Thursday, November 7, 2013

Kenangan Semalam

Saya fikir saya seorang yang suka membina dan kemudian hidup dalam kenangan. Pulang ke kampung baru-baru ni, saya menyusuri beberapa tempat kenangan saya dan sahabat sekitar Irshad. Banyak perubahan yang berlaku.

Restoran Sahabat Selamanya sudah tidak ada di situ. Terkejut dan....sedih. Macam kehilangan sesuatu. Saya baru bercadang nak menikmati ais kacangnya setelah sekian lama. Restoran tersebut digantikan dengan restoran lain. Sekaligus terpadamlah niat nak bawa 'pak we' jalan-jalan makan ais kacang paling best di Penang satu hari nanti. Angan-angan pun dah menjadi kenangan.

Saya singgah menjenguk ke Kedai Nasi Goreng Ayam Pak Cik Lan. Masih ada di situ. Simpang Tiga Keling. Sementara menanti pesanan nasi goreng ayam yang legend tersebut disiapkan, saya memerhati sekeliling. Kedut dan kendur di wajah Pak Cik Lan dan isterinya sudah kelihatan. 7 tahun kemudian baru menapak kembali ke sini... Tempat saya dan sahabat selalu melepak setiap kali ada kelas tambahan di sekolah atau sekali sekala nak merasa makanan luar dari makanan asrama. Tempat berkongsi rahsia-rahsia hati dengan sahabat. Kalau Harry Potter dan sahabat melepak di Hogsmeade, kitorang melepak di Simpang Tiga Keling kalau keluar dari Irshad. Kenangan ini juga bakal terhapus ditelan masa bersama tuanya Pak Cik Lan dan isteri. Mereka tak punya anak. Dan anak-anak orang Melayu jarang mewarisi legasi orang tua-tua mereka. Tidak seperti bangsa Cina. Akhirnya saya mencapai satu kesimpulan sambil memandang langit;

'Wahhh...Sunyinya.' 

Satu-satu tapak kenangan ditelan masa dan perubahan- Stesen Kereta api Bukit Mertajam, Restoran Sahabat, rumah tok, dan entah apa lagi.

Kenangan tersebut ditarik bersama hilangnya jejak-jejak mereka.

Balik ke rumah, saya membelek-belek buku di rak. Sunyi-sunyi begini, kawan baik selalunya buku. Bila kita perlukan, dia selalu ada. Kalau kita tak perlu, dia setia di situ. Nama pun buku~ HAMKA bersama karya beliau ISLAM: Revolusi Ideologi dan Keadilan Sosial. 

Perasaan saya bagai tersalur bersama dengan perasaan HAMKA apabila beliau turut menjejaki kembali sejarah revolusi manusia mencari pegangan. Saya tak pernah kecewa baca karya beliau. Cara beliau menjalin cerita walaupun ianya sejarah, tebal, masih mampu membuatkan saya tenggelam dalam setiap helaian mukasurat. Ini karya kedua beliau yang saya baca selepas Sejarah Umat Islam.

Saya seronok membaca atau mendengar bicara sesiapa sahaja yang memiliki sudut pandang yang bukan kebiasaan. Sebab saya pun cuba melihat dunia ini dari sudut pandang yang berbeza. Selalunya ia memungkinkan saya disalahfahami. Tetapi penulisan buku-buku hebat sentiasa mendorong ke arah kebebasan berfikir. Alangkah indahnya andai saya mampu keluar dari kepompong minda sedia ada dan berfikiran besar. Macam kata-kata A.Fuadi 'peluklah impian erat-erat'.

Terus menapak dan kutiplah hikmah sepanjang jalan.

Friday, October 25, 2013

Kezaliman

I am getting sick and tired with Malaysia's leader. Kerenah mereka semakin melampau-lampau. Otak mereka semakin dangkal. Saya memang sangat marah sekarang ni, sangat marah. Sangat marah sehingga saya tak mampu nak ekspresikannya dengan kata-kata.

Dalam fikiran saya sekarang ni;

Apakah langkah terbaik nak gulingkan parti yang memegang kerajaan sekarang ni?
Apakah cara yang paling laju dan berkesan? Dengan keadaan rakyat yang buta politik begitu besar ni, pilihan raya bagai satu utopia buat pembangkang.

People are fighting each other and dying every minute, yet they are celebrating. Saya tak fikir dah as long as Malaysia aman atau tidak, yang penting kalau rakyat terseksa, diorang kena terseksa sekali. 

Opposition leaders, do something. 

Saya fikir saya perlu dengar seminar dengan lebih banyak, baca buku lebih banyak sebelum saya sakit jiwa dengan kegilaan sebegini.

Ya Allah, jatuhkanlah kerajaan yang zalim ni.

Sunday, October 20, 2013

Jendela pemikiran politik wanita

Politik seringkali dikaitkan sebagai hak maskulin. Orang perempuan tiada tempat dalam politik suatu masa dahulu. Kemudian wujud gerakan feminisme yang mendakwa kenyataan yang menyatakan sesuatu itu maskulin dan sesuatu itu feminin adalah konstruksi sosial semata-mata. Tapi, persoalannya, macam mana sesuatu tersebut dikonstruksikan sedemikian? Contohlah, menjahit baju selalu dikatakan feminis, membaiki kereta dikatakan maskulin, memasak feminis, menjaga anak feminis, memburu maskulin dsb.  Sudah tentu sebab masyarakat memandang kepada majoriti perlakuan sedemikian dimonopoli oleh jantina tertentu.

Namun, apabila dunia semakin kompleks, berlaku silang peranan antara lelaki dan wanita. Lelaki nak memasak, wanita nak masuk politik. Oleh itu, perkara ini dikaji semula dari sudut yang berbeza. Sesuatu bidang tersebut tidak harus dilabel hak maskulin dan hak feminis semata-mata.

Selalunya wanitalah yang paling melenting jika melihat isu double-standard sebegini. Sehingga tertubuhnya gerakan feminisme. Sejauh mana pula muslimat dalam PAS melihat hal ini?

Ini pemerhatian saya.

Semalam saya berkejar sendirian ke Hotel Armada untuk mengikuti Dialog Politik Anak Muda. Panelis merupakan Tuan Guru Haji Hadi, YB Zailah, YB Mumtaz dan Puan Fareedah Ahmad. Saya lebih suka memerhati daripada terlibat. Seronok keluar dari Bangi sekejap ambil angin. Jumpa dengan orang kampung, Kak Wani (orang kampung sebelah), Kak Naimah dari Pulau Pinang. Semasa sesi dialog, perwakilan atau para hadirin boleh mengajukan sebarang soalan kepada panelis.

Walaupun tidak dinyatakan peraturan, tetapi apabila tajuknya Dialog Politik, maka sudah pasti persoalan perlu berkisar tentang politik. Rata-rata soalan yang ditanyakan berkisar tentang isu double-standard PAS terhadap muslimat dibandingkan dengan pemuda. Selain daripada itu, muslimat suka tanya soalan yang berkaitan dengan rumahtangga dan karakter panelis. Itu bukan isu politik mainstream. Itu politik rumahtangga. Well, it is still politic. Saya seorang sahaja yang tahu itu juga isu politik, orang lain lihat isu tersebut tak berkaitan langsung dengan topik sehingga moderator perlu memberi amaran. Orang sebelah saya melontarkan komen terhadap soalan yang dilontarkan dan saya hanya mengangguk-angguk tersenyum dengan remarks yang dibuat. Soalan kita merefleks pemikiran kita.

Jadi, jangan salahkan lelaki kalau politik itu dilabelkan sebagai maskulin. Sebab hanya orang lelaki yang pandai bercakap tentang politik. Tetapi orang perempuan apabila diberi peluang bercakap topik politik, dibantainya tanya soalan ‘Adakah Ayah Chik seorang yang garang dengan keluarga,?’ ‘Macam mana YB Zailah menguruskan rumahtangga dan dalam masa yang sama terlibat dalam politik?’ ‘Apakah cabaran terbesar YB Mumtaz menjadi seorang exco?’ ‘Apakah peristiwa yang membuatkan TGHH tergelak besar?’ Memang la… kalau ada pemuda dalam majlis ni, mesti diorang pandang slack kepada muslimat sebab tanya soalan-soalan yang sungguh ‘catchy’ sebegitu.

