusaha menangkap anak ikan.  Kalau tidak, berpuas hati sahaja dengan berudu yang ditangkap.  Kita yang menentukan sama ada nak bahagia atau tidak.

Ada kaitan tak dengan mimpi?  Tak ada pun, saja letak pengalaman menangkap berudu sebab jumpa berudu di kolam depan Fakulti Pengajian Islam sewaktu bergambar bersama sahabat sewaktu Usrah Konvo.  Peace…

Sunday, October 7, 2012

7 Oktober

1.30 a.m.

Dah masuk 8 Oktober... Satu hari yang panjang dan memuaskan.  Inilah buat pertama kalinya saya bergelumang dengan manusia yang ramai tanpa berakhir dengan kepala berdenyut-denyut.

9-5 petang

Seminar Negara Berkebajikan- Janji untuk Wanita

Pada mulanya saya perlu bertugas menjaga kaunter Zon Tengah, Johor dan Pahang.  Tetapi akhirnya sirih pulang ke ganggang apabila saya dipindahkan menjaga meja Pulau Pinang dan Kedah.  Delegasi Pulau Pinang adalah yang terbaik dan sistematik.  Pada masa semua delegasi perlu beratur dan menulis satu-satu nama di borang, wakil DM Pulau Pinang hanya datang untuk membuat pengesahan kerana senarai nama sudah diberikan sejak awal.  Hanya perlu membuat bayaran dan mereka merupakan delegasi terawal yang lengkap dan masuk ke Dewan KUIZM.  Bangganya saya.  Jumpa juga dengan K.Imah dan K.Salasiah, senior-senior Nisa'.  Pada masa mak cik-mak cik penat berdiri dan berebut-rebut, delegasi Pulau Pinang sudah berehat dalam dewan berhawa dingin di dalam.  Manalah cek tak sayang Pulau Pinang kalau begini caranya...

Waktu sesi pembentangan kertas kerja, saya cuba memberi fokus tetapi gagal.  Maaf saya cakap, saya dapati gaya bahasa yang digunakan oleh pembentang sangatlah tidak membumi.  Delegasi-delegasi itu bukannya terdiri daripada para profesional atau kelas menengah.  Sebahagian besar adalah mak cik-mak cik sebaya mak saya yang menjadi suri rumah, jual kuih dan kalau tinggi sedikit guru PASTI.  Seharusnya bahasa yang digunakan adalah mudah difahami dan lebih santai tetapi berisi.  Ini sekali dikeluarkan perkataan bahasa Inggeris antaranya indigenous.  Tahu tak apa tu indigenous tanpa perlu menggoogle?  Saya seorang sahaja kot yang kurang cerdik sebab baru tahu mengenai perkataan ini di universiti.  Jadi saya tidak ada masalah.  Bagaimana dengan mak cik-mak cik tersebut?  Sedangkan maksud yang nak disampaikan adalah "seharusnya ubat-ubat cara kampung atau tradisional perlu kita tekankan bukan sibuk dok makan ubat hospital sahaja." 

Saya tak tahu sama ada mak cik-mak cik tu faham atau tidak.  Kasihan mereka, datang jauh-jauh tetapi tidak dapat menghayati isi perbincangan yang nak disampaikan.  Kalau saya yang terdedah dengan seminar-seminar profesional pun mengambil masa untuk memahami ayat yang dituturkan yang turut diakui pening oleh senior saya seorang pelajar linguistik, inikan pula mak cik-mak cik yang datang dari pelbagai ceruk kawasan.

Realistik.  Itu sahaja yang saya harapkan daripada pembentang yang terdiri daripada pemimpin kita.  Sebab itulah mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik lebih suka mendengar ceramah Mat Sabu berbanding orang-orang profesional yang lain.  Hal ini demikian kerana bahasa yang digunakan adalah mudah difahami dan sangat dekat dengan masyarakat kelas bawahan yang diakui lebih besar.  Boleh serius tetapi gunalah perkataan yang mudah.  Tidak jatuh pun harga diri atau air muka kalau guna perkataan yang mudah-mudah.

Hmm..begitulah sesi pembentangan kertas kerja.  Harapan saya, setiap delegasi memahami isi perbincangan dan dapat disebarkan ke peringkat akar umbi kerana tanpa anda siapalah kami.

8-12 a.m

Seminar Dr.Zakir Naik

There was a huge throng of participants.  Kami sampai perlu duduk di atas lantai.  Kalau seminar ilmu sebegini, sesuai sangatlah bahasa Inggeris digunakan 100% dan istilah-istilah tinggi digunakan kerana memang bidang yang dibincangkan adalah mengenai agama.  Kalangan yang hadir juga terdiri daripada golongan pelajar universiti, kelas menengah, profesional, YB2, agamawan, dan pendatang asing.  Pendekatan yang digunakan sangat sesuai dan realistik.

Itulah dua seminar yang berbeza yang saya hadiri dan pesan saya, jadilah realistik.  Kalau kita mahu setiap rakyat laksanakan hasrat kita, sampaikanlah hasrat dengan bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat.  Jangan kita hanya syok sendiri yang akhirnya merugikan parti.

Thursday, October 4, 2012

Emas Putih



Satu hari sewaktu dalam bilik kuliah, saya membelek-belek cincin yang dipakai oleh seorang rakan di jari manisnya.  Saya tanya kepadanya;

“ Ni emas putih ke?”

Dia mengiakan.  Kemudian saya ternampak cincin yang sama dipakai oleh seorang lagi rakan.  Tetapi cincinnya ada empat lapis.

“Beli di mana?”

“Di Lazo Diamond kat Metro Kajang.  Murah jer ni.”