Peristiwa tersebut membuatkan saya terfikir nanti kalau ada rezeki saya sambung PhD, saya nak kaji Teori Politik Wanita. Kaji politik dari sudut pandang wanita. Sekarang ini, tiada siapa menghalang wanita kehadapan dalam pentas politik. Mereka diberi peluang seluas-luasnya. Wanita rasa didiskriminasi sebab dia sendiri tak boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lelaki semasa proses pembuatan keputusan dibuat. Kalau tidak, dia mesti tidak akan rasa rendah diri seperti mana pemimpin politik wanita yang ada sekarang. Siapa nak orang yang diam dan mengikut sahaja apa orang lain cakap dalam proses pembuatan keputusan tanpa ada pendapat dan pendirian sendiri? Dalam buku The Definitive Book of Body Language, perempuan yang nak dirinya dipilih jadi isteri dengan perempuan yang nak dirinya dipilih jadi ketua perlu mengamalkan sikap yang berbeza dalam dua keadaan tersebut. Kalau tidak dia tidak akan dihormati dan suaranya tidak didengar. Jadi pilihan di tangan anda.


Agak kemalasan nak menulis entri walaupun pelbagai perkara menarik berlaku di sekeliling… jadi saya berhenti di sini. 

Wednesday, October 9, 2013

Selekeh Itu Pilihan


Baru nak seronok dia dah masuk gua balik. Jadi, bersabarlah sementara tunggu dia keluar.

Saya jarang sangat tegur atau nak komen pemakaian orang di hadapan tuan badan. Hakikatnya, saya tak peduli apa orang pakai. Selagi mana kainnya tidak terkoyak tanpa disedari atau menampakkan aib, tidak ada sebab untuk saya komen tentang pakaian yang dipakai. Tapi apabila saya tak kisah, tidak bermaksud orang lain tidak kisah dengan pemakaian saya. Ada sahaja yang menjadi pemerhati dan sedar perubahan penampilan saya. Bukan sekadar sedar, malah ringan mulut nak menegur.

Kadang-kadang ia menyinggung perasaan saya. Bukanlah maksudnya saya sedih, cuma saya macam nak cakap, selagi ianya menutup aurat, cuba buat tak nampak apa  yang saya pakai hari ni. Bagilah peluang saya jadi selekeh kejap.

Hari-hari saya dah jaga imej, satu hari saya nak selekeh itu bermaksud saya memang nak selekeh. Itu pilihan. Cuba timbang rasa sikit. Kalau seseorang itu selekeh selalu setiap kali berpakaian, memang menjadi keperluan kepada kita untuk menegurnya agar mengubah cara berpenampilan. Tetapi kalau hari-hari memang seseorang itu sentiasa kemas dan pada satu masa dia selekeh, itu tandanya memang dia pilih nak selekeh atas sebab-sebab tertentu. Bukan dia tidak tahu sedangkan memang dia seorang yang menjaga imej. Sebab itulah kita tak boleh nak tegur ikut rasa kerana kita tak tahu keadaan dia. Saya berfikir sedemikian.

Kalau saya pakai jubah tidak berseterika, seluar panjang terjulur keluar, tudung macam mak cik- itu tandanya memang saya nak pakailah. Dan saya sedar itu selekeh.

Dalam hidup ni, kita perlu faham prinsip peluang dan ruang. Manusia bukan robot. Mereka sentiasa menginginkan peluang dan ruang untuk mencuba sesuatu. Bagilah peluang dan ruang berikut sesuai dengan limitasi yang diletakkan dalam agama. Tidak perlu terlalu konservatif dan ortodoks dengan fahaman masyarakat atau norma sosial.

Sebagai contoh, kalau sesama wanita auratnya hanyalah dari pusat sehingga ke lutut, maka berilah kebebasan untuk dia memakai apa sahaja jika berada bersama wanita. Kenapa perlu dihalang dengan alasan tak sopan, malu, tak pernah dibuat orang dsb? Halangan hanya akan membawa kepada pemberontakan. Beri peluang dan ruang selagi mana ianya tidak melanggar batas syariat.

Dulu masa kecil-kecil, saya tak suka basuh periuk yang besar di sinki. Saya hanya akan basuh pinggan dan benda-benda kecil. Mak tak pernah paksa. Dia suruh tinggalkan yang besar biar dia yang buat. Itu merupakan ruang yang diberi sehinggalah saya bersedia membasuh semuanya tanpa disuruh. Dulu saya tak suka besiang ikan sebab busuk. Mak tak pernah tegur atau marah kata anak derhaka atau tak dengar kata atau apa sahaja. Dia bagi ruang sehingga satu masa saya yang buat semua dari besiang sehingga memasak. Sebabnya kalau saya tak buat yang ini, tidak bermaksud saya tak buat yang itu. Jadi dia bagi ruang. Saya pakai tudung sejak dari PASTI umur enam tahun. Masa Darjah Satu, ada satu hari mak bagi peluang saya tak pakai tudung satu hari ke sekolah. Balik dari sekolah Pak Ngah marah sebab tak pakai tudung. Sedangkan budak Darjah Satu bukannya baligh lagi. Orang dewasa tahu perkara ni. Lagipun, saya sendiri yang rasa pelik dan lebih selesa bertudung.

Bagi dia ruang untuk gagal sekali sekala, bagi dia peluang untuk berusaha lagi. Semua orang perlukan ruang dan peluang dalam hidup ni. Agar dia dapat memilih yang terbaik kemudiannya.

Apabila manusia diberi ruang dan peluang, mereka dengan sendirinya akan rela hati melakukan apa sahaja permintaan sebagai penghargaan atas timbang rasa yang seseorang bagi kepada mereka.

Jadi, saya perlukan ruang untuk selekeh juga sekali-sekala, sebab dengan itulah saya sentiasa bersemangat untuk kekal anggun berseri~ Alahh… selalunya pemakaian saya bergantung kepada urusan saya. Biasalah tu…wallahualam. Cubalah fahami diri ini



Thursday, October 3, 2013

Rumahku Syurgaku


Kenapa saya suka rumah saya? Sebab…

Situasi di Bangi, sentiasa menggelupur kepanasan. Serius panas dia menggigit kulit walaupun pukul 5 petang. Rasa macam bila-bila masa sahaja boleh kena strok panas.

***

Pergi Langkawi pun sama. Panas menghitamkan. Tapi, Alhamdulillah hanya sehari panasnya. Hari kedua dan ketiga, hujan juga di beberapa tempat. Satu hari dah boleh pusing pulau. Merempit dengan motor sekali sekala memang menyeronokkan. Masih mahir memegang handle motor rupanya. Pengalaman pulang naik bot musim-musim hujan ni memang tak dapat dilupakan. Dalam banyak-banyak kenangan manis yang dicipta, kenangan pahit juga yang merosakkan memori. Sewaktu keluar dari kereta sahabat, ayahnya berpesan;

‘Laut tengah beralun, jaga-jaga nanti muntah.’

Saya ingat saya takkan melalui perkara tersebut dan mengambil ringan pesanan pak cik. Lagipun, selama ni belum pernah muntah hijau lagi waktu atas bot. Sudahlah kehujanan semasa pulang dari Makam Mahsuri, memang tak sempat nak buat apa-apa terus balik.

Bot pulang tidak sama dengan bot saya datang. Keadaan di dalamnya lebih sesak. Dapat pula tempat duduk di tengah-tengah dan tersepit, saya memang berada dalam keadaan yang tak selesa dengan pakaian agak lembap.

Waktu bot membelah lautan, saya cuba untuk tidur seawal mungkin seperti mana waktu saya datang. Cubaan saya gagal sebab ada seorang akak di sebelah saya begitu ramah untuk menceritakan setiap inci kehidupan dia kepada saya. Saya tak minta pun. Saya hanya menegur dia untuk tahu nombor tempat duduk dia. Sekali dia buka mulut cerita tujuan dia di Langkawi dan seterusnya.

Bagaimana dia merupakan isteri kedua, baru setahun berkahwin, perasaan takut tak disayangi satu hari nanti, suami orang tu suka sangat dekat dia, hantaran RM 18 000, berjumpa masa dia kerja di Langkawi dan berkawan biasa semasa masing-masing masih bujang (menjadikan semakin kuat perasaan tak suka saya kepada sikap suka berkawan berlainan jantina walaupun kononnya KAWAN BIASA!- inilah punca masalah di kemudian hari...kenapa orang tak faham yang antara lelaki dan wanita tidak ada istilah berkawan kecuali urusan penting? Memang la..),  kemudian dia berkahwin dulu dan lelaki tu frust sewaktu pulang belajar dari England dan dapati dia dah kahwin, kemudian lelaki tu  pun berkahwin. Kemudian akak tu bercerai dengan suami pertama dia dan lelaki  yang sudah berkahwin tadi nak ambil dia jadi isteri. Alasannya, isteri dia tak pandai layan dia. Macam mana seorang manusia boleh ceritakan kisah peribadi dia kepada orang asing dalam masa tak sampai 1 minit kenal? Akak tahu tak akak dah menyebabkan saya semakin takut dan tak suka kat lelaki?~(maaf, iklan sebentar.)

Keadaan bot pada masa itu ibarat roller coaster dipukul alun. Bezanya roller coaster ni sampai dekat 2 jam. Sekejap bot naik tinggi dan tiba-tiba menjunam tajam macam nak masuk ke dalam laut sebelum naik kembali. Kiri kanan teroleng-oleng. Dengan bau wangian akak tu yang menusuk hidung, saya dah kepeningan. Ditambah pula suara dia bercerita yang masuk ke kepala, isi dalam perut saya tiba-tiba beralun juga.

Saya pandang pak cik sebelah. Dari tingkap bot kelihatan air laut beralun ganas paras tingkap. Semakin pening. Jangan tengok.

‘Pak cik, saya rasa macam nak muntah.’

‘Hmm...’ Jawab pak cik tu. Tu je? Hmm?

‘Saya tak suka muntah, nanti sakit..’

‘Hahaha.’ Saya tak buat lawak la pak cik. Muka saya kelat. Pak cik  ni tak bersimpati langsung. Memang la…

‘Dah 3,4 hari laut beralun macam ni.’

Tu jelah respon dia yang paling panjang. Satu pun tak bersangkut keadaan saya. Kot-kot la nak bagi tips sebab sebolehnya saya tak nak muntah. Nanti sakit. Saya cuba guna tips yang saya tengok dalam drama Korea. Penipu. Tak hilang pun. Memang akhirnya saya terpaksa muntah juga. Kali terakhir muntah masa keracunan Tahun 2, saya muntah kembali. Saya muntah sampai saya rasa macam perut saya nak keluar dari mulut. Badan dah mengerekot dah. Terdetik, macam ni perasaan nyawa nak keluar dari badan. Nak bernyawa pun tak lepas. Menangis la juga setitis dua. Akak kat sebelah tu tolong tepuk-tepukkan belakang, bagi minyak cap kapak dan mentos. Saya selalu rasa saya akan sihat jadi tak pernah bekalkan apa-apa ubat pun kalau pi mana-mana. Perasan kuat. Saya ingat saya boleh kawal diri dari jatuh sakit, tapi gagal.

Geram juga dengan keadaan yang sempit, akak yang banyak bercakap, bau minyak wangi dia (tapi juga berterima kasih sebab bantu). Semua tu menyumbang kepada simptom pertama nak muntah. Kalau naik roller coaster, walaupun pening, tetapi keadaan yang teruja, bebas nak ketawa keseronokan masa turun naik menyebabkan kita tak rasa nak muntah berbanding keadaan duduk statik sebegini. Betullah laughter is the best medicine. Masa kita ketawa, ia sebenarnya membantu penghasilan antibodi. Kita enjoy the riding.

Macam waktu naik roller coaster di Times Square, memang sakan ketawa. Turun pening terhuyung hayang beli jus oren lepas tu sambung naik tomahawk, lepas tu sambung lagi dan lagi dan lagi semua yang ada di situ. Saya bukannya apa, jatuh imej bila muntah ni~such an embarrassing sight to behold…

Budak-budak tak ada yang muntah sebab diorang menjerit seronok waktu bot teroleng-oleng. Masa pening-pening tu saya rasa macam nak keluar dari kabin tu dan lari atas dek tengok laut. Baru tak rasa nak muntah macam pergi Pulau Jerejak hari tu. Bolehlah ketawa puas-puas. Tapi nanti kang tak pasal-pasal terpelanting dalam laut. Dah la tak pandai berenang. Ini duduk dalam tempat sempit dengan orang ramai. Pengaliran udara tak baik. Memang perasaan saya sangat tak best dan akhirnya saya tersandar tidur juga sebab badan dah lembek.

Pesanan ringkas dari penaja, jangan pergi pulau waktu musim tengkujuh atau hujan.

Peliknya, lepas turun dari bot terus hilang perasaan nak muntah.

(masa sihat bolehlah nak poyo)

***
Kembali kepada topik asal. Saya mengambil masa lama bertapa di rumah sebab di sini musim hujan…. BAHAGIAnya! Bermula selepas Subuh, hujan turun dengan lebat sampai pukul 11 lebih. Berhenti sekejap kemudian lepas Zohor sambung pula sampai Asar. Berhenti sekejap, sambung pula lepas Maghrib sampai tengah malam. Berhenti dan kemudian sambung pula selepas Subuh. Begitulah selama beberapa hari sehinggalah hari saya terpaksa berangkat pulang. Langit mendung selalu. Tangan dan kaki sentiasa sejuk sampai terasa ke tulang. Kadang-kadang saya pandang langit dan terfikir bila-bila masa sahaja salji boleh turun~

Musim hujan tandanya musim menyemai padi di utara tanah air. Di belakang rumah kedengaran bunyi traktor membajak sawah sebab bendang dah penuh air jadi tanah lembut. Malam-malam katak dendangkan lagu serangkap dua buat peneman lena. Patutlah saya suka sangat berada di kampung. Aroma hujan dari bendang sungguh mengasyikkan…

Di Bangi, malam-malam sunyi sepi dari suara binatang selain dari bunyi tikus berlari atas siling.

Sekadar selingan...

Cerita pasai musim padi ni, teringat kakak angkat saya pernah beritahu ciri-ciri lelaki idaman dia ialah lelaki kampung. Kulit sawo matang dibakar matahari, kerja bendang, tangan kasar…haha. Patutlah sampai sekarang belum berpunya. Mungkin belum berjumpa ciri-ciri yang diimpikan. Nak jumpa macam mana, dia duduk di KL. Lagipun, tengok orang yang kerja bendang semua orang tua-tua. Tak ada pun orang muda macam dalam drama tu. Alasan dia lelaki macam tu pandai berdikari, bertanggungjawab dan gagah. Lucu. Kalau saya, saya tambah lagi satu kualiti- rajin membaca. Bukan apa, kalau tak nanti bosan bila bersembang dengan dia asyik cerita tentang bendang sahaja~ katak bawah tempurung is a big no, no.

Tapi baru-baru ni saya pernah terbaca dalam akhbar seorang lelaki melawan 5 orang perompak yang masuk ke rumahnya. Walaupun mereka bersenjata, dia lawan juga sebab nak melindungi mak dan adik perempuannya yang kena kepung dengan perompak. Selepas perompak tu lari baru dia sedar tangan dia kena tetak sampai nampak tulang dan beberapa tempat lain lagi. Dia beritahu dia hanya ingat mak dan adik perempuan dia sahaja masa tu dan tak fikir diri sendiri. Lelaki tu kerja kampung. Terkesan saya baca. Dan seorang lagi senior pernah beritahu tak kisah kalau dapat lelaki kampung tak habis sekolah pun asalkan dia tahu tanggungjawab dia daripada lelaki yang berpelajaran tetapi main-main dengan hati perempuan. Kalaupun saya tidak bercita-cita seperti mereka, tetapi saya tahu perasaan yang dicari~ ketenangan dan dilindungi. Ini yang saya rasa semasa di kampung.

Apa diharap padi seberang,
Senduduk tidak berbunga lagi,
Apa diharap kasihnya orang,
Dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi.

Rindu dekat kampung macam rindu dekat kekasih… tinggal sekejap dah rasa rindu…


Monday, September 23, 2013

Hakikat dunia II

Saya ambil masa sebelum tidur malam ni untuk merefleks semula peristiwa yang saya tempuh hari ini. Semasa ianya masih berbekas di hati. Akhir-akhir ini, saya selalu mengambil peluang melibatkan diri dalam aktiviti dakwah yang dijalankan oleh Majlis Dakwah GAMIS. Bermula dengan Simunjan pada bulan Ogos, hari ini pada bulan September di Gombak dan insyaAllah akan ke Cameron Highland pada bulan Oktober pula. Dan di tempat-tempat lain pada bulan-bulan seterusnya jika ada rezeki. 

Kadang-kadang, pertemuan kita dengan orang yang kurang bernasib baik berbanding kita lebih mudah menyentuh hati kita dan memberikan keinsafan betapa beruntungnya diri kita berbanding mereka. 

Roshidan. Seorang pemuda berusia 28 tahun tetapi memiliki pemikiran seperti kanak-kanak berusia 8 tahun. Dia datang duduk di kerusi berhadapan dengan saya semasa saya sedang bersihkan meja makan di dapur.  Disebabkan dia kelihatan seperti kanak-kanak berbanding seorang dewasa, saya mula berbasa-basi, tanya nama kemudian umur. 

’28 tahun. Tapi belum kahwin lagi. Tak nak kahwin.’

Saya tergelak dengan jawapan dia dan semakin tertarik nak tahu kisah hidup dia.  Dia pun macam suka bercerita. Sambil membelek-belek keychain yang tergantung di leher, dia bercerita seperti kanak-kanak sambil melirikkan senyuman yang lambat. 