Emas putih murah?  Macam tak percaya.  Selalunya emas putih lebih mahal berbanding emas kuning.

By the end of the lecture, saya sudah buat keputusan.

“ Nak beli juga emas putih tu.”

Rakan-rakan saya masing-masing berpandangan dan membulatkan mata.  Tidak percaya yang saya akan berminat dengan benda-benda ni. 

“Serius?” dia meminta kepastian.

“Betullah.  Tapi tak tahu bila nak beli.”

Saya tak perlu menunggu lama sebelum rakan-rakan saya membawa saya ke Lazo Diamond pada petang itu juga selepas kelas.  Sungguh teruja nak penuhi hasrat saya sebab mungkin mereka lihat saya ni naif sangat kot bab-bab ladies ornament ni.  Pergi kelas tidak pernah bermake up, berhias.  Sanggup drivekan saya dan temankan saya membeli cincin tersebut.  Sebenarnyalah, bukanlah tidak ada niat tu, cuma saya tahu saya tetap tidak akan puas walau macam mana saya hias diri sebaik mungkin.  Saya berfikiran seorang wanita hanya akan merasa dirinya cantik apabila berkahwin.  Kalau diletakkan seorang wanita cantik dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki yang menjadi anak dara tua dengan seorang wanita biasa yang gemuk tetapi berkahwin, wanita yang sudah berkahwin itu tidak akan merasa rendah diri langsung dengan wanita cantik yang tidak berkahwin tersebut.  Dalam hatinya menyebut;

“ Alah, muka lawa tapi tak kahwin buat apa, tak lawa-lawa aku pun ada lelaki nak.”

Haa…macam tu lah pandangan saya.  Kontroversi tak?  Pernah dibahaskan dalam geng Krabby Patty, tetapi saya coret di blog buat tatapan umum.  Wanita akan merasa dirinya cantik apabila memiliki suami.  Menunjukkan bahawa ada juga orang yang melihatnya dengan pandangan berbeza.  Walau sejuta lelaki memujanya, tetap dia tidak berpuas hati dengan kecantikan yang dimiliki sehinggalah ada orang yang nak jadikan dia isteri.  Sebab itulah ditouch up diri sehingga jadi macam zombi atau patung Barbie semata-mata mahu menarik perhatian lelaki tetapi tetap tak ditemui kepuasan tersebut. 

Dan kerana itu jugalah terdapat sebahagian besar wanita apabila sudah berkahwin dia tidak lagi peduli mengenai dirinya.  Sudah tidak malu, kalau dulu duduk bersimpuh, selepas berkahwin duduk…….. (tak sesuai disebut).  Kalau dulu cakap pun berbisik, selepas berkahwin panggil suami satu kampung boleh dengar.  Ada lagilah perubahan-perubahan yang tidak wajar dan tidak sesuai disebut oleh saya yang masih solo ini~  Ini hasil pemerhatian peribadi saya terhadap wanita sebelum dan selepas berkahwin.  Semua ini terjadi sebab mereka sudah mencapai satu tahap kepuasan dalam diri mengenai kecantikan mereka.  Mereka dah jemu nak jadi cantik sebab dahulu sudah bersusah payah.

Tak kisahlah sama ada perkahwinan itu akan berakhir dengan penceraian atau tidak, menjadi janda adalah lebih baik daripada menjadi andartu.  Ini disebut sendiri oleh mereka yang berpengalaman berkahwin dan bercerai di hadapan saya.  Sehingga pada satu-satu masa, wanita memegang prinsip asal namanya lelaki, kalau dia nak kat aku, kahwin jer...  hmm... sebab itulah wujud kes isteri kena belasah, berkahwin dengan penagih dadah, isteri kena jual.. kasihan kaum saya yang lemah ini.  Apa sudah jadi dengan dunia ini?

Berjuta orang cakap aku cantik, tetapi aku tetap tak percaya sebab kalau aku cantik kenapa tak ada lelaki yang hendakkan aku??

-begitulah monolog orang perempuan bujang sehingga menyebabkannya terdesak untuk menampilkan kecantikan sehingga melewati batas syariat semata-mata nak tarik perhatian spesies lain.  Ok, case close.  Jadi saya simpan perasaan membuak-buak nak jadi cantik tersebut untuk masa depan.

Berbalik kepada cincin.  Kenapa emas putih?  Saya suka emas putih lebih sedikit berbanding emas kuning.  Sebab?

Emas putih bernilai tinggi tetapi tidak boleh digadai.

Emas kuning bernilai tinggi tetapi boleh digadai.

Saya nak dijadikan macam emas putih.  Mahal harganya, mempunyai nilai yang tinggi hanya di mata pemiliknya tetapi tidak bernilai untuk digadai atau ditukar dengan benda lain seperti wang misalnya.

Emas kuning mahal juga harganya, mempunyai nilai yang tinggi di mata pemiliknya tetapi pada satu-satu masa, emas yang bernilai tadi boleh digadai oleh pemiliknya pada bila-bila masa untuk mendapat habuan lain seperti wang atau cincin baru.

Jadi orang yang akan memiliki emas putih tersebut akan berfikir dengan baik sebelum membelinya kerana sekali ia memiliki selamanya ia tidak akan ditukar ganti.

Balik dari usrah Ameerah pusat dengan mutiara hikmah daripada Dr.Mariah…terima kasih Dr.  Terilham nak menulis selepas mendengar pengalaman hidup beliau.  

p/s: cincin yang saya google semua saya tengok tak cantik.  Hanya cincin yang dimiliki mendapat tempat di hati^^ emas putih memang eksklusif~