Dia anak yatim piatu. Ayah dia meninggal dahulu sebelum mak dia 5 tahun lepas. Waktu dia cakap dia selalu teringatkan mak dia, dada saya sebak. Dia cakap dia selalu kopek kelapa dengan arwah mak dia semasa hidup. Sepintas lalu, nampak seakan-akan air mata dia bergenang sebelum dia alih cerita yang dia menghidap masalah buah pinggang. Buah pinggang dia hanya ada satu sekarang ni. Satu lagi sudah dibuang dan dia kena makan ubat selalu.

Saya akan bertambah sedih kalau dia sebatang kara. Tapi kurang apabila dia masih memiliki kakak dan abang yang masing-masing bekerja dan berkeluarga. Dia anak bongsu. Mereka masih mengambil berat kebajikan dia. Datang melawat dan beri duit serta beli ubat. Cuma kehidupan di situ kurang serba serbi. Kadang-kadang hari-hari makan sardin sahaja. 3 kali sehari makan. Sebak dengar.

Saya tanya, belajar apa di sini? Dia bagitahu belajar Al-Quran dan sembahyang. Saya cakap sembahyang tinggal tak?

‘Kadang-kadang penuh, kadang-kadang tinggal.’

‘Kenapa tinggal? Mana boleh tinggal.’ Dia hanya senyum sumbing sebelum berkata.

‘Kena sembahyang baru boleh doa kat mak. Baru boleh jumpa mak dan ayah dalam kubur nanti. Kalau tak sembahyang tak boleh jumpa.’

Hati bagai disayat dengar jawapan dia. ‘Kalau macam tu janganlah tinggal solat, kena sembahyang penuh.’
Apabila ditanya belajar sampai mana? Dia jawab darjah enam.

‘Kenapa tak sambung?’

‘Tak nak. Abang Shidan kena buli masa sekolah menengah dengan budak Cina. Dia tak mau hisap rokok, diorang belasah dia. Shidan takut nanti kena buli. Tak mau pergi sekolah.’

Saya boleh bayang keadaan tersebut. Dunia ni memang penuh dengan kesedihan. Orang yang dilihat lemah seringkali diambil kesempatan dan dilayan dengan buruk. Yang kelihatan tidak seperti manusia normal yang lain sentiasa diketawakan. Bahasa kasarnya dianjing-anjingkan. Saya memang benci sikap suka menganjing atau mengajuk cakap orang walaupun niat nak bergurau. Menyakitkan hati. Dia cakap nanti lepas kakak dia pencen, dia akan  jaga kakak dia. Kami berbual beberapa perkara lagi sebelum saya minta diri.

Daripada cerita-cerita dia, saya fikir dia kesunyian dan dahagakan perhatian. Perhatian yang saya bagi tu hanya menghilangkan kesunyian tersebut buat seketika cuma. Waktu saya sedang bersalam dengan peserta lain, dia panggil. ‘Akak dah nak balik?’ (Dia panggil saya kakak walaupun dia lebih tua banyak tahun).

‘Nanti datang la lagi.’ Memang ada nada pengharapan di situ. Selepas bergambar, dia panggil saya sekali lagi dan lambai. Sahabat mengusik cakap dia sukakan saya. Saya hanya mampu memberi telinga mendengar kisah hidup dia, bukan wang dan kasih sayang. Saya miskin, dia pun miskin. Tetapi keadaan saya lebih baik dari dia. Jadi jika dia gembira dengan perhatian yang saya bagi walaupun sekejap cuma, biarlah. Moga jadi kenangan indah buat dia. Dunia ni sudah cukup sedih untuk  kita melukakan hati orang yang lebih banyak kesedihannya berbanding kita.


Apa yang saya dapat simpulkan, dengan mendengar sebenarnya kita dapat gembirakan ramai manusia yang kekurangan perhatian. Jadilah pendengar yang baik. Wallahualam.

Saturday, September 14, 2013

Hakikat dunia

Hidup ini penuh dengan kesedihan…

Dulu masa sekolah rendah, ada sebuah keluarga tinggal betul-betul bersebelahan Masjid Jamek, Padang Menora. Rumah papan tu tersorok diapit oleh rumah batu bomoh patah dengan rumah batu Penghulu kampung. Kalau saya pergi ambil tandatangan Penghulu, saya berpeluang melihat rumah tersebut. Tapi tak berani nak dekati. Penghulu ada dua orang anak lelaki yang saya selalu nampak. Abangnya bisu manakala adiknya normal. Usia abangnya mungkin sebaya saya. Kalau dia nampak saya, kadang dia senyum, kadang dia melarikan diri.

Rumah papan di sebelah masjid tu dihuni oleh sepasang suami isteri yang memiliki 3 orang anak. Seorang anak lelaki dan dua perempuan. Anak sulungnya yang lelaki terencat akal. Begitu juga adiknya yang kedua. Kawan saya yang bagitahu. Ada yang cakap adiknya yang bongsu terencat juga, ada yang kata normal. Tapi mereka tetap ke sekolah dan belajar seperti mana murid-murid lain belajar. Saya selalu jumpa mereka semasa sekolah Arab waktu petang. Abangnya tua beberapa tahun dari saya. Nazri dan Nazirah. Mereka berdua selalu jadi mangsa buli. Selalu diketawakan. Tapi mereka hanya ketawa balik. Macam tak ada apa-apa.

Pernah satu masa, waktu saya naik ke kelas, kebetulan Nazirah berada di koridor. Waktu tu hujan. Ada beberapa orang pelajar lelaki sedang ketawakan dia. Saya hampiri mereka. Saya ingat saya marah mereka sebab ketawa dan ganggu dia. Salah seorang dari mereka kemudian bagitahu dia makan tahi kelawar. Ada pula yang bagitahu kawan mereka yang suruh dan dia ikut. Memang di koridor tersebut ada tahi kelawar menitik jatuh dari bumbung apabila hujan. Saya lagi bertambah marah sebab mereka tak halang dan hanya ketawakan dia. Saya tarik dia pergi. Pergelangan tangan dia kecil sahaja, macam pegang tulang. Saya dah tak ingat apa yang berlaku seterusnya. Dia hanya ketawa sedangkan saya hampir nak menangis lihat keadaan dia…

Kemudian saya dah tak jumpa mereka. Saya berhenti sekolah Arab semasa darjah 5 untuk beri tumpuan kepada UPSR dan mereka pula jarang-jarang datang sekolah kebangsaan. Kadang-kadang saya terjumpa mak atau ayah mereka mengayuh basikal. Air muka mak dia lembut dan mudah tersenyum. Tapi air muka ayah dia serius. Berwajah cengkung. Berita terakhir saya dengar mengenai mereka, Nazirah sudah meninggal sebab masalah jantung. Saya tak tahu apa terjadi kepada abangnya.

Dari kecil melihat kesedihan sebegini, saya jadi sensitif tengok orang kena buli. Kadang-kadang saya marah orang yang dibuli tu, kenapa biarkan diri dibuli? Kenapa tak pertahankan diri? Rasa macam nak lindung mereka walaupun mereka tak harap pun…nak mereka rasa yang ada orang peduli…tahu ada orang tak suka pun apa yang orang lain buat kat mereka… 

Dibandingkan dengan mereka, seharusnya saya berhenti mengeluh...

Thursday, August 29, 2013

u.n.i.k

Sebelum pulang ke semenanjung, sewaktu sedang menunggu di balai berlepas, saya mendapat peluang percuma berbual dengan seorang ustaz. Itupun beliau yang terlebih dahulu memanggil saya. Selepas sesi berbual dengan beliau, kami terus beratur untuk masuk ke perut kapal terbang. Rupa-rupanya sesi tersebut menjadi rebutan sahabat-sahabat perempuan yang lain. Masing-masing frust sebab saya dapat peluang tersebut tanpa perlu menunggu. Bagi yang sudah mendapat peluang, dikongsikan apa yang dibincangkan dengan ustaz. Tak terlepas muslimin yang sibuk juga nak tahu apa yang dibincangkan oleh saya dan ustaz. Ustaz hanya tersenyum dan tidak melayan pertanyaan mereka. 

Seputar kejadian tersebut, hari ni baru saya teringat ustaz ada tekankan di akhir perbincangan. 

'Dia ni unik.' sambil membuat isyarat ibu jari sebelum menyambung. 'Terbaik...'

Unik?

Jarang orang gunakan perkataan unik untuk terangkan tentang seseorang. Nak minta ustaz huraikan tetapi segan pula.

 Adakah macam rare gitu. Jadi, kena tanya encik Google sahaja.

Unik 

1)tidak menyerupai sesuatu yg lain; hanya satu-satunya; tersendiri. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
2)tidak sama dgn yg lain, lain drpd yg lain, tersendiri, luar biasa, istimewa (Kamus Dewan Edisi Keempat)


Jadi betullah macam rare gitu...

Sebenarnya, semua insan kat muka bumi ni unik sebab tidak ada sesiapa pun yang boleh menyerupai kita. Tapi mungkin ada kualiti yang ustaz lihat sehingga boleh dicop unik. Mungkin satu masa nanti saya akan minta ustaz jelaskan. In the meantime, semoga kekal dalam keunikan... :)



Saturday, August 3, 2013

Mood raya

Hari ni ditinggalkan keseorangan di UN. Warga UN ada yang sudah pulang ke kampung halaman sejak dari pertengahan bulan puasa. Semalam baru hantar seorang sahabat ke Hentian Kajang untuk pulang ke Pantai Timur. Warga UN selebihnya yang masih belum pulang ke kampung halaman, pergi shopping barang-barang raya di Jalan TAR hari ini. Saya diajak, tetapi saya memilih untuk berada di rumah. Diorang pergi pun waktu tengah hari tadi.

Saya      : Tengah hari baru nak keluar, panas time ni nak jalan-jalan..
Sahabat : Gini la orang perempuan, panas-panas pun sanggup... (sambil ketawa)


(jalan tar)

(VS)

(Jalan TAR)
~saya lebih suka jalan tar yang kat atas~

Saya tolong sambungkan, sanggup sebab nak shopping. Ayoo...sudahlah panas, sesak pula dengan manusia. Tambah-tambah nak dekat raya ni. Saya bukan orang perempuan gamaknya, tak sanggup bergelumang dengan manusia-manusia semata-mata nak shopping.  Awal puasa hari tu, kebetulan saya ada mesyuarat di Masjid Jamek, KL dengan sahabat Gamis, jadi sesudah mesyuarat saya dan seorang sahabat jalan-jalan di Jalan TAR mencari sandal. Nak mencari sandal jer pun kena masuk keluar kedai sebab tak jumpa yang berkenan selain harga dia terlalu mahal. Kalah nak cari kasut Cinderella. Dari Pasar Seni ke Jalan TAR, ke Sogo, ke mana ntah lagi pasaraya, baru jumpa. Itupun sahabat saya nak bawa lagi ke tempat lain. Lenguh kaki-kaki berjalan dalam hujan merempuh manusia-manusia yang macam semut dengan pelbagai bentuk dan keadaan. Nasib baik hujan, sejuk la juga walaupun keadaan jalan yang becak. Memang serik. 

Saya tanya macam mana la dia tegar bershopping di Jalan TAR yang penuh dengan manusia pelbagai rupa tu. Dia bagitahu, dari kecil lagi dia selalu shopping di sini sampai hati dah jadi kering melihat gelagat manusia. Saya tengok manusia yang kurang bernasib baik, hilang mood nak membeli-belah. Dia boleh gelak-gelak lagi. Memang hati kering. Jadi saya memang tak nak pergi dah kecuali jika memang ada hal di sana. Banyak lagi tempat lain boleh shopping dengan tenang.

Beruntung kain untuk baju raya tahun ni semua mak saya yang borongkan siap-siap dengan kakak. Saya tak masuk campur langsung. Kalau dahulu masa kecil-kecil saya jenis yang cerewet. Baju saya, mesti saya sendiri yang pilih. Orang lain pilih semua saya tak berkenan. Sampai satu tahap mak saya merajuk sebab saya tak nak pakai baju yang dibelinya. Yer la, bukan saya tak bagitahu, saya dah cakap jangan beli baju kalau saya tak ada sekali. Sebab saya mesti tak berkenan sama ada dengan corak atau warna. Baju t-shirt pun tak boleh. Tapi bila mak dah merajuk, saya pakai la juga. Terbukti baju t-shirt tu sangat seksi. Menyesal saya walaupun masa tu masih di sekolah rendah. Entah ke mana saya hilangkan baju tu.

Bila dah besar-besar ni, mak macam dah faham corak dan warna yang saya suka jadi saya dah tak banyak songeh dah. Redha jer. Kakak dari dulu senang sebab dia suka warna hijau, jadi belilah apa corak sekalipun, asalkan hijau semua jalan. Saya ni susah sikit sebab ikut sedap mata memandang.  Jadi tahun ni mak borong 4 pasang kain untuk saya dari merata alam. Rasanya yang terbanyak sepanjang hidup ni. Mungkin sebab saya dah boleh pakai baju yang dia belikan, jadi dia semangat nak membeli lagi. Ada yang dari Kelantan, peniaga kain, dan Jakell. Hah, tahun ni mak berjinak-jinak dengan Jakell. Sebelum-sebelum ni selalunya dibeli kain dari Nagoya atau Kamdar, tahun ni nak cuba pula tempat baru. Sempat saya temankan dia shopping kain nak buat langsir pintu, sampai terduduk sebab lenguh kaki. Abah dari awal lagi dah berehat dalam kereta.

"Aii...macam mana nak shopping ni, tak dan apa-apa dah duduk." kata mak.

Saya suka shopping dengan mak sebab dia pandai tawar harga. Kalau masa kecil macam malu tengok dia dok bergaduh dengan Cina, tapi bila dah besar-besar saya lebih suka tunggu balik Penang nak beli apa-apa barang pun sebab mak memang arif tempat shopping murah di Penang ni. Dan tempat shopping yang dituju bukanlah sesak dengan manusia pelbagai jenis seperti Jalan TAR. Lebih tenang untuk memilih dan belek-belek. Peniaga kalau tengok mak mesti nak bagi murah. Kalau dengan sahabat-sahabat, diorang ni asal berkenan terus beli walaupun bagi saya, ada lagi tempat murah. Err... kalau sembang pasai shopping memang tak habis la kan~ saya masih seorang perempuan rupanya...

Ringkas cerita, tahun ni boleh dikatakan saya tak shopping barang-barang raya. Baju mak belikan, tudung beli online dan dari kawan-kawan. Saya rasa ok begini. Lebih tenang. Kalau ikutkan saya, sambut raya tak perlu la nak bersangatan semua benda. Cukup sekadar sembahyang raya dan kemudian mungkin ziarah saudara terdekat. Risau kalau seronok sangat, mesti sedih kemudiannya. Nauzubillah... Bersederhana itulah yang terbaik. Dalam apa-apa hal, saya memilih untuk tidak mengikut mood masyarakat sekeliling dan lebih suka tunggu dan lihat sebelum memilih tindakan seterusnya. Bagi saya, masyarakat sekarang macam lalang, tak perlu lihat di luar, dalam FB pun boleh tengok. Kita boleh lihat siapa yang selalu menjadi lalang dan terikut-ikut dengan isu yang bertiup dalam FB yang belum tentu hujung pangkal. Prinsip berita itu perlu diselidik, bukan disebar2. Segelintir sahaja yang mempunyai pendirian dan prinsip tersendiri dalam meneliti sesuatu berita atau isu. Wallahualam...


(Saya fikir malam semalam Lailatul Qadar- malam ke-25 Ramadhan)



Menikmati hari-hari Ramadhan yang masih berbaki...

Friday, August 2, 2013

Subky Latiff

Marathon menghabiskan bacaan semua karya Subky Latiff:


-Malaysia ke Arah Pemikiran Islam
-Dilema Pemuda UMNO
-Siapa Ganti Asri?

Sebenarnya ia lebih kepada 'ketagihan' (kalau kita boleh guna perkataan ini) membaca penulisan beliau. Ada beberapa lagi buku beliau yang disimpan di Perpustakaan Tun Sri Lanang tetapi ini sahaja yang sempat dipinjam buat masa sekarang. Beliau memang penulis yang memiliki gaya tersendiri. Ramalan-ramalan atau bacaan-bacaan politik beliau kebanyakannya tepat dengan apa yang berlaku kemudiannya. Kiranya beliau sangat bijak membaca suasana dan kemudian menjalinkannya dalam penulisan. Setakat ini memoir individu yang saya baca selain beliau, Ahmad Mustapha Hassan, Membina dan Meruntuh Malaysia, penulisan beliau paling baik dan best dibaca. Cara pengolahan beliau santai tetapi bernas. Itulah komen peribadi saya.

Bagi saya, politik Malaysia sangat membosankan dan biasa-biasa sahaja kalau dibaca melalui buku-buku penulis lain, tetapi melalui penulisan beliau, politik Malaysia jadi menarik untuk diambil tahu. 

Saya mendoakan kesihatan dan panjang umur beliau agar saya diberi peluang dan kesempatan bertemu dengannya satu hari nanti. Semalam dah sampai termimpi-mimpi saya jumpa dengan beliau dan berbual-bual sebab baca buku sampai blackout. Moga menjadi kenyataan.


Tuesday, July 30, 2013

Merdeka

Apakah kelemahan orang berkuasa dan orang kaya?
Jawatan/kedudukannya dan hartanya.

Sebab itulah orang selalu gunakan mahasiswa sebagai kuasa ketiga (third force) sebab 'we've got nothing to loose.'


Kelemahan mahasiswa yang mampu mereka gunakan sebagai senjata untuk melemahkan kita ialah- ibu bapa dan sumber kewangan. Bukan semua termakan tetapi banyaknya yang layu. Mereka sentiasa takutkan golongan muda dengan harapan kita mendiamkan diri dan terima sahaja apa yang mereka lakukan. Mereka menyebut-nyebut kelemahan kita dengan hasrat melindungi kelemahan mereka.

Sebenarnya golongan ini lagi penakut hatta dengan bayang-bayang sendiri. Kalau ikut John Gray, orang yang mudah melenting atau panas baran (nampak egois, keras dan kuat) sebenarnya makhluk yang lemah. Tambah-tambah orang berkuasa dan kaya ni. Dan saya sentiasa ingat perkara ni semasa bersama para aktivis. 
(Obey the law of Allah and repeat after 'me'- I am free)



***

Saya terdetik nak buat ulasan ni sebab pagi tadi waktu nak ke UKM menaiki PDW, selepas dari lampu isyarat depan KTM UKM, ada satu kereta BMW (rasanya) di laluan sebelah kiri. Kereta sebelah kiri selalunya kena masuk ke sebelah kanan selepas lampu isyarat sebab hanya ada satu laluan. Kereta ni memandu di sebelah kiri juga dengan harapan saya yang memang berada di belakang van yang berada di laluan kanan memberi ruang kepada keretanya yang besar tu. Saya tak perasan pada mulanya sebelum ditegur oleh sahabat di sebelah. 'Apehal orang sebelah ni?'

Masalahnya, tak ada ruang antara saya dan van nak mengisi keretanya yang besar. Hadapan keretanya masih berada tidak separuh dari kereta saya. Jadi, saya buat tak tahu sebab saya kecil dan saya hanya Kancil. Walau bagaimana angkuh pun tindakan dia, dia tetap tak mampu mengorbankan BMW dia untuk bercium dengan PDW saya. Itulah kelemahan dia. I've got nothing to loose. I was aware of that fact walaupun BMW dia lebih hebat dari PDW. Calar kereta dia lebih berkos tinggi selain menjatuhkan imej dia berbanding calar PDW saya yang sememangnya sudah comot. Akhirnya, dia hanya terdaya untuk menekan hon sebagai respon kerana mencalarkan ego dia yang terpaksa berada di belakang saya. 

Mendekati pagar belakang UKM, saya masuk ke laluan kiri dan dia memotong di laluan kanan. Peringatan: Never look into the eyes of anybody except if you want to apologize and admit your mistake. There was no harm made. Jadi, saya biarkan sahaja seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Biarkan BMW dengan labu-labunya. The End.

***
Nasihat bijak pandai, kita boleh memiliki harta, tetapi jangan biarkan harta miliki kita. Kaya tapi tak cinta harta seperti kata seorang senior, Kak Hajar. Sebenarnya menjadi muda ini merupakan kebebasan tertinggi dalam hidup seorang insan. Belum ada komitmen, hati tidak banyak terikat kepada dunia. Saya suka keadaan begini. Kita diberi kebebasan untuk menentukan nasib hidup sendiri. Sayang kalau tak pandai menggunakannya. Menjadi kecemburuan orang-orang tua. Tapi kehidupan sebegini ada hadnya. Melepasi umur emas* ini, keterikatan kita kepada dunia sangat merisaukan apabila kita sudah mempunyai komitmen. Nanti dah ada suami, isteri, anak-anak, harta, hidup makin terbuang memikirkan perkara ni- walapun aset ini juga boleh membuatkan kita ke syurga, aset ini juga sebenarnya boleh menghunjam kita ke neraka, lagi berganda ujian yang perlu dihadapi. Risau kita terlebih memikirkan mereka-mereka ini berbanding Tuhan. Nauzubillahiminzalik.


"Every marriage has its tests. Those who pass them are content. Those who fail, regret."


-- Mufti Ismail Menk --



'The cave you fear to enter holds the treasure you seek.'

Tiada kemerdekaan hakiki selain kita tidak merasa ketergantungan kepada selain dari Allah s.w.t. Itulah kekuatan sebenar. Tak rasa sedih kalau apa yang kita miliki luput dari kita--- saya memang nak sangat-sangat rasa ini. Macam tadi, tak rasa inferior pun dengan BMW. Puas hati. Merdeka. Walaupun lambat lagi sambutan kemerdekaan~ Dan saya yakin inilah perasaan yang membaluti pejuang-pejuang di Syria, Mesir, Palestin- we have got nothing to loose. Hidup mulia, mati syahid. 

(kudaku lari gagah berani~~)

Yeah, saya perlu belajar lagi untuk kurangkan rasa memiliki. Perlu. Period.

* Umur emas atau warga emas seharusnya orang muda bukan orang tua. Seharusnya orang tua dilabel dengan gelaran lain dan kurang bernilai barulah dia sedar dirinya tidak dimahukan di dunia ini dan berusaha mencari jalan dan persediaan ke alam lain. 

p/s: the feeling of having nothing to loose is just perfect. 

Sunday, July 28, 2013

Cahaya Dhuha



Cadangnya pagi tadi nak melihat mentari dhuha terbit melalui tingkap bilik sambil menaip entri terbaru. Namun, end up duduk di Masjid Hasanah mendengar pengajian kitab. Teringat dulu selalu dengar kuliah Subuh Ustaz Azli di Irshad. Guru Bahasa Arab yang berjaya buat saya dapat A dalam SPM sebab takut nak tidur dalam kelas dia. Penyampaian dia serius, tenang dan suaranya serak-serak basah. Jangan harap dia nak buat lawak macam UAI. Katanya banyak ketawa dalam majlis ilmu tak memungkinkan ilmu tersebut diingati dengan baik. Sebabnya nanti keluar dari surau dah terlupa sebab banyak gelak semasa mendengar kuliah. Syaitan juga akan memenuhi majlis tersebut. Wallahualam. Dia berkelulusan Universiti Madinah. Jadinya, setiap kali dia bagi kuliah Subuh, ramai manusia terutamanya muslimat yang syahid di belakang. Bergelimpangan macam para syuhada' di medan perang dalam telekung putih mereka. Kalau yang malu sikit, bersandar di bahu sahabat sebab nak cover. Saya antara mangsanya. Boleh saya katakan, habis saja kuliah, hanya beberapa kerat sahaja yang survive. Sahabat saya cakap, setiap kali saya dengar kuliah dia, mata saya akan bersinar-sinar, sebab tu saya tak mengantuk. Saya seronok sebenarnya dengar kuliah dia. Sahabat-sahabat cakap kuliah dia boring dan mengantuk sebab suara dia senada. Masing-masing ada pendapat sendiri, tapi saya suka keseriusan dalam penyampaian ilmu. Menunjukkan perkara tersebut penting dan perlu diberi perhatian. Tak tahu ke mana saya hilangkan buku koleksi kuliah dia selepas habis belajar. Oh ya, ada seorang junior ni jumpa kemudian berkeinginan menyimpannya, jadi saya halalkan saja. Entah apa-apa yang diconteng. 

Saya ceritakan sebab banyak juga muslimat yang sudah memejamkan mata dan tersengguk-sengguk dalam kuliah Subuh ni termasuklah orang sebelah saya yang semangat nak datang~

Kalau tonton drama pula, saya tak suka drama yang sedih-sedih, serius-serius. Seringkali saya cakap kepada sahabat yang selalu menonton drama- hidup kita ni dah terlalu sedih dan serius untuk kita tonton pula drama sebegitu. Kalau mengikut nasihat Syaikh Dr. Aaidh Abdullah Al-Qarni dalam You Can Be The Happiest Woman In The World, beliau memang melarang wanita daripada melihat soap opera sebab ia boleh mempengaruhi emosi dan merosakkan pemikiran. Kalau ikut mak saya, dia larang tonton drama waktu mengandung, sebab nanti anak keluar jadi perangai macam dengan yang kita selalu tonton. Kalau drama nangis, anak keluar selalu menangis, kalau selalu menjerit, anak pun selalu menjerit. Lucu pun ada, tetapi mungkin ada benarnya. Kadang-kadang saya cuba juga duduk dan tengok dengan sahabat-sahabat, tetapi tak lama. Sakit jiwa dengan kebodohan yang disengajakan.

Sebenarnya, entri kali ni bukan nak cerita tentang kuliah Subuh, tetapi pengalaman berbuka puasa semalam di Stadium Tertutup MPSJ. Ameerah dijemput untuk bersama-sama dengan anak-anak perantau Kelantan berbuka puasa sebagai penghargaan kerana membantu semasa PRU. Dengarnya YB Mumtaz dah tempahkan meja untuk Ameerah, jadi saya pun pergi ditemani seorang sahabat. Sampai di sana, tidak kelihatan sebarang meja. Yang ada hanyalah bungkusan makanan di atas tikar. Usai solat Maghrib, barulah boleh menghadap hidangan. Saya tanya salah seorang akak di situ, mana YB Mumtaz. Selalunya dalam kalangan Ameerah, beliau dikenali sebagai Kak Taz saja. Tapi saya rasa canggung nak panggil memandangkan tak kenal rapat pun dengan beliau. Sekali akak tu tunjukkan di sebelah saya. Terkejut juga melihat beliau berada di sebelah saya selang dua orang. Bersila atas lantai dan makan nasi bungkus. Sempat saya tengok beliau tertumpahkan air sirap dalam cawan plastik... Tak kira lagi sekalian MB dan Exco-exco Negeri Kelantan yang turut berbuat perkara yang sama-bukan tertumpahkan air, tetapi makan bersila...




Saya tak tahu nak ulas macam mana. Even PKR pun majlis berbuka puasanya dibuat dengan rasmi dan makan di atas meja serta dilayan oleh caterer walaupun sekadar majlis dalaman. Tak payah cakap UMNO yang memang dok perabih duit rakyat. Memang sempoilah VVIP PAS ni. Mungkin sebab majlis ni bersifat anok-beghanok, jadi protokol tidak menjadi isu. Cuma saya terfikir satu perkara yang pernah dibangkitkan oleh beberapa individu mengenai jauhnya PAS untuk mendapatkan kepercayaan dan sokongan golongan korporat yang bukan Islam kerana mereka lebih selesa dengan pimpinan PKR. Kadang bukan isu besar yang menjadi masalahnya kerana kita juga mempunyai golongan profesional dan korporat untuk membincangkan apa-apa sahaja isu, cuma kita masih berbeza dunia untuk boleh duduk bersama dan mencapai persefahaman. Kita boleh duduk bersila, mereka nak duduk atas meja. Kita boleh berkongsi, mereka nak privasi. Kita boleh sembang suka-suka, mereka bermuka-muka. Jadi, kalau isu protokol ni, pada pendapat saya, kalau pun pimpinan kita ni memang zuhud orangnya, menjadi tanggungjawab kita untuk menghormati mereka. Walaupun mereka tak kisah, tetapi menjaga imej mereka bukankah perkara yang boleh membawa kebaikan juga? Sempoi sangat pun kurang berkesan sebenarnya...menyebabkan pemimpin kita tak stand out dalam kalangan pimpinan Pakatan. Bukan salah mereka, tetapi salah kita yang melayan mereka lebih kurang. Kalaupun kita nak berbeza dengan mereka, kita perlu bijak jadikan perbezaan tersebut sebagai sesuatu yang eksklusif bukan inklusif. Mungkin nanti mereka akan merasa kagum dan ingin bersama-sama menjadi seperti pemimpin kita. Wallahualam...

p/s: ini sekadar pandangan kecil penulis yang merupakan orang luar dari anok-beghanok Perakan dan menjadi pemerhati. Mungkin itu merupakan kekuatan eksklusif mereka- ikatan erat antara pemimpin dan rakyat yang tiada bandingan.

Wednesday, July 24, 2013

Pengembaraan Roh Ramadhan 15

Pagi tadi usai membaca Al-Quran, saya terlelap di atas sofa. Semalaman tak tidur siapkan manuskrip, jadi saya terus passed out dengan masih bertelekung. 

Sela masa tersebut, roh saya mengembara. Kali ni kembara roh saya jauh sekali. Saya dapat rasakannya. Ianya tak rasa seperti mimpi kerana mimpi adalah sesuatu yang berlaku dalam otak/minda separa sedar kita (kadang-kadang kita tahu yang kita sedang berada dalam alam mimpi). Rasanya macam saya memang tinggalkan jasad sekejap. Saya jalan, jalan dan terus berjalan.

Tetapi apabila bukan masanya lagi, mata saya tiba-tiba terbuka. Keadaannya seperti roh kembali ke jasad dan kita kembali bernafas dan membuka mata. Ada satu perasaan aneh semasa saya membuka mata dan mendapati saya berada di ruang tamu. Minda saya kosong dan hati saya kosong. Macam kita tengah reset sesuatu program selepas ditutup. Baru datang kembali satu-satu memori apa yang telah terjadi.

Saya cuba mengingati kembali perasaan tersebut. Tak mampu nak diungkap di sini. Aneh sekali...yang pasti saya rasa tenang dengan apa yang berlaku. Dan andai roh saya tak kembali, saya mungkin tak tahu apa yang berlaku kepada jasad saya. Sebab kembara itu sudah agak jauh.

Semoga ketenangan ini juga yang dirasa apabila tiba waktunya...Aamiin.


Monday, July 22, 2013

Detik-detik kualiti

2.35 a.m

Berhenti marathon menaip Sejarah Nasional: PRU 1959, 1964 dan 1969 untuk malam ni. Bed time story dulu sebelum berehat.

Sungguh beruntung orang yang dapat menjamin penggunaan masa dalam setiap detik hidupnya seoptimum mungkin untuk perkara kebaikan dan bermanfaat. Saya selalu gagal pada kebanyakan masa, tetapi apabila berjaya mengelakkan diri dari sebarang gangguan yang disengajakan, saya rasa puas hati melihat hasil seperti malam ni. Itupun kena paksa diri. Cuba kalau sedari awal sudah boleh fokus, mesti pencapaian dalam sehari sangat menakjubkan. Ini pun jenuh nak paksa diri untuk kekal fokus. Sebagai hukuman, tak boleh tidur selagi tak siap beberapa mukasurat.

Apa-apa pun, susunlah urusan hidup sebaik-baiknya. Anak muda tak boleh biarkan masa kosong tak terisi. Kalau ikutkan, tak ada isu masa kosong. Hakikatnya kita dah kesuntukan masa. Tetapi kita selalu tertipu dengan diri...Ish3. Belum kira dengan sikap suka bertangguh lagi. Sebab tu lah tak laju dan maju.

Perubahan bermula dari  diri sendiri. Kesibukan ataupun kepandaian mengoptimumkan penggunaan masa sebenarnya merupakan terapi yang baik dari masalah jiwa. Sibuk orang Islam tak sama dengan sibuk orang kafir. Walau sesibuk manapun, ada waktu Allah s.w.t sediakan untuk mereka bermeditasi dan menenangkan diri. Ramadhan adalah waktu yang terbaik. 

Ok, tepat jam 3 pagi. Adios!


Saturday, July 20, 2013

Nasi & mafia

Marahkan ayam, nasi diboikot. Cukup 10 malam memboikot nasi sebab tak nak badan rasa berat nak beribadat. Tapi kalau dah sampai nak gastrik, tak jadi nak boikot sebulan. Sahabat serumah dah pakat bising suruh makan sikit. Jadi, malam ke 12 ni saya jamah la dua tiga sudu. Dah kurang sakit di perut. Sendiri cari pasal. Takut juga nanti jadi gastrik (tak tahu macam mana rasa), mau pengsan...sia-sia tak boleh berpuasa pula. Bila dah makan nasi, tiba-tiba bernafsu pula nak bercerita di blog~~ susah-susah.

Kalau dah keturunan tulang rangka besar, tak makan macam mana pun, masih nampak besar. Tak jadi macam zombie pun. Geram juga. Saya fikir saja nak bereksperimen dengan badan sendiri. Orang cakap nasi lah penyebab kegemukan. Ini bukan masalah nak kurus sebab nak cantik, tetapi nak kurus supaya badan rasa selesa. Rasa ringan saja. Tak perlu tunggu orang tegur kita ni gemuk, tapi kita sendiri sedar keperluan memiliki bentuk tubuh yang menambahkan keyakinan dan keselesaan diri. Jadi terpulang kepada individu masing-masing sama ada nak berpuas hati dengan badan sedia ada atau ubah gaya pemakanan. Tak perlu beli Herbalife untuk kurus, cukup sekadar pandai menjaga pemakanan. 

Sebenarnya kalau berada di kampung barulah saya boleh kurus. Kalau ada di Bangi, kitaran biologi tak stabil sebab tak boleh nak praktik apa yang dibuat di rumah. Terbalik pula bagi sesetengah orang. Diet yang seimbang ialah makan nasi sekali sehari pada waktu tengah hari, ambil sarapan dan jangan tinggal, minum air mineral banyak-banyak dan tidur awal. Itulah rahsianya. Tapi tak boleh nak buat kat sini sebab tidur selalu lewat, sarapan selalu skip sebab gabung dengan makan tengah hari dan kena makan malam sebab orang rumah selalu masak lewat. Macam mana nak kurus. Jadi, bulan puasa inilah peluang terbaik untuk buat perubahan drastik dan inilah kesannya. Modus operandi kurang berjaya sebab hampir kepada mudarat.

***
Pulang dari tarawih di surau belakang rumah, kelihatan kanak-kanak bermain mercun. Kali terakhir saya main mercun adalah masa sekolah rendah. Menjadi rutin abah untuk spend dalam rm50-rm100 untuk beli pelbagai jenis mercun dari kawannya. Sebab anak lelaki ada tiga. Jadi, adik-adik tidak perlu seludup pergi beli mercun sangat walaupun ada yang buat begitu. Dan selalunya selagi belum raya, abah akan bagi sikit-sikit sahaja untuk dimainkan. Itupun main sekali dengan abah selepas berbuka puasa atau selepas tarawih. Selalunya dipantau. Abah selalu buat kejutan malam raya dengan mengeluarkan mercun-mercun yang dibeli dari kawannya. Memang teruja habis adik-adik saya. Dan agenda tu sentiasa dinanti-nanti sehinggalah semua dah besar dan abah dah bersara. Saya? Hmm... tak ada perasaan. Saya dah bersara dari main mercun selepas dari sekolah rendah. Dah tak main dan tak hingin pun tengok diorang main. Dah puas main masa kecil-kecil.

(mercun lada ni akan diasing-asingkan satu-satu sebagai senjata)

Masa kecil-kecil kami adik-beradik akan bermain dengan sepupu di kawasan sawah padi. Musim raya selalunya bersamaan dengan musim padi dituai. Rezeki Allah s.w.t bagi dalam bulan Ramadhan kepada pesawah. Boleh buat belanja masa Hari Raya. Jadi selepas padi dituai, tinggallah jerami menimbun dalam petak bendang/sawah. Itulah tempat kami berperang aka main mercun. Selalunya mercun yang digunakan ialah mercun lada. Masing-masing ada geng dan pemetik api beserta mercun lada. 

(jerami yang terhasil selepas padi dituai-belum dibakar)

Kawasan sawah padi akan jadi medan peperangan. Jerami tersebut akan disusun-susun untuk buat kubu sebelum perang. Kemudian semasa perang berlangsung, mercun akan dicucuh dan dibaling kepada musuh. Nasiblah kalau kena. Kena baling cepat sebab sumbu dia pendek. Entah macam mana saya pun boleh jadi mafia. Memang terjerit-jerit melarikan diri dan memberi arahan sambil menyorok di sebalik jerami sebab takut kena mercun. Lagi best dari main paintball. Dan itulah kali terakhir saya main mercun. 

Tapi masa sekolah rendah memang saya selalu berlagak mafia. Tambah-tambah pula bila ada geng yang nak mengikut. Mafia-mafia saya pun saya tak berkawan dengan orang lelaki. Tak pelik sebab mafia mana berkawan dengan bukan gengnya. Bagi saya lelaki adalah makhluk asing yang tidak boleh didekati sebab nanti menyakitkan hati. Tengok pun dah berbulu rasanya. Kitorang jadi tukang gelak setiap kali dengar cerita orang lelaki bergaduh berebutkan orang perempuan. Sedangkan mereka kawan baik. Pathetic bila sanggup korbankan persahabatan sebab orang perempuan. Macam drama. Lagi drama apabila ada orang yang sukakan kita dan dengan serius menyatakan hasrat. Siap bagi hantaran. Saya gelak guling-guling atas lantai sekolah apabila ada kawan bagitahu. Bagi saya orang lelaki yang mudah beritahu dia suka kat orang perempuan adalah tak macho langsung. Dan begitu juga sebaliknya. Dan pandangan saya itu terbukti apabila individu-individu sebegini sentiasa bercinta dan putus cinta dengan orang yang berbeza apabila sudah dewasa. Dia sudah menjadi janda cinta sebelum masanya sebab sibuk bercinta masa kecil. 

Hidup ni penuh dengan agenda yang lebih menarik untuk diisi sesuai dengan umur daripada buang masa berlagak matang sebelum masanya. Mafia-mafia kawan saya pun, sekarang ni apabila sudah sampai masanya, dah berkahwin dan beranak-pinak. Sayalah mafia yang sejati sebab tak kahwin-kahwin sampai sekarang. (inilah masalahnya apabila sudah matang-tak ada tajuk lain yang nak disentuh~) Kadang-kadang saya terlupa yang saya ialah mafia sebab dah kurang lontaran kritikal. Kalau dulu saya mungkin tak peduli, sekarang ni dah kena jaga sensitiviti pihak tertentu. Rasa mencengkam sikit otak ni sebab tak boleh nak jadi kejam terutama terhadap makhluk asing. Mungkin juga sebab sahabat-sahabat semafia saya semua sudah dan bakal diculik *makhluk asing, jadi saya sudah kurang kemafiaan sebab apalah ertinya **mafia tanpa geng...Selamat mengejar keampunan dari Allah s.w.t.

--kadang-kadang rindu zaman mafia-mafia dulu--

*makhluk asing ini tidak ada kaitan dengan definisi makhluk asing mengikut wiki, ET, dalam TV dll.

**mafia ini tidak ada kaitan sama ada hidup atau mati dengan mana-mana mafia yang ada dalam wikipedia dll.


Thursday, July 18, 2013

A place called home




Orang beriman itu kematian adalah pengalaman indah baginya. 
Bagaikan dinanti-nanti. 
Kerana hanya dengan kematian dia temui kebebasan. 
Kebebasan roh dari penjara jasad. 
Kebebasan untuk dia pulang ke kampung halamannya. 
Pulang bertemu Tuhan.
To a place called Home.


May Allah s.w.t have mercy upon our soul. Amen...

Thursday, July 11, 2013

Hitam-putih Ramadhan...

Kanak-kanak selalunya tidak sukakan sekolah, tetapi sekolahlah yang mendidiknya menjadi seorang manusia. Kalaupun terdapat lompang dalam sistem pendidikan, ianya kerana manusia yang cuba melengkapkan sistem tersebut.

Madrasah Ramadhan

Samalah macam memasuki madrasah Ramadhan. Macam masuk sekolah. Banyak peraturan dan larangan. Namun ianya memiliki sistem yang sempurna, datang dari Tuhan. Mendidik jiwa sekaligus memelihara jasad. Melahirkan insan bertakwa kemudiannya. Biiznillah.

Cuba menjinakkan nafsu yang liar selama 11 bulan bukan mudah. Tapi itulah fungsinya madrasah. Apabila perut kosong, fikiran panjang sikit. Nak buat satu-satu benda, fikir dulu kesesuaian dengan kemuliaan bulan Ramadhan. Kadang-kadang sampai hilang warna-warni dunia.


'Seandainya dunia tiada warna, tetapkan ku kagumi...'- Kias Cinta, Suhaimi

Dunia rasa sunyi sebentar.

Memetik kata-kata Rumi:

'When someone beats a rug with a  stick, he is not beating the rug- his aim is to get rid of the dust. Your inward is full of dust from the veil of 'I'-ness, and that dust will not leave all at once. With every cruelty and every blow, it departs little by little from the heart's face, sometimes in sleep and sometimes in wakefulness.' 
 Jadi, semoga dengan kelaparan, ketahanan diri dari melakukan dosa mata, mulut, telinga, dan hati, dosa-dosa kita terbang seperti terbangnya debu-debu dari tikar yang dipukul. Aamiin...

Buat saudara-saudaraku di serata dunia yang sedang menghadapi cubaan, sering saya panjatkan doa 'andai bukan di dunia ini kebahagiaan untuk mereka, kurniakan kebahagiaan buat mereka di negeri abadi.'

Yakinlah, hanya orang baik mendapat kebaikan. Kerana hanya  melalui 'kebaikan' tersebut, kita mendapat kebaikan- kedekatan dan ditinggikan darjat di sisi Allah s.w.t. Setiap yang mendekatkan diri kepada Pencipta adalah kebaikan- walau apapun tafsiran mengenai kebaikan menurut batas akal manusia. Kerana 'Allah Maha Tahu dan kamu tidak.' (Al-Baqarah:216). Boleh jadi dengan berperang itu setiap insan yang terlibat diangkat darjat di sisi Allah s.w.t kerana telah melakukan jual-beli yang tidak akan rugi.

Jadi jika hitam-putih duniaku, sunyi sepi sekelilingnya sepanjang Ramadhan ni- moga ia mampu mendekatkan aku kepada Pencipta. Aaminn ya Rabbal A'lamin...

"Dan tidak Aku ciptakan Jin dan Manusia (untuk apa sahaja tujuan), melainkan untuk menyembah-Ku". (Al-Quran 51:56